Sunday, June 19, 2016

Amal yang Hilang



Kredit gambar dari Facebook

Apa punya perasaan, bila melihatkan wang yang disimpan begitu lama dimakan anai-anai sedemikian. Setelah mengira-ngira di dalam hati membeli itu dan ini dan menyangka wang yang disimpan selamat, rupa-rupanya 'selamat' dikerjakan anai-anai. Musnah tiada nilai.

Dan bagaimana pula amal. Saat seorang hamba di Mahsyar. Mengira-ngira membawa amal dan kebaikan cukup banyak sebesar gunung. Tapi malang, tiada nilaian langsung kerana berbuat bukan kerana tuhan, RIAK!

Kehadapan aku,

Buat diri yang mudah lupa dan selalu lalai.

Sekadar analogi. Jika tak silap, wang yang rosak boleh ditukar di BNM jika nombor siri masih ada. Tapi amal yang rosak? Tepuk dada tanya iman.

p/s : Mencari ikhlas, sebuah perjalanan panjang berbekal ilmu mencari Tuhan. Jalan terus.

Wednesday, March 2, 2016

Jutawan Akhirat


●Orang yang banyak pahala maka dialah jutawan di akhirat nanti.
●Ada orang yang di dunia miskin, di akhirat juga tetap miskin-beruntung mereka yang jutawan di akhirat.
●Matawang di akhirat ialah pahala untuk dapatkan balasan yang baik dari Allah.
●Raih pahala antaranya dengan ke majlis ilmu.
●Hadis menuntut ilmu-orang yang tempuh satu jalan ke majlis ilmu Allah akan buka jalan ke syurga untuknya.
●Malaikat akan naungi majlis ilmu-beroleh ketenangan, keampunan dan rahmat.
●Makhluk di langit istighfar untuk mereka yang hadiri majlis ilmu.
●Perumpamaan orang yang ada ilmu berbanding orang yang kuat beribadah saja (tidak ke majlis ilmu) seperti bulan yang mengambang dengan bintang-bintang kecil di langit-kelebihan buat mereka yang ada ilmu dan beramal dengannya.
●Dengan ilmu, jika wujud perbezaan pendapat dalam suatu masalah tapi tetap dibawa dengan AKHLAK dan KASIH SAYANG.
●Jika dulu musuh Islam akan berusaha jauhkan masyarakat daripada Nabi kini mereka berusaha jauhkan masyarakat daripada para ulama-hari ini perlu kenal ulama. Didik anak-anak untuk kenal ulama berbanding artis.
●Lagi bersungguh jaga adab belajar dengan guru/ulama lagi berkat ilmu yang kita dapat.
●Banyakkan sedekah (dan lipat gandakan) akan ada malaikat yang doakan untuk kita.
●Nak jadi jutawan di akhirat perlu buat pelaburan di dunia.
●Sedekah paling besar pahalanya ialah ketika badan sihat, dalam keadaan nak bertambah kaya dan takut ketika jatuh miskin. Ketika ini, pahala sedekahnya besar.
●Beri sedekah utamakan keluarga atau saudara mara yang terdekat. Kita dapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan pahala jalinkan silaturahim.
●Mahu jadi jutawan akhirat yang penting perlu ada ILMU untuk beramal sebagai satu bentuk pelaburan ke akhirat.

Al Fadhil Ustaz Syed Norhisyam Al Idrus
Masjid Al Azim Melaka
25 FEB 2016, Khamis.

p/s : Bulan Mac yang baharu. Pantasnya masa berlalu.

Monday, February 22, 2016

Keluarga Sunnah


"Tidak pernah kecewa sebuah keluarga yang bawa sunnah Nabi, tiada yang boleh beri bahagia selain dari Allah."

●Belajar untuk sayang semua orang dalam dunia ini
●Hidup ini untuk tunaikan apa yang Allah mahu, bukan apa yang kita mahu
●Cinta keluarga yang sebenar adalah untuk bawa pasangan dan anak-anak untuk ke SYURGA
●Tujuan perkahwinan adalah untuk membawa keluarga menuju lebih dekat dengan Allah
●Tiada istilah untuk lambat mendidik diri, pasangan atau anak kecuali apabila kita telah mati
●Kebahagian bermula dari hati yg KENAL Allah dan kehidupan Nabi SAW
●Banyakkan bersyukur apabila dilahirkan sebagai orang ISLAM (nikmat yang besar) kerana ada orang dalam dunia ini yang berusaha keras tapi bukan berada pada jalan Allah (tidak kenal Allah)
●Hidupkan amalan Nabi SAW dalam rumah (kasih sayang, laki solat berjemaah di masjid, bangun tahajud, solat sunat dhuha, baca al Quran dan hadis Nabi (ta'lim rumah), hidupkan percakapan iman dan Islam dalam rumah tangga seperti berbual pasal Allah, pasal Nabi, pasal kebaikan dan akhlak dan sebagainya)
●Suami isteri yang bangun tahajud bersama-sama Allah akan rahmati keluarga itu
●Didik anak, bukan setakat SURUH anak solat, tapi ibu bapa perlu AJAK anak untuk solat bersama-sama
●Kita semua hina tapi dimuliakan kerana Islam
●Apabila ditimpa apa-apa musibah atau ujian yang pertama ialah mengadu minta pada Allah 
●Semua susah ujian yang datang tanda Allah sayang (sangka baik pada Allah)


Al Fadhil Ustaz Ebit Lew, 
Masjid Airport Batu Berendam, 
Ahad, 14 Februari 2016.

p/s : Setiap kata yang dilontar dari Ustaz Ebit sangat terkesan di hati. Nikmat Allah beri, moga beeroleh rahmat. Dan. Ya, semoga Kau masih menjadi yang pertama.

Monday, February 1, 2016

Indahnya Kubur Mukmin


"Ruginya orang yang sibuk menjaga badan, tetapi tidak sibuk menjaga AMALAN,"
Mengindahkan kubur orang MUKMIN,
●Jaga amalan seperti solat, titik beratkan solat, jaga bacaan Quran, banyakkan buat infak.
●Tinggalkan anak-anak yang soleh dan solehah. Yang boleh uruskan jenazah ayah dan ibunya apabila meninggal dan yang akan sentiasa doakan kedua ibu ayahnya kelak.
●Letakkan kubur orang mukmin ini di tempat yang terbaik seperti di Mekah atau Madinah atau berdekatan dengan perkuburan orang-orang soleh atau perkuburan yang berdekatan dengan masjid.

Al Fadhil Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani,
Masjid Airport Batu Berendam, Melaka.
Jumaat, 29 JANUARI 2016.

p/s : Masuk ke tahun 2016 Masihi ini, moga Allah mudahkan semua urusan KITA semua. Moga niat, untuk cari reda Allah di dunia ini terus-terusan menjadi keutamaan. Walau terkadang lupa dan bila Allah beri ingat, lekas-lekas U-TURN cari jalan menuju-Nya.

Di sebalik sambutan Maulid Nabi


Walaupun ada perbezaan pendapat berkenaan sambutan maulid tapi semua bersepakat untuk sentiasa mengingati dan menghargai Nabi SAW.
●Bila cinta Nabi banyakkan SELAWAT
》Orang yang kedekut ialah apabila disebut nama Nabi Muhammad SAW tapi enggan berselawat.
》Banyakkan berselawat sebagai tanda ingat dan cinta Nabi.
》Kita berselawat kepada Nabi itu doa, Allah berselawat kepada kita bermaksud RAHMAT.
●Jangan lupa SYARIAT dibawa Nabi yang mengandungi berita gembira dan peringatan di sebalik sambutan Maulid.
》Di sebalik ikut sunah berselawat, berpakaian dan sebagainya ada yang lebih utama supaya mengikut syariat Nabi dalam segala aspek hidup, contoh dalam ekonomi jangan terlibat dgn RIBA dan lain-lain dosa lagi.
》Buat smbutan maulid itu perkara yang baik namun biar sampai tunduk taat kepada Allah untuk ikut syariat yang dibawa Nabi SAW.
Al Fadhil Ustaz Harryanto Rizal Lokman,
Masjid Al Wahab Permatang Duyung Melaka,
14 JAN 2016, KHAMIS.


p/s : Allahumma Solli 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala Ali Sayyidina Muhammad.

Saturday, November 7, 2015

Iman, ISLAM, Ihsan


"Kita tak dapat merasai nikmat sihat bila Allah SWT tak beri keuzuran atau sakit,"

"Bila Allah beri kita sakit, baru tahu betapa besarnya nikmat sihat,"

"Jika benar IMAN dan ISLAM seseorang, kita akan berasa aman di dunia dan di akhirat kelak,"

"Apabila iman dan Islam benar, semasa hidup kita akan menang. Mati juga akan menang,"

"Orang yang beriman itu sentiasa dalam kemenangan,"

"Sebaik-baik manusia ialah mereka yang panjang umurnya dan elok amalannya,"

"Elok amalan itu dibina atas dasar IMAN yang sah,"

"Agama dilengkapi dengan 3 perkara iaitu IMAN, ISLAM dan IHSAN. Diumpakan seperti sebuah tungku (tempat memasak atau tempat letak periuk) yang mempunyai 3 kaki. Jika salah satu kaki tiada, periuk itu akan jatuh ke bawah,"

"Minat atau suka ilmu apa pun yang pentingnya mestilah diikat dengan agama,"

"Orang yang bertukang, bercucuk tanam dan sebagainya semuanya tahu untuk tunduk kepada tuhan sekalian alam."

( TG Baba Ismail Sepanjang Al Fatoni, Masjid Al Azim Melaka. 28 Sept. 2015 )


p/s : "Jangan dibiarkan hati itu terus-terusan sepi daripada peringatan. Bawalah hati itu ke majlis pengajian, halakah zikir dan perhimpunan alim ulama ; Pesan Hati untuk Hati, Al Fadhil Ustaz Pahrol Juoi".

Thursday, September 24, 2015

Bahagia dari Allah

"Bahagia itu bermula dari hati. Hati yang kenal Allah. Tiada yang boleh beri bahagia, selain dari Allah,"

"Kesilapan besar kita bila mengharapkan kebahagiaan sepenuhnya daripada pasangan apabila berumah tangga,"

"Memang kita perlu berusaha untuk mendapatkan pasangan yang baik dan mengharapkan kebahagiaan, Namun harapan itu tidak boleh berganjak atau melebihi Allah walaupun sedikit. Bukan pasangan yang memberi bahagia, tapi Allah,"

"Bahagia itu bila masing-masing tahu untuk tunduk dan cinta pada Allah. Tiada yang boleh tahan bila Allah mahu berikan bahagia,"

"Orang dahulu berumah tangga sebab mahu bawa pasangan pada Allah. Mahu bawa ke syurga Allah. Itulah segalanya,"

"Ada orang mendapat pasangan yang tidak baik, tidak seperti yang diimpikan. Allah takdirkan begitu dalam hidupnya. Allah mahu dia kembali kepada Allah, bimbing pasangan ke syurga Allah,"

"Rumah Nabi SAW ada suasana ingat memperingati tentang kebesaran Allah. Dalam rumah tangga kita hari ini, hidupkan suasana ta'lim dalam rumah. Baca hadis-hadis dan kisah nabi. Hiduplah dengan amal ibadat dalam keluarga,"

"Bagi yang lelaki, solat berjemaah di masjid. Perempuan pula solat di awal waktu. Kejut pasangan untuk bangun tahajud bersama-sama dan berjemaah. Berlumba-lumba buat kebaikan. Doa mendoakan kerana Allah. Sebut nama pasangan dan ahli keluarga kerana Allah,"

"Tidak pernah kecewa sebuah keluarga yang membawa sunnah Nabi SAW. Tiada yang boleh beri bahagia selain dari Allah."

(Al Fadhil Ustaz Ebit Lew, Seminar Keluarga Sunnah 4.0 UPM)



p/s : Terus-menerus berdoa. Tak kira waktu susah mahu pun senang. Dalam kelapangan dapat duduk dalam majlis ilmu, Allah yang izin dan beri kekuatan untuk duduk di situ. Ilmu itu perlu terus mengalir ke hati untuk diamalkan. Buat diriku yang selalu lupa.

Friday, September 4, 2015

Sombongnya kita

"Kita sombong tak tuan-tuan?"

"Allah panggil, kita buat tak tahu, buat tak endah, buat lambat. Subuh pukul tujuh, tujuh setengah. Sedang rezeki SEMUA Dia yang bagi,"

"Kita sombong tak tuan-tuan?"


"Sebelum dapat anak, mai masjid jemaah tak tinggal. Bangun tahajud, doa sungguh-sungguh. Bila dah dapat anak, kaki langsung tak jejak masjid dah. Tahajud apalah lagi. Kita lupa semua siapa yang bagi anak tu,"


"Kita sombong tak tuan-tuan?"


"Allah, sombongnya kita..."



( Murabbi Al Fadhil Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi, Masjid Permatang Duyong Melaka, 25 OGOS 2015 )



p/s : Maha baiknya Allah pada kita semua. Saat tidak sempurna begini, pelbagai nikmat Allah beri dan beri. Allah telah banyak kabulkan doa kita. Moga Allah kekalkan istiqamah dalam hati kita untuk terus capai tujuan utama hidup untuk ke sana. Ingat Dia waktu susah dan senang. Sentiasa, selama-lamanya.

Sunday, August 2, 2015

Buku Amalan

Demi wang dan harta. Budin buat apa saja. Halal dan haram jadi nombor dua. Yang penting poketnya berisi sentiasa. Rasuah itu dan ini guna duit syarikat pecah amanah segalanya untuk kepentingan diri menjadi amalan biasa tanpa rasa salah pada orang lain. Lagi pada Tuhan. Lagi tiada.

Sampai rakan-rakan yang lain memuji-muji dirinya. Pandai guna otak buat duit. Hingga kini ada rumah dan kereta-kereta besar. Walau haram sumbernya.

"Aku memang bijak!"

Sambil tersenyum, Budin mengangkat dirinya sendiri masuk ke dalam bakul.

Tapi Budin lupa. Bijaknya tadi menipu demi harta dunia mahu dibawa ke mana? Rumah banglo besar atas bukit. Kereta-kereta mewah cantik nanti bila dia mati bukan boleh dibawa masuk ke dalam kubur. Sudahlah tidak boleh dibawa bersama ke kubur. Nanti akan dipukul malaikat. Sebab wang harta semua tadi dari mana sumbernya. Halalkah haramkah? Semua akan dipersoalkan-satu demi satu.

Budin agaknya terlupa lagi buat kali kedua. Bahawa bila dia terlepas dari masuk ke mahkamah dunia, di mahsyar nanti akan ada mahkamah yang lebih maha adil dari segala sedang menanti.

Jelas dan nyata. Akhirnya. Budin akui juga. Bahawa dia bukanlah orang yang bijak. Kayanya yang dikaut dengan cara salah semasa di dunia tidak membawa apa-apa erti pada dirinya.

Kerana.

Bila masuk kubur. Semua itu akan ditinggalkan. Yang dibawa adalah AMALAN. Amalan waktu Budin hidup di atas dunia. Amalan apa untuk cari reda Pencipta.

Nasib. Budin masih bernyawa. Allah beri dia sedar dan fikir. Pintu taubat masih terbuka buat Budin.

Dan juga. Buat kita semua.

***
Sabda Nabi SAW,

"Yang paling banyak mengingat mati, kemudian yang paling baik dalam mempersiapkan kematian tersebut, itulah orang yang paling bijak."  - HR. Ibnu Majah -


p/s : Letakkan Allah paling atas dan utama dalam segala sesuatu. Bersederhana-bila benci atau suka sesuatu. 

Sunday, July 26, 2015

Ramadan yang Berlalu

Usai Ramadan, maka MASJID itu pun berkata-kata,

"Sungguh, aku ini sedang merindui mereka-mereka yang melazimi kaki ke sini tika Ramadan yang dulu-beriktikaf, berjemaah, berpagi-pagi, siang dan malam datang ke mari. Kini mereka telah tiada. Sungguh, aku rindu!"

..

Moga-moga, Allah SWT beri kekuatan pada kita-kita semua untuk terus mengimarahkan rumah-rumah Allah. Seperti mana yang kita lakukan sewaktu Ramadan dulu. Insya-Allah.

Kita ini HAMBA Allah. Hanya.




p/s : Benar, tiada yang sempurna. Perlukan sokongan dan dorongan untuk tidak sempurnya ini. Minta pada Allah. Allah Maha Mengetahui.

Tuesday, April 21, 2015

Wahai.


p/s : Bagaimana harus diceritakan, maka ceritakan segalanya pada Dia. Aku tidak sempurna, sungguh! Aku 'tempang'.

Monday, January 26, 2015

Buat para pendidik


Buat guru-guru yang mendidik anak-anak kami,
Semoga semuanya tenang dan bersabar dengan keadaan semasa anak-anak murid kita. Kemalasan mereka, salah laku mereka, kebisingan mereka, kekecewaan yang mereka lontarkan, semuanya memberitahu kita bahawa kita berada di sini untuk satu tujuan yang BESAR.
Balaslah kejahatan dengan kebaikan, ia tanda jiwa kita lapang dengan kebesaran akhirat ( Fussilat 41: 34-35 ).
Balas kemalasan mereka dengan kerajinan kita.
Balas kejemuan mereka dengan semangat kita.
Balas diam mereka dengan cerianya kita.
Balas salah laku mereka dengan kemaafan dan bimbingan kita.
Tidak ramai dalam hidup ini, dewasa yang mahu membentuk mereka menjadi insan yang berguna, kecuali kita, selagi kita masih melakukan-Nya.
Teruskan usaha.
Ada kemanisan menanti di hadapan sana.

( Al-Fadhil Ustaz Hasrizal Abdul Jamil )

p/s : Pesan seorang, "Hidup ini tidak lepas dari diuji oleh sikap-sikap manusia di sekeliling kita. Teguhkan iman dengan solat BERKUALITI. Nescaya kita lebih mampu BERSABAR sebaiknya".

Tuesday, December 16, 2014

Wahai!

Wahai diri,
Usah berhenti untuk meminta,
Kerana Allah itu tidak akan pernah memungkiri janji.

Sungguh,
Allah itu maha pengasih-maha penyayang,

Lihat kembali,
Siapa diri ini dengan-Nya,

Lihat kembali,
Apa yang masuk ke dalam perut tiap hari,

Lihat kembali,
Ke mana sisa masa telah habis tiap hari,

Lihat kembali,
Apa yang diungkapkan lidah tiap hari,

Lihat kembali,
Agama yang mahal ini,
Apa yang telah diberi,

Sungguh,
Muhasabah itu lebih baik,
Dari terus mempersoal mengapa berlaku,
Begitu dan begini.

Wahai diri yakinlah,
Allah itu Maha dekat,
Sedang diri sendiri,
Yang menjauh dari-Nya,

Wahai diri,
Teruskan berlari-usah berhenti,
Demi kejar reda Ilahi.

KUAT dan SABARLAH-wahai diri.


p/s : Mengadulah pada Dia sepuasnya, letak harapan pada Dia. Engkau tak akan pernah kecewa. Kerana keyakinan, apa yang berlaku selepasnya terkandung hikmah yang perlu digali dan dicari. Percayalah!

Tuesday, November 11, 2014

Bahagia SEBENAR di mana?

Sepasang suami isteri, punya sebuah banglo dan kereta besar duduk berehat-santai di balkoni hadapan rumah mereka. Masing-masing berbuat hal sendiri, mata mereka tekun mengamati skrin telefon pintar di tangan. Tiada langsung bebutir perbualan dari mereka berdua-dingin.

Sedang mata si isteri tertumpu kepada skrin telefon pintar miliknya, dia terlihat akan sepasang lelaki dan perempuan yang agak berusia darinya sedang berbual-bual. Berjalan perlahan di tepi jalan berhadapan banglo besarnya sambil berpegang tangan erat-mesra.

Si isteri lalu berkata kepada suaminya. "Abang, lihat pasangan tu. BAHAGIANYA mereka dapat berbual bersama. Jalan pun siap berpimpin tangan."

Si suami hanya diam membatu. Sambil itu, hujung matanya sempat mencuri lihat pasangan lelaki dan perempuan yang dikatakan oleh isterinya.

Sebaliknya-pasangan lelaki dan perempuan yang sedang berjalan berpegang tangan itu pula berasa kagum melihat sebuah banglo besar di hadapan mata mereka. Sebuah kereta besar yang diparkir di banglo itu menambahkan rasa kagum mereka. Sambil mengira-ngira di dalam hati, jumlah kekayaan pemilik banglo dan kereta tersebut. Jauh berbeza dengan kehidupan mereka.

Lalu, perempuan itu berkata sambil jarinya menunjuk-nunjuk ke arah banglo besar itu. "Abang, lihat mereka. Alangkah beruntung dan BAHAGIANYA mereka. Rumah besar, kereta pun besar."

"Betul, BAHAGIA benar mereka!" Si lelaki cepat bersetuju. Dalam fikirnya berangan-angan. Andai dia juga kaya seperti itu.



p/s : Kita semua mahukan kebaikan. Kita semua mahu berubah untuk bertambah baik. Teringat akan butir bicara lembut Ustaz Ebit Lew, "Kita sangka jika kita dapat apa yang kita mahukan, baru kita akan bahagia. Bahagia itu ialah hati yang kenal Allah. Bahagia itu ialah bila kita dapat sujud rasa dekat dengan Allah. Bahagia itu bila kita lalu hidup ini untuk cari reda Allah. Tiada yang boleh beri bahagia selain dari Allah. Bilal Rabah saat dihempap dengan batu sakit-susah diseksa demi mempertahankan agama Allah itulah saat bahagia untuknya. Bahagia kerana dapat pertahan agama Allah."  

Sunday, October 19, 2014

Kita Hamba

Selagi nyawa dikandung badan,
Akhirnya hidup siapa tahu-bagaimana?

Telah jatuh beribu kali,
Terus bangun berdiri,
Melangkah dengan jiwa HAMBA.
Kembali!


p/s : Kita dipandang baik, kerana Allah telah menutup aib kita. Baik kita, semua datangnya dari Allah. Kita ini hamba yang fakir langsung tiada apa. Semuanya milik Allah-SEMUA! 

Friday, August 15, 2014

Kita semua diuji


Kredit gambar : Page MUSLIM SHOW


Faisal pemuda yang baik, lima waktu di masjid ialah kebiasaannya. Namun, terputik sekelumit rasa riak dalam hati kecilnya-disebut orang dia rajin ke masjid. Hinggalah lama-kelamaan dia ke masjid bukan sebab Penciptanya, tapi mengharapkan pujian manusia.

Hussien pula pemuda yang agak liar, seluar Jeans koyak tambah kontot menampakkan kepala lututnya. Lima botol arak diteguknya biasa tanpa rasa bersalah dan takut apalagi malu!

Faisal yang baik telah diuji dengan kebaikan yang dilakukannya. Sebaliknya Hussien yang begitu sikapnya diuji dengan dosa yang dilakukannya.

Kita ini, baik tidak baik TETAP akan diuji oleh Dia. Kerana begitulah kehidupan, hidup ini ialah ujian. Di sini, kita dinilai dalam-kita semua menuju ke SANA.


p/s : Barangkali, waktu sekarang dia seorang yang amat teruk, tapi di akhir hayatnya kematian dia merupakan kematian terbaik. Berkeraslah berusaha dan berdoa untuk mendapat akhir yang husnul khatimah. Moga kita-Amin.

Saturday, March 29, 2014

Baitul Muslim 3.0

Sudah lama saya tidak mencoret sesuatu di sini. Sejak ditempatkan di sebuah sekolah negeri Hang Jebat, dan sejak itu juga blog ini dibiarkan lama seperti tidak berpenghuni. Baru-baru ini saya berkesempatan untuk hadir ke sebuah seminar Baitul Muslim 3.0 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Moga Allah reda perkongsian ini untuk yang membacanya, sedikit ilmu untuk saya yang lebih utama moga lebih ingat-malah diamalkan, insya-Allah. 


Sebenarnya terlalu banyak ilmu dicurahkan kepada para peserta sepanjang dua hari seminar berlangsung-pagi bertukar malam. Saya juga tidak punya kekuatan untuk berkongsi-menulis semuanya di sini. Maka saya ringkaskan catatan untuk setiap sesi yang berlangsung. Bagi sesi pertama bersama Ustaz Salim A. Fillah penulis buku islamis Indonesia, saya sebenarnya terlepas mengikuti sesi ini oleh sebab sampai agak lewat, tercari-cari dewan yang saya tidak pernah sampai ini seorang diri.

Kota Shah Alam ini saya hanya tahu tuju jalan ke dua tempat-masjid negerinya dan UITM. Yang selebihnya, saya tanyakan kepada orang. Lebih lagi masa ini saya tiada telefon canggih ber'GPS', sekurangnya untuk menunjuk jalan. Kita merancang, Allah juga merancang namun sudah tentu perancangan Allah mengatasi segalanya. Saya sampai saat Ustaz Salim menjawab soalan terakhir dari seorang peserta. Sekurangnya, dapat juga melihat wajah bersih-tenang ustaz secara berhadapan kerana sebelum ini hanya mengikuti beliau di laman sosial berkicau miliknya-Twitter.

Sesi kedua, lebih bersemangat selepas ketinggalan bas sesi  pertama! Bersama Ustaz Mohamad Ridhauddin Mohd Salleh dengan tajuk yang akan dikupas beliau-Pengurusan Jiwa. Saat beliau memulakan bual bicara, timbul satu persepsi dalam jiwa minda saya yang banyak dosa ini,

“Oh, seriusnya ustaz...”

Astaghfirullah, lihat tak semena-mena hati saya menilai. Begitulah kita-hidup ini tidak lari dari memandang dengan bermacam persepsi kepada orang sekeliling. Pandang orang itu-hati berkata begini. Pandang orang ini-hati berkata begitu. Begitulah andaiannya, pasangan suami isteri sebolehnya-tepis segala persepsi kepada pasangan dan sentiasa bersangka baik. Beliau membawa para peserta supaya lebih berhati-hati dalam menilai dan tidak terus menghukum sesuatu dengan pandangan serba negatif. Pentingnya pengurusan jiwa seperti ini akan membawa kesan kepada bahagia atau deritanya hidup, dengan izin Allah. Fahamilah pasangan dahulu jika mahu diri sendiri difahami. Beliau membawa ayat ke-21 dari surah Ar-Rum,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.

Beliau berkali-kali mengingatkan para peserta, sebelum membina rumah tangga-tetapkan tujuan sebenar sebuah perkahwinan. Letakkan Allah itu di tempat yang paling atas dalam kehidupan. Allah dan nabi adalah cinta pertama kita. Cinta kepada pasangan dalam rumah tangga adalah yang kedua. Saya teringat butir bicara saudara Hilal Asyraf pada seminar ‘Nikah Itu Cinta’ tahun yang sudah,

“Didiklah si isteri supaya cintakan Allah terlebih dahulu. Jadikan cinta kepada Allah sebagai nombor satu. Kerana apabila si suami ‘hilang’ satu hari nanti, dia tidak hilang punca dan hilang tempat bergantung kerana masih ada Allah sebagai tempat berharap...”

Saya tokok tambah kata-kata beliau, tetapi mesej katanya tetap serupa insya-Allah. Begitulah, pentingnya niat untuk segalanya disandarkan kepada Allah SWT. Saya ingin berkongsi satu soalan dari salah seorang peserta seminar tempoh hari,

“Bagaimana nak tahu si dia itu soleh atau solehah?”

Bual bicara ustaz bertukar nada saat menjawab soalan ini-lembut, seisi dewan sunyi menumpukan perhatian.

“Mintalah FATWA dari hati, selepas berbuat sesuatu, puas berusaha dan berDOA kepada Allah. Hati yang dekat dengan tuhan tidak akan menipu dengan penipuan. Banyakkan solat dan kurangkan berburuk sangka pada orang, maka hati akan berfatwa. Hati yang bersih akan menghasilkan keputusan yang jernih. Andai sesuatu itu jadi tidak seperti yang diharapkan, yakinlah akan ada yang lagi baik Allah telah sediakan...”

Beliau mengibaratkan perkahwinan itu seperti mengurus sebuah syarikat. Jika baik CEO atau bosnya, maka baik jugalah anak buahnya mengurus kerja-kerja syarikat. Isteri yang tidak solat-tidak ditegur si suami selagi itu si suami mendapat dosa! Lihat, besarnya tanggungjawab si suami selesai saat lafaz, ‘Aku Terima Nikahnya’.


Seusai rehat menghela nafas untuk makan tengahari dan bersolat zohor, seminar disambung semula bersama Ustaz Ridhauddin-sekali lagi. Beliau membawa tajuk, Anakku Bukan Anakku! Sesi kali ini lebih fokus kepada proses mendidik anak-anak dalam keluarga. Beliau mengingatkan akan perkahwinan itu sebenarnya adalah satu bentuk pelaburan menuju ke akhirat. Anak-anak itu pelaburan bagi kedua ibu bapa yang mendidiknya! Juga pelaburan itu sudah tentu ada rugi dan untungnya. Jadi, bagaimana mengaut keuntungan dalam pelaburan seperti ini?

Caranya, USAHA untuk didik anak menjadi soleh. Ingat ini, amalan yang tidak terputus pahalanya sehingga seseorang mati nanti adalah doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya. Nah, inilah pelaburan yang menguntungkan! Apabila berbicara soal mahukan anak yang soleh atau solehah ini, ustaz ada menegur para peserta,

“Mahukan anak yang baik-baik, ibu bapanya sudah tentu perlu terlebih dahulu bersedia untuk menjadi yang baik...”

Baik, mari kita isi tempat kosong di bawah,

Saya mahukan anak-anak yang :-

1)  ________________________________________
2)  ________________________________________

Sekarang, buangkan perkataan ‘mahukan’ akan menjadi,

Saya anak-anak yang :-

1) _________________________________________
2) _________________________________________

Jadi, kita anak yang bagaimana kepada kedua ibu bapa kita sekarang? Peserta yang duduk di kiri dan kanan saya terasa sentap, termasuk juga saya. Mendengar persoalan yang ustaz lontarkan dari atas pentas dewan. Impikan itu dan ini sedang diri ini-tepuk dada, tanyalah iman. Ustaz Ridhauddin terus menambah perkongsian kepada para peserta agar nanti ibu bapa tidak terlalu menjadi diktator dalam menyuruh anak berbuat baik. Diktator itu ditukar menjadi demonstrator,

“Adam, pi solat tu!”

“Adam, ekau poie solat copek!”

Kita TUKAR dan UBAH untuk mengajak menjadi begini,

“Adam, mai solat dengan ayah.”

“Adam, sini solat dengan ayah.”

Ibu dan bapa menjadi tauladan yang baik, insya-Allah. Bukan sekadar mengarah, menyuruh dan sebagainya. Tapi lebih kepada mengajak ikut serta bersama-sama. Selepasnya, jangan lupa untuk didik mereka akan hakikat sebenar penghujung sebuah kehidupan-SYURGA ataupun NERAKA. Akhir kalam mengenai perkongsian dari Ustaz Ridhauddin ini, saya tarik kata-kata yang mengatakan beliau ini seorang yang serius. Sebab ada kalanya, unsur kecindan tetap ada-sebagai perasa.

Jam menunjukkan pukul 5.15 minit petang, seusai Asar sesi selepasnya diteruskan oleh Tuan Samsuddin Kadir dengan tajuk yang akan dikupas beliau-Fulus Oh Fulus! Oh, sebenarnya ini kali kedua saya mendengar beliau berucap memberikan perkongsian. Kali pertama di Universiti Malaya, jadi saya tidak terkejut dengan bahasa beliau yang sangat berterus terang, sinis dan tajam! Kata-kata beliau mudah difahami dan dihadam. Beliau berkongsi, yang pasangan pengantin banyak menghabiskan wang untuk membiayai ‘perasaan seronok’ seperti dua hingga tiga helai baju persalinan persandingan, pelamin, tukar langsir rumah, tukar itu dan ini dan segala macam lagi.

Pesan beliau, besederhanalah. Tidak perlu banyak mengeluarkan wang sehingga membazir untuk majlis yang habis dalam masa empat atau lima jam. Baik, untuk kenyataan beliau selepas ini-kali kedua (yang pertama di Universiti Malaya) saya dengar dari butir bicara beliau bahawa,

“Tidak perlu menetapkan wang hantaran...”

“Jangan berhutang atau membuat pinjaman untuk melangsungkan perkahwinan...”

“Majlis yang dibuat bukan untuk bermegah, riak dan seumpama dengannya...”

Saya tambah, satu perkongsian dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam laman Twitter beliau,



Tuan Samsudin juga ada berkongsi perihal pelaburan yang mendatangkan untung-ada tiga. Yang pertama pelaburan ilmu, yang kedua pelaburan emas dan ketiga pelaburan hartanah. Sepanjang sesi perkongsian, beliau memberikan banyak situasi masa kini menjelang perkahwinan untuk para peserta jadikannya sebagai pengajaran dan sempadan. Selesai sesi Fulus Oh Fulus! oleh Tuan Samsudin Kadir, saya melihat kepada tentatif seminar pada sesi yang seterusnya. Saya fikir ini kali pertama saya akan melihat dan mendengar tajuk yang akan dibawa ke atas pentas untuk diforumkan pada sebelah malamnya nanti.

Seawal jam 8.20 minit malam, kerusi dalam ruang dewan sudah pun dipenuhi oleh para peserta seminar. Membawa pendekatan agak santai dalam bentuk forum-Ustaz Syaari Abdul Rahman sebagai moderator, Kapten Hafiz Firdaus, Ustazah Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh dan Ustazah Siti Masitah Samsury sebagai ahli panel. Tajuk yang akan dikupas ialah-Sebelum Aku Bernikah Lagi? Saya rumuskan isi seputar tajuk forum, perkara pertama yang perlu disoal kepada diri untuk poligami ialah kenapa perlu poligami dan kenapa tak perlu poligami?

Dan yang paling utama, niat poligami itu sendiri adalah untuk amal soleh, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk, suka-suka, riak dan sebagainya. Seputar forum, Kapten Hafiz banyak berkongsi pengalamannya dalam kehidupan berpoligami, begitu juga dengan Ustazah Masitah. Jika kena niat dan caranya, tidak timbul masalah bagi mereka yang berpoligami-juga tidak timbul persepsi buruk apabila mendengar perkataan POLIGAMI.

Tamat seminar untuk hari pertama, Allah telah mudahkan banyak perkara untuk saya sampai ke seminar Baitul Muslim 3.0 ini. Alhamdulillah, moga Allah reda perkongsian ini.

p/s : Akhir ini, banyak sungguh peristiwa yang berlaku datang menguji. DIA sedang menegur kita atas ujian yang datang, sedar atau tidak sedarkah kita semua?


Monday, October 7, 2013

Saat hati mempersoalkan





p/s : Terkadang hati kecil ada mempersoal, sedang Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Saat usia menginjak semakin dewasa ini, semakin luas ceritera alam ditunjukkan Dia pada pandangan mata. Dari situ, kautlah sebanyak mungkin pengalaman untuk dihadam sebagai sempadan dan pengajaran dalam menempuh hidup serba mencabar ini. Dan juga, pandanglah dengan mata hati! 

Thursday, September 26, 2013

Al-Fatihah buat Ustaz Azizan


p/s : Allahummaghfirlahu warhamhu wa 'afihi wa'fu 'anhu...

Friday, August 30, 2013

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka kita,
Merdeka mereka,
Tidak serupa.

Merdeka mereka,
Jasad dan sukma kenal Pencipta,
Membawa ke syurga.

Merdeka kita,
Sampai lupa pada Pencipta,
Laungan 'keramat' semata;

Merdeka!

(Bertam Malim, 30 ogos 2013 bersamaan 23 Syawal 11.45 petang)



p/s : Sudah merdeka puasa enam? Merdekakah saya?