Thursday, February 25, 2010

Betapa besar rahmat itu.

          ‘Nabi SAW, engkaulah idolaku’. Sewaktu dia berada di sekolah rendah dahulu, ungkapan inilah yang diisi di ruangan ‘siapa idola anda?’ di atas sekeping kertas. Sebenarnya pada tahap umur sebegitu dia masih belum cukup kenal dan menghayati peribadi yang dimiliki oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Mungkin kerana tiada kesedaran pada umur sebegitu untuk lebih menghayati ketinggian sifat peribadi baginda. Seperti merasakan dirinya menipu diri sendiri, kerana apa yang dijadikan idola itu tidak diikuti dengan sebaiknya. Sedangkan bagindalah sebaik-baik manusia yang perlu diikuti dan dicontohi. 

          Lagi-lagi apabila menyertai perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul di sekolah, dia hanya menyertai perarakan kadangkala dengan semangat mengikut-ikut sahabatnya sahaja. Menyertai perarakan sehingga tiba di perkarangan masjid dengan selawat ke atas Nabi, selepas itu duduk mendengar ceramah dan selesai ceramah ada pula sedikit jamuan ringan. Tidak boleh dianggap ringan, berat juga rasanya. Yang bab jamuan itulah yang kadangkala dinanti, sehingga lupa apa tujuan dan matlamat sambutan itu sebenarnya. Ini sewaktu dia masih kecil, biarkanlah sahaja dia. Bukankah perlu melentur buluh perlu dari saat masih dipanggil rebung? Sekurang-kurangnya ada juga semangat dia untuk mengingati kembali betapa besarnya rahmat dan nikmat dengan kelahiran Nabi SAW ini. Kalau sudah dewasa tabiatnya masih lagi menyertai sambutan hanya kerana jamuan di akhirnya, memang tidak patut. Perlu malu kepada diri sendiri malahan perlu malu lagi kepada Allah SWT. 

          Pening juga dia melihat berita-berita yang dipaparkan di media baru-baru ini. Semuanya menjadi isu. Pelik sungguh, rasanya menjadi isu hangat kerana ada agenda dan kepentingan yang tertentu oleh individu atau organisasi tertentu. Rasanya semua sudah maklum akan isu ini. Hari ini terasa dia mula merasa kemanisan. Alangkah bahagia dapat menghayati peribadi Nabi SAW itu sendiri. Terkesan di jiwa, alhamdulillah kerana hati dilembutkan sedemikian rupa. Ini memang nikmat yang besar, mudah benar terkesan di jiwa setiap apa yang didengar dan dipelajari. Sentiasa ingin mengubah dan memperbaiki diri demi mencapai reda Illahi. Walaupun kadangkala alpa tetapi ada juga usaha, niat di hati Allah SWT sahaja yang tahu. Sejauh mana sunnah telah diamalkan, termuhasabah dia. Ini untuk apa? Untuk meningkatkan kecintaan kepada Nabi SAW dan agama Allah SWT.

Sedikit perkongsian ilmu bersama setelah mengikuti tiga kuliah mengenai Maulidur Rasul.

  1. Jangan sekadar ikut tradisi sambutan, tetapi pengamalan sunah itu perlu ada dalam diri.
  2. Ucapan selawat ke atas Nabi SAW perlu untuk setiap masa dan bukan sekadar melafazkan tetapi perlu difahami dan dihayati.
  3. Melihat betapa besar rahmat yang hadir dengan kelahiran Nabi SAW.
  4. Walaupun menggunakan pendekatan yang berbeza, intipati sambutan perlu sama untuk mendekatkan diri kepada Nabi SAW dan Allah SWT serta tidak ada unsur yang melalaikan.
  5. Keperibadian Nabi SAW yang Al-Amin perlu diikuti sebagai agen perubahan demi memberi gambaran personaliti seorang muslim.
  6. Manusia perlu dipandu oleh Al-Quran dan As-Sunnah untuk hidup.


Thursday, February 18, 2010

Kenapa, mengapa, bagaimana?

          Tajuk-tajuk yang sama muncul kembali. Kali ini lebih dahsyat dan hebat. Dalam masa seminggu sahaja sudah berapa banyak kes itu berulang. Itu hanya kes yang dilaporkan, menunjukkan jumlah yang amat menakutkan. Bagaimana dengan kes-kes yang tidak dilaporkan? Terbayang kedahsyatan catatan angka tersebut. Siapakah sebenarnya individu yang tidak bertanggungjawab ini. Sungguh, amat senang mereka berfikir. Amat senang mereka menggunakan aqal mereka. Malah menyalahgunakan pemberian aqal oleh Rabb mereka yang sepatutnya digunakan untuk tujuan yang lebih baik. Ini bukan masalah kecil, kerana pastinya kes seperti ini akan terus meningkat jika tidak dibendung dengan segera. 

         Bukan itu sahaja, rasanya kes ini akan terus terpencil tetapi membahayakan jika media masa ataupun media cetak berhenti daripada melaporkannya. Ini kerana sesetengah pihak hanya akan bersemangat untuk membendung kes ini apabila kes seperti ini dihebohkan. Maka selepas seminggu dua, hilang kehangatan sudah berita seperti ini, tiada siapa yang akan ambil peduli. Akan dibiarkan sahaja masalah yang menakutkan ini. Mungkin mengikut resmi pisang goreng yang baru sahaja diangkat dari minyak yang menggelegak panas. Masa panas sedap pula menikmatinya, semua orang berkehendakkannya, bila hilang hangat ramai pula menolaknya. Tidak mendatangkan ‘feel’ katanya. 

         Amat wajar rasanya berita ini terus diberi perhatian dari semasa ke semasa supaya semua sedar akan suatu masalah yang sedang menimpa masyarakat yang tinggi tamadunnya. Pelik, bertamadun tetapi mengapa mereka ini berfikiran singkat untuk memilih jalan mudah seperti masyarakat jahiliyyah dahulu kala. Takut juga untuk berfikir seperti ini dan menggunakan kata ganti diri ‘mereka’ di dalam penulisan ini. Ini kerana jari sedang menunjuk ke arah mereka yang di luar. Biarlah penulisan ini untuk muhasabah diri yang lebih utama rasanya. Supaya sentiasa beringat. Memang masalah yang sedang berlaku ini perlu disatukan usaha dari pelbagai pihak. Jika satu pihak sahaja yang giat berusaha, sedangkan pihak yang lain seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, mana mungkin usaha untuk mengatasi masalah ini dapat dilaksanakan. Terfikir juga, mengapa sanggup untuk bertindak sedemikian wahai manusia. Sedangkan membuang sampah di sana-sini pun sudah dikira salah, kerana akan mengotorkan persekitaran serta pemandangan. Menjaga kebersihan itu memang amat dituntut dalam Islam. Kebersihan sebahagian daripada iman bukan. 

         Tapi ini lebih parah. Menyebabkan pembuangan satu jasad yang terkandung roh di dalamnya. Sewenang-wenangnya sahaja hal ini dilakukan, nauzubillah. Di tong sampah, di longkang semua dilakukan tanpa perasaan belas kasihan sebagai seorang manusia. Diselusuri kembali mengapa boleh terjadi hal seperti ini, banyak pula faktornya. Yang nampak penyebab utama, kerana seks bebas. Di saat perkenalan pertama yang masih malu-malu kucing sehingga hilang perkataan malu itu sendiri, terjerumus ke lembah zina. Bukankah sepatutnya malu kepada Allah itu lebih diutamakan? Hal inilah yang harus ditanggung jika perkenalan yang sepatutnya halal itu bertukar menjadi haram kerana menggunakan undang-undang yang dicipta sendiri. Apa yang ditetapkan gagal diikut dan dihayati. Mudah sahaja berkata tanpa memikirkan akibat dan impak yang akan datang mengundang. 

        Ini lagi satu masalah yang kian parah. Maka masalah yang berlaku ini perlu dibendung dari akar umbi yang mula menggengam teguh tanah. Sebelum akar mencengkam tanah lebih kuat, sehingga sukar ditarik keluar maka akar ini harus ditarik pada awal masa supaya tidak berserabut akarnya untuk lebih senang ditarik. Memang benar kiamat sudah dekat dan manusia hidup di dunia akhir zaman. Semua ini tanda-tanda kiamat akan berlaku. Mungkin ini impak daripada penyakit wahan yang dikatakan oleh Rasullullah SAW, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. 

         Yang dibuang itu tidak mengerti apa-apa, tidak adil sungguh. Dihukum sedemikian rupa oleh tangan-tangan manusia ini sedangkan hatinya masih suci bersih tidak melakukan sebarang dosa. Kejam bukan? Sebentar, tidak adil pula jika melihat bayi yang dibuang disebabkan kepada gejala seks bebas semata-mata. Bagaimana pula dengan mereka yang menjadi mangsa rogol. Ini juga menjadi sebahagian statistik kepada gejala buang bayi ini. Semakin panjang cerita jika ingin diselusuri maka ditamatkan dengan noktah dan tanda tanya di sini.?


Monday, February 1, 2010

Ingat Dia....

     Sedang dia sibuk menyiapkan tugasan yang ditinggalkan pensyarah bersama sahabatnya, tiba-tiba nafasnya tersekat. Tidak tahu apa yang sedang menimpa dirinya itu. Tidak pernah pula dia mengalami kesakitan sedemikian sebelum ini. Entah mengapa, dadanya terasa sakit apabila ingin menarik nafas panjang. Benar-benar sakit, pertama kali mengalami perasaan sedemikian. Malam itu ketika hendak tidur bermacam-macam perkara bermain di fikirannya.

     Dia mengurut-urut dadanya yang masih terasa sakit perlahan-lahan sambil fikirannya merapu berfikir 1001 perkara. Bermacam perkara terlintas di fikirannya dan yang utama difikirkan itu hanyalah satu, iaitu kematian. Kali ini serius, saat kematian berlegar-legar di setiap saraf otaknya. Macam-macam difikirkan sebelum tidur, adakah dia akan dijemput oleh malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa akan datang pada malam itu juga. Mengucap panjang dia malam itu, memikirkan apa yang dilakukan sepanjang dia kini berusia 21 tahun. Dari dia kenal erti baik dan jahat, kenal benda kotor atau bersih hinggalah saat umurnya mencapai tahap baligh.

     Mulai saat itu jugalah dosa-dosa akan ditanggung di bahunya sendiri. Segala perbuatan dan amalan dicatat walau perkara tersebut hanya sebesar saiz zarah walau tidak boleh diukur dengan saiz sekalipun, tetap dicatat. Sedikit pun tidak akan terlepas dari catatan di bahunya itu. Dia lantas memikirkan bahunya itu akan berat ke sebelah mana, adakah bahu bahagian kiri? Atau bahagian kanan? Dia sendiri tidak dapat menjawab persoalan itu melainkan Pencipta-nya yang maha tahu segala perkara. Dia sendiri merasakan bahawa amalannya masih belum cukup untuk dia pergi menghadap Rabb-nya, malah belum puas menikmati kemanisan yang dikecapi tatkala melaksanakan perintah Pencipta-nya dengan penuh rasa keikhlasan dan keinsafan.

     Desakan sahabatnya supaya dia lekas berjumpa doktor seringkali diengkari. Entah mengapa sungguh malas sekali dia hendak pergi ke hospital mendapatkan kepastian apakah yang sedang dialaminya itu. Terasa seperti menzalimi diri sendiri apabila sakit yang ditanggung dibiarkan begitu sahaja. Hanya berdoa mengharapkan sakit tersebut lekas pergi supaya dia kembali sihat seperti dulu. Lama-kelamaan sakit itu hilang dengan sendirinya, hanya datang sekali sekala. Apa yang pasti sakit yang datang itu mendatangkan banyak hikmah untuk dirinya. Apabila sakit, terasa bahawa kematian sentiasa dekat dengan dirinya dan dia juga tahu amat besar nikmat kesihatan yang dianugerahkan Rabb-nya.

     Maka demi kesihatan yang berpanjangan amat penting bagi dia mengamalkan cara hidup yang sihat, mengamalkan pemakanan yang seimbang serta mengerah tubuh supaya berpeluh sekali-sekala. Ingatlah bahawa kematian itu datang menerpa secara tiba-tiba, tidak akan dilewatkan atau dipercepatkan walau seminit atau sesaat pun. Sesungguhnya sebagai manusia dia sentiasa lupa dan juga alpa, kadangkala keseronokan serta gelak ketawa bersama sahabat handai menyebabkan dia lupa akan Pencipta-nya. Alangkah hebatnya iman Nabi SAW dan para sahabat dahulu kerana setiap detik yang berlalu hati mereka sentiasa terpaut dengan Allah SWT. Memang benar apa yang dikatakan oleh ustaz yang datang memberikan kuliah di surau tempat pengajiannya.

"Manusia ini hanya waktu susah baru hendak ingat Allah, masa peperiksaan datang baru masjid-masjid dipenuhi manusia menjayakan program solat hajat serta Yasin meminta supaya diri mereka dipermudahkan urusan. Tetapi alangkah baiknya dan indahnya apabila mereka itu berterusan melakukan sedemikian, dikala senang juga ingat Allah maka masjid serta surau akan diimarahkan dan dipenuhkan oleh manusia ini."

     Dia sedar, kata-kata ustaz itu memang ada benarnya dan terkesan di sudut hatinya kerana dia pun mempunyai sifat sedemikian. Kadang kala terlalu leka dengan kesibukan dan keseronokan dunia sehingga terlupa tanggungjawab yang lebih awla kepada Penciptanya.

Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah SAW bersabda : Dua nikmat yang kebanyakan manusia terpedaya dengannya ialah waktu sehat dan masa lapang. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari). Dalam waktu lain, Rasulullah menjenguk Salman al-Fahrisi yang tengah berbaring sakit. Rasulullah bersabda. “Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.”