Sunday, August 1, 2010

Melihat bahasa

Transit aliran ringan petang itu terus meluncur laju di landasan. Kerusi-kerusi masih ada punya ruang kosong, mereka yang ada di situ lebih senang untuk berdiri. Mungkin kerana terlekat pernyataan itu. ‘Beri kepada mereka yang lebih utama’. Merujuk kepada si ibu yang sedang mengandung, manusia kelainan upaya dan buat warga emas yang perlu lebih disayangi maka kerusi-kerusi itu dikhaskan untuk mereka yang sebenarnya.

Macam-macam ragam manusia dapat diperhatikan. Ada yang sedang memejam mata akibat keletihan baru pulang seharian bekerja. Ada juga yang sedang termenung jauh, melontarkan pandangan ke luar bingkai kaca transit melihat pemandangan Kuala Lumpur yang kian menyesakkan. Melihat ke jalan-jalan amat merimaskan, ratusan kenderaan berasak-asak mahu bergerak. Tekanan sungguh bagi mereka yang terperangkap dalam kesesakan itu. Tentu badan terasa panas walaupun kenderaan dibekal dengan alat penghawa dingin. Hati pula seperti ada api yang sedang ditiup-tiup supaya lebih marak, tatkala itu nafsu kemarahan akan mula membelenggu diri. Sebab itulah wujud saranan supaya rakyat menaiki kenderaan awam.

Dia memegang erat besi pemegang di dalam transit. Takut-takut terjatuh akibat pergerakan transit yang kadangkala ke kiri dan ke kanan. Kakinya terasa lenguh yang menggigit, habis waktu kuliah dia dan sahabatnya terus bergegas ke luar untuk membeli beberapa barang keperluan. Dia tersenyum melihat sahabatnya. Tersenyum kerana sahabatnya sedang khusyuk benar dengan akhbar yang sedang dipegang di tangan, sambil menyandar di pintu transit.

“Kenapa kau senyum, sindir aku ya?” Sahabatnya tersedar dengan senyuman yang wujud.

“Tak, nampak berkaliber sungguh kau”.

“Kenapa pula?” Berkerut dahi sahabatnya, mula pelik.

“Tu, akhbar yang kau pegang itu kan berbahasa London,” bibirnya muncung ke arah akhbar yang dipegang sahabatnya.

Sekali pandang memang nampak seperti orang yang berjawatan dan berkaliber sahabatnya itu. Mengenakan kemeja berlengan pendek berjalur kemas dengan seluar slack licin. Kasut kulit hitam yang tirus ke hadapan dengan gaya jahitan tampak bersilang itu menampakkan harganya yang bukan puluhan ringgit. Ditambah pula dengan sebuah beg komputer riba Acer jenama Targus berwarna hitam yang disandang di bahu. Benar-benar bergaya. Memegang pula helaian akhbar percuma berbahasa Inggeris yang disambar ketika membeli tiket di kaunter. Setiap petang akhbar percuma itu akan diletakkan di situ. Dengan harapan orang ramai akan membacanya. Sesuai dengan kempen membaca sekarang walaupun dilihat kurang berjaya namun masih punya harapan. Ya, masih punya harapan!

“Aku tengok-tengok macam tu saja, bukan nak baca sangat. Kalau tak faham semua, faham sikit pun dah kira alhamdulillah,” sahabatnya tenang menjawab.

“Betul juga, dari tak membaca langsung,” dia lantas bersetuju dengan sahabatnya sambil mengingat-ingat surah Al-A’laq. Betapa membaca itu penting untuk menguasai ilmu duniawi lebihan lagi ilmu ukhrawi.

“Satu lagi, janganlah kau mengangkat bahasa Inggeris ini terlalu tinggi. Kita orang Melayu, kita ada bahasa Melayu yang sarat dengan nilai budaya kita sendiri,” riak wajahnya menampakkan keyakinan dalam berkata.

Memang benar, hari ini barat telah berjaya menanam kepada jiwa-jiwa manusia. Yang bahasa mereka ialah bahasa terbaik dunia. Bahasa utama. Bahasa perantaraan dunia. Sehingga bahasa Melayu kini amat banyak diresapi dengan bahasa Inggeris itu sendiri. Kerna itu, mungkin ayat yang sungguh sopan ala ketimuran seperti “Maaf, tumpang lalu” akan tidak akan digunakan lagi. Yang akan diguna pakai “Sorry, excuse me”. Mungkin begitulah. Kesannya, bahasa Melayu akan mula menampakkan kepupusan kerna dihujani dengan resapan-resapan dari bahasa asing. Sehingga hilang sinar pada bahasa itu. Ingat-ingat, bahasa melambangkan bangsa.

“Tenang kawan, aku gurau-gurau saja,” dia menepuk bahu sahabatnya perlahan-lahan.

“Tak mengapa, hari ni aku ingatkan kau. Esok kau ingatkan aku. Kita memang perlu selalu diberi peringatan, benar kan?”

“Benar,” dia menjawab ringkas.





p/s; Sehingga saat ini tugasan pembikinan 5 sajak, 3 cerpen dan sebuah novel masih belum dimulakan. Moga Allah SWT berikan kekuatan untuk diri ini lebih berusaha. Malas? Buangkan jauh-jauh. Amin.

1 comment:

  1. Aku kenai sapa mamat yg pakai kemeja dgn beg Targus tu!hahahah

    ReplyDelete