Wednesday, May 19, 2010

Hikmah itu

Dahulu, contengan-contengan dari tangannya langsung tidak bermotifkan apa-apa tujuan. Teringat akan waktu persekolahan dahulu tiap kali waktu kelas, sedang guru yang mengajar di hadapan tangannya seakan ligat untuk menconteng di atas kertas. Bukanlah memegang sebatang pen untuk mencatat nota. Sehinggakan tercipta rentetan cerita bersiri yang dicontengnya setebal lebih 100 muka surat hasil kolaborasi bersama 2 orang rakannya yang juga tegar dalam aksi conteng-menconteng ini. 

Tak tahu mengapa, pantang memegang pensel atau pen sahaja jari-jamarinya terasa gatal untuk menconteng. Sehingga ditegur oleh sahabatnya beberapa kali, seperti sudah menjadi tabiat. Ini kelebihan yang dikurniai oleh Allah, dia percaya. Tentu sahaja mempunyai hikmah. Lama-kelamaan hikmah tersebut kian dirasai, hasil contengannya mula digunakan sebaik mungkin. Ke jalan yang lebih baik rasanya. Sekurang-kurangnya mempunyai tujuan hasil contengannya itu. Amanah yang diberikan untuk menyertai sebuah badan kelab dakwah di tempat pengajiannya diguna sebaik mungkin. Diberi peluang untuk bertanggungjawab pada helaian sisipan untuk tujuan menyampaikan kebaikan. 

Sekurang-kurangnya apa yang ingin disampaikan itu akan diingat oleh dirinya sendiri walau kadang kala sisipan tersebut seakan tidak diambil endah. Biar tidak sampai kepada orang lain, asal melekat di hatinya sebagai muhasabah diri. Dan niat untuk itu diluruskan hanyalah semata-mata kerana Allah. Setinggi-tinggi syukur dipanjatkan kerana kelebihan yang dimilikinya itu. Inilah hikmah yang ditemuinya. Sebagai manusia dia memang perlu sentiasa mencari hikmah akan sesuatu perkara. Jika tidak dicari, sudah pasti yang akan terkeluar dari mulutnya hanyalah keluh dan kesah lalu merungut tidak pernah ada tanda noktah. Kerna lupa disebalik kejadian, peristiwa atau musibah itu terkandung hikmah yang perlu diselongkari. Maka, carilah!


"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir"(Al Ma'aarij 19-21)








Koleksi-koleksi sisipan Qalbun Nur untuk edisi bulan Ramadhan)

No comments:

Post a Comment