Lega dia pada hari itu dapat melabuhkan punggung di kerusi. Selalunya jarang sekali dia dapat duduk kerana ramainya orang yang menaiki bas pada waktu cuti sekolah sebegini. Berebut-rebut mencari peluang untuk menjadi yang terawal berada di dalam bas, semata-mata tidak mahu berdiri. Bayangkan sepanjang perjalanan menghampiri jarak 60 kilometer hanya berdiri, apakah perasaan yang hadir waktu itu. Pecah peluh juga menahan penat dan lenguh di kaki.
Tiba-tiba bas berhenti mengambil penumpang, tempat duduk penumpang ketika itu sudah pun dipenuhi. Naik seorang pakcik sekitar umur 50-an yang matanya meliar mencari tempat duduk kosong. Terlihat di riak mukanya perasaan kecewa kerana perlu juga digagahi untuknya berdiri. 5 minit, 10 minit dan 15 minit. Pakcik itu terus berdiri, sudah menampakkan perasaan tidak selesanya. Tangannya juga seakan tidak lagi kuat memegang erat tiang di dalam bas bagi menyokong dirinya. Sesekali badannya terhuyung-hayang apabila bas mengambil selekoh tajam.
Penat barangkali, detik fikirannya. Dilihat tiada siapa pun yang mahu memberikan pakcik itu tempat duduk. Tiba-tiba perasaan kasihan menyelubungi diri. Teringat pula wajah ayahanda dan bonda, bagaimana jika mereka berhadapan dengan situasi ini. Dia lantas bangun, menyapa pakcik yang sedang berdiri itu,”Pakcik, duduklah. Sana ada tempat kosong”. Pakcik itu hanya mengangguk dan tersenyum senang, seakan tidak terkata apa mungkin penat kerana memegang kudrat seorang yang bergelar veteran. Lapang hati dia melihat wajah pakcik itu kerna dapat duduk dengan selesa.
*****************
Hari ini sekali lagi dia menaiki bas, tetapi kali ini melawan arus mahu pulang ke tempat pengajiannya. Sungguh ramai manusia yang menaiki bas hari itu, kali ini mungkin dia terpaksa berdiri. Setelah membeli tiket di kaunter kepalanya mendongak melihat ke dalam bas yang akan dia naiki itu. Benar sudah penuh. Niat di hati ingin menunggu bas yang seterusnya, tetapi niat itu dibatalkannya. Dia naik juga walaupun sudah penuh kerna tidak mahu berlengah dan mahu mengejar masa.
Berdiri dengan beg yang disandang berisi sebuah komputer riba dan pakaian basahannya menyebabkan bahunya tiba-tiba terasa lenguh. Dipicit-picit bahunya itu perlahan-lahan. Tiba-tiba seorang remaja sekolah belasan tahun menyapa,
"Abang mahu ke mana? Duduklah, saya nak berdiri. Abang nak ke Seremban kan? Duduklah tempat saya, destinasi abang lebih jauh lagi dari saya”.
Agak malu-malu kucing sebenarnya setelah dia dipelawa sedemikian rupa. Menolak pelawaan buat kali pertama tetapi seakan dipaksa, dia duduk juga.
“Terima kasih”, ucapan terkeluar dari hati yang ternyata berasa kagum dengan sikap remaja tadi. Dalam duduk itu, dia berfikir.
Teringat akan pakcik yang diberinya tempat duduk dahulu. Sungguh, semua ini datang daripada-Nya. Walaupun perkara ini amat kecil,sehingga kadangkala tidak pula diambil kisah. Padahal setiap peristiwa yang berlaku itu dilihat oleh-Nya setiap masa. Memang benar tidak rugi sedikit pun apabila kita melakukan kebaikan. Benarlah perbuatan baik itu akan dibalas dengan kebaikan juga, insya-Allah. Dia memegang kata-kata yang diungkapkan sendiri oleh bisikan hatinya itu sambil melihat wajah remaja yang memberinya tempat duduk itu tadi. Bas yang dinaikinya terus meluncur laju membelah hujan renyai yang turun ketika itu.
ALLAH berfirman;
ReplyDelete"ALLAH mentakdirkan hidup dan mati setiap kamu untuk menguji SIAPA DIANTARA KAMU SEBAIK-BAIK KEJADIAN...."S.Mulk.,2.
Tidak hairan jika ALLAH memberikan yang terbaik kepada yang membuat Baik,Semut yang berwarna hitam,duduk diatas batu yang hitam,dan berada di tengah malam yang gelap,ALLAH tetap tahu samada smut itu telah makan atau tidak.
Begitu manusia,betapa sedikit amalan yang di buat,pasti ALLAH "nampak" akan perbuatannya...3 pmuda yang di suruh tokgurunya untuk menanam sesuatu dengan keadaan menanam itu mestilah tiada orang melihat ketika menanam,2 daripada pemuda itu dapat menanamnya,satu di bawah jambatan dan satu lagi di tempat yang sunyi,akan tetapi yang sorang lagi tidak dapat menanamnya kerana bila ditanye mengapa,dia menjawab,setiap kali aku ingin menanam pasti ada sahaja yang melihat,siapa??Jawap pemuda itu ALLAH S.W.T,....
syukran ya ustaz :)
ReplyDelete