Friday, April 23, 2010

Satu petanda

Hari itu dia seperti sedikit kalut, ke sana ke sini melangkah laju mempercepatkan gerak demi memastikan apa yang dirancang dapat berjalan dengan lancar. Dengan izin Allah alhamdulillah masalah yang datang dapat juga diatasi dengan kadar seberapa segera. Dapat juga dia menghela nafas lega, duduk sebentar mendengar apa yang diperkatakan oleh tetamu undangan pada seminar hari itu.

Seminar telah pun bermula sejak awal pagi, walaupun sedikit lambat rasanya tidak mengapa kerana dirasakan seminar ini amatlah berbaloi. Tiba-tiba ada tangan yang menepuk bahunya dari belakang. Cepat-cepat dia menoleh.

“Eh, ustaz. Assalamualaikum”,ucapnya lembut.

“Waalaikumsalam, mana lagi peserta lelaki dalam seminar? Banyak ini saja ke”,ustaz mengutarakan persoalan.

 Dia lantas melihat kepada bilangan peserta seminar itu di dalam dewan. Di sebelah kirinya memang sudah dipenuhi oleh kaum hawa sehingga ke bahagian belakang. Namun mengecewakan apabila memandang kepada kaum adam ini, ternyata sedikit sahaja bilangannya. Banyak kerusi yang dibiarkan kosong. Hampir separuh peserta lelaki yang sudah mendaftar untuk seminar itu tiada.

 “Tak tahulah ustaz, yang daftar ramai. Tapi itu saja yang datang”,jawabnya ringkas tanpa memberikan sebab.

Tidak berani memberikan sebab mengapa mereka yang sepatutnya hadir itu tiada di dalam dewan kerna dia sendiri pun tidak pasti apakah sebabnya. Tidak adil rasanya jika mengeluarkan sebab membuta kerna mungkin mereka ini ada perkara yang lebih awla untuk diselesaikan, mungkin. Memikirkan diri dia pun kadang kala sama sahaja, tidak hadir bila mana dia diperlukan untuk hadir. Dia pun tidak pasti. Tapi apa yang pasti kebanyakan program yang dianjurkan, di dalamnya mesti kekurangan peserta lelaki.

 Ini hipotesis yang dia sendiri keluarkan. Tapi dia sendiri tidak tahu adakah hipotesis tersebut diterima atau akan ditolak 100%. Hanya boleh dikatakan benar sekiranya terdapat bukti-bukti kukuh yang dapat menerima hipotesis itu. Atau mungkin kerana nisbah antara lelaki dengan perempuan sudah seperti tidak seimbang. Di akhir zaman sebegini memang bilangan yang perempuan akan mengatasi lelaki. Semua ini petanda kiamat.

Duduk termenung seketika, termuhasabah dia hari itu. Kiamat memang akan semakin menghampiri, mana mungkin akan semakin menjauhi. Diingatkan perkara ini berkali-kali untuk dirinya supaya sentiasa beringat, agar tidak alpa.



No comments:

Post a Comment