Sunday, May 8, 2011

Sambil menyelam minum air

"Mereka yang mengerjakan beberapa amalan dalam satu waktu adalah orang yang bijak menguruskan waktunya sehingga ia sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah..."

"Apabila seseorang pergi ke masjid berjalan kaki, maka ia adalah suatu ibadah kepada Allah. Dalam masa ia berjalan ke masjid itu juga ia boleh berzikir kepada Allah seperti membaca Al-Quran, bertasbih, bertahmid dan sebagainya..."

"Apabila seseorang menghadiri kenduri kahwin yang tidak bercampur dengan unsur-unsur maksiat kepada Allah maka ia adalah suatu ibadah. Dalam masa menghadirinya seseorang boleh bertemu rakan-rakan dan mengeratkan hubungan silaturahim..."




p/s : Petikan daripada buku berjudul Amalan 24 jam dalam Kehidupan Rasulullah SAW, klik sini.

Sunday, April 3, 2011

Cikgu Azman Terlupa

Cikgu Azman-hatinya hari ini berkobar-kobar sungguh. Segala perancangan telah disimpan rapi. Tunggu masa untuk mengeluarkannya. Tidur cikgu Azman malam tadi juga tidak lena langsung. Jenuh memikirkan hari esok. Dan hari ini, dia meyakinkan diri. Mahu buat sehabis baik.

Dia mula menarik nafas panjang.

"Assalamualaikum murid-murid!"

Jiwa-jiwa kecil di hadapannya menyambut salam Cikgu Azman-serentak dan berlagu.

Biji mata Cikgu Azman sempat memandang wajah bengkeng yang sedang duduk seorang diri di belakang kelas. Hatinya kecut seketika. Berkali-kali dia beristighfar di dalam hati. Pensyarahnya itu memang terkenal dengan air muka yang bengis.

Cikgu Azman langsung tidak menyangka pensyarah itu yang akan membimbingnya berpraktikum selama satu bulan di sekolah. Kalau tersilap langkah, borang penilaian di tangan pensyarah itu akan dibulatkan pada markah yang terendah.

“Murid-murid, pasang telinga!”

“Tajuk cikgu nak ajar pagi ni, tentang kebersihan. Faham?”

Bermula dengan mukadimah membawa murid kepada tajuk pelajaran sehingga ke penutup, dia habis mengajar selama satu jam lima minit.

Cikgu Azman menutup pembelajaran pagi itu dengan mengimbas kembali isi pelajaran. Dia mengingatkan murid-muridnya.

“Ingat murid-murid, kebersihan tanggungjawab?”

“Bersama!” Suara kuat murid-murid menjawab serentak. Cikgu Azman berasa cukup dengan jawapan yang diberikan murid-muridnya. Dia cuba mengajukan persoalan lagi.

“Jangan buang sampah sesuka?”

“Hati!”Murid-murid masih menjawab-semangat.

Cikgu Azman mengajar lebih lima minit daripada rancangan asal. Dia menghela nafas lega. Berasa puas sekali. Dia berjaya membawa keseronokan kepada murid-muridnya. Dan yang paling penting, objektif pembelajaran pagi itu berhasil.

“Tahniah Azman. Budak-budak tu seronok nampaknya dengan kamu. Apa yang kamu nak semua sampai kat budak-budak tu, tahniah!”

Cikgu Azman langsung tidak menyangka pensyarahnya yang berwajah bengkeng itu memujinya sedemikian rupa. Nampaknya dia bersangka buruk kepada pensyarahnya sebelum ini dengan hanya memandang raut mukanya. Rupa-rupanya di sebalik wajah bengkeng itu, hati pensyarah itu masih ada taman.

Mendengar pujian itu, hatinya kembang seketika. Dia gembira, hatinya yang sebelum ini berserabut kini sudah menjadi tenang.

Semasa berangkat keluar dari kelas, tangan cikgu Azman menyeluk poket kirinya-mencari gula-gula Hudson yang selalu disimpan untuk mengelakkan rasa ngantuk ketika bekerja. Bungkusan gula-gula di tangannya dibuka dan masuk ke mulutnya. Dengan wajah selamba, plastik yang membungkus gula-gula tadi dibuang ke tepi-jatuh ke celahan rumput hijau yang mencantikkan persekitaran sekolah.

Dia berjalan terus; menghayun-hayun tangannya dan langkahan kakinya yang sedikit angkuh. Di sudut hatinya, dia memuji-memuji dan mengangkat dirinya kerana berjaya mengawal kelas dengan baik. Nampaknya Cikgu Azman terlupa atau buat-buat lupa dengan nasihatnya kepada murid-murid di dalam kelas tadi. Tentang KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA.


p/s : Cerita dan watak Cikgu Azman hanya rekaan semata-mata. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar...

Thursday, March 10, 2011

Memartabatkan Tulisan Jawi


“Masyarakat Cina amat berbangga dengan kaligrafi mereka, tetapi mengapa kita tidak? Kaligrafi Cina sudah berusia hampir 2000 tahun sedangkan jawi pula baru sekitar 700 ke 800 tahun lalu...”


“Satu ketika dulu, tulisan jawi sangat berpengaruh, namun kini seperti dipandang sepi sedangkan ia merupakan ‘peralatan’ yang sangat penting dalam proses pembinaan tamadun Melayu Islam di rantau ini..."


"Salah satu daripada cara untuk menyebarkan tulisan jawi ialah melalui bahan bacaan seperti akhbar dan buku bacaan yang wajib dipelajari oleh pelajar Melayu dalam mengikuti mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sastera Melayu..."

(Sumber : Akhbar Kosmo, 10 Mac 2011. Klik sini untuk membaca artikel penuh.)



p/s : Rasa-rasanya saya cintakan tulisan jawi sejak dari bangku sekolah rendah lagi.

Friday, February 25, 2011

Lukisan awal

Kartun 1



Kartun 2



p/s : Rasa sudah terlalu lama tidak mengisi apa-apa di dalam blog ini. Anggaplah lukisan di atas sebagai pembuka tirai untuk tahun ini. Lukisan yang siap dengan dialognya akan saya terbitkan di blog ini sedikit masa lagi, insya-Allah.

Monday, December 6, 2010

Tahun baharu hijrah


p/s : Berubah walaupun sedikit. Kadangkala kualiti itu lebih baik daripada kuantiti.

Thursday, December 2, 2010

Sedih?


p/s : Suka-suka edit.

Monday, November 29, 2010

Mencari solusi



“Ayah, saya nak tanya sikit boleh?”

Si ayah mencuri menoleh ke kiri, memandang anaknya. Kemudian pandangan si ayah diteruskan ke hadapan. Kedua-dua tangannya bergerak-gerak menggenggam stereng kereta. Panduannya cukup cermat dan berhati-hati.

“Umar nak tanya apa? Tanya sajalah, macam tak biasa pula dengan ayah.” Senyuman terukir manis di bibir. Lemah-lembut, gaya seorang ayah yang mithali.

Si anak membuang pandangannya ke luar, memerhatikan papan-papan iklan yang besar didirikan di tepi jalan raya.

“Iklan-iklan kat tepi jalan raya ni, macam tak sesuai kan ayah?”

“Tak sesuai, maksud Umar?”

“Umar tengok iklan-iklan tu ada gambar wanita mendedahkan aurat. Tiap-tiap produk kebanyakannya akan menonjolkan gambar pergaulan bebas dan eksploitasi tubuh wanita.”

Si ayah hanya diam mengangguk-angguk. Membiarkan anaknya terus berbicara dengan buah fikirannya yang semakin matang dirasakannya. Dia menyedari yang anaknya itu sudah banyak berubah. Semakin matang berfikir, seiring dengan usianya yang semakin meningkat dewasa.

“Hari ini kita risau dengan masalah sosial yang semakin menjadi-jadi. Zina kemudian buang anak. Tapi bukankah iklan-iklan sebegitu yang syaitan gunakan untuk mencucuk mata dan hati manusia?” Si anak terus dengan kata-katanya yang bernas, penuh bersemangat.

“Benar Umar. Memang zina tu akan bermula daripada pandangan mata. Pandangan inilah yang akan turun mengalir ke hati. Memang sukar menjaga pandangan, kerana pabila ada yang mendedahkan, waktu itulah syaitan datang mengapi-apikan keadaan.”

“Kalau macam tu, biarlah semua manusia menutup aurat dengan sempurna, lebihan lagi wanita. Benarkah ayah?”

Si ayah diam seketika. Stereng kereta diputar perlahan-lahan, mengikut arah pergerakan jam. Kereta bertukar arah, mengambil selekoh kanan menuju ke destinasi tujuan. Selepas itu, dia meneruskan kata-kata kepada anaknya.

“Ayah rasa sukar, tapi tak mustahil. Umar pun tahu kan, agama Islam sangat praktikal. Walau kita ada dalam zaman apa pun. Bila yang wanita dah menutup aurat dengan sempurna, maka yang lelaki tundukkan pandangannya. Bukankah itu dah menutup pintu zina? Kemenangan akan berpihak kepada sesiapa yang mengikuti suruhan-Nya.”

“Betul tu ayah.” Si anak diam. Dalam hatinya terdetik, ini baru iklan di tepi-tepi jalan. Belum lagi di media massa lain. Memang pintu-pintu zina perlu segera ditutup, dikunci menggunakan mangga yang cukup kuat dan tahan lasak. Allah SWT dah beri amaran, ‘jangan kamu menghampiri zina!’

Si anak mendengus panjang. Sesekali si ayah hanya memandang anaknya yang duduk di sebelah. Diam buat beberapa ketika. Dia tahu dalam diam itu anaknya sedang berdebat di dalam hati. Mencari kemenangan atau solusi barangkali.

p/s : Rujukan daripada majalah Solusi isu 23.

Sunday, October 31, 2010

Monday, October 18, 2010

Haul Imam Al-Haddad

Imam al-Haddad merupakan ulama yang terkenal berketurunan baitun nubuwwah, Bani Zahra 'min aali 'Ali, Saadah Ba 'Alawi. Hatinya bersih daripada sifat keji sehinggakan tidak merasa terhina dengan segala perkara yang merendahkannya. Pernah seorang anak disuruh seorang ayah agar anaknya itu pergi menghantar sebilah pisau untuk ditajamkan oleh tukang besi. Di dalam bahasa arab, al-Haddad bermaksud tukang besi. Dengan sebab sifat kekanakan yang ada pada anak itu, maka anak itu menghantar pisau tersebut kepada Imam Al-Haddad yang disangkanya tukang besi. Dipendekkan cerita, ayah kepada si anak tersebut mengetahui yang anaknya telah tersilap menghantar pisau itu kerana anaknya memberitahu bahawa orang yang menajamkan pisau itu tidak mahu mengambil duit upah. Usai diselidik anaknya itu, benarlah si anak itu telah menghantar pisau itu kepada orang yang dihormati, iaitu Imam Al-haddad. Tidak semena-mena dengan perasaan malu, si ayah pergi berjumpa dengan Imam Al-haddad lalu meminta maaf dan menyatakan perasaan malunya terhadap kelakuan anak kecilnya itu. Lalu Imam Al-haddad pun berkata kepada si ayah.

“Kalau kau benar cintakan aku, jangan kau marahi anak itu, kerana aku tidak sedikit pun merasa terhina.”

Beliau ialah Al-Allamah Al-Imam As-Sayyid Al-Habib Abdullah Bin Alwi Al-HaddadbAl-Alawi Al-Husaini atau lebih dikenali dengan nama Habib Abdullah Al-Haddad. Beliau dilahirkan pada tahun 1634 dan meninggal dunia pada tahun 1720. Al-fatihah buat Imam Al-haddad. -Tranungkite-

p/s : Pengalaman pertama kali menghadirkan diri ke majlis haul di Masjid Al-Falah Subang Jaya meninggalkan kesan di hati. Usai Asar, masjid sudah mula dipenuhi oleh para jemaah. Terasa ketenangan pabila duduk bersama-sama menatap wajah dan mendengar amanat yang disampaikan oleh para ulama besar dari Malaysia dan Indonesia. Didahului dengan bacaan ratib Al-Haddad dan majlis kemuncak, kata-kata yang disampaikan oleh Al-Habib Umar Ben Hafidz dari Yaman dalam bahasa Arab yang diterjemahkan oleh Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid membawa para jemaah berasa dekat dengan Maha Pencipta. Bergema masjid malam itu dengan panggilan kalimah Allah, Allah, Allah oleh para jemaah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..


Al-Habib Umar Ben Hafidz dan Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid

Monday, August 23, 2010

Siapa menang


An-Nisa' : 103


p/s : Pastikan kemenangan pada solat. Dengan izin Allah Azza Wajalla, kita mampu mengubahnya.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadan

Hati manusia berbunga-bunga,

Kini telah hadir menyiram jiwa gersang,

Dinyah titik-titik hitam yang bersarang,

Ini rahmat ini berkat ini keampunan,

Ahlan wasahlan ya Ramadan.


perantau-isz
Lembah Pantai

Wednesday, August 4, 2010

Barakah, jaga mulut dan kehalalan.





p/s; Antara yang terkandung dalam sisipan Qalbun Nur. Untuk sisipan penuh, bolehlah melayari laman rasmi ini, http://kelab-rakansurauipgm.blogspot.com/.

Sunday, August 1, 2010

Melihat bahasa

Transit aliran ringan petang itu terus meluncur laju di landasan. Kerusi-kerusi masih ada punya ruang kosong, mereka yang ada di situ lebih senang untuk berdiri. Mungkin kerana terlekat pernyataan itu. ‘Beri kepada mereka yang lebih utama’. Merujuk kepada si ibu yang sedang mengandung, manusia kelainan upaya dan buat warga emas yang perlu lebih disayangi maka kerusi-kerusi itu dikhaskan untuk mereka yang sebenarnya.

Macam-macam ragam manusia dapat diperhatikan. Ada yang sedang memejam mata akibat keletihan baru pulang seharian bekerja. Ada juga yang sedang termenung jauh, melontarkan pandangan ke luar bingkai kaca transit melihat pemandangan Kuala Lumpur yang kian menyesakkan. Melihat ke jalan-jalan amat merimaskan, ratusan kenderaan berasak-asak mahu bergerak. Tekanan sungguh bagi mereka yang terperangkap dalam kesesakan itu. Tentu badan terasa panas walaupun kenderaan dibekal dengan alat penghawa dingin. Hati pula seperti ada api yang sedang ditiup-tiup supaya lebih marak, tatkala itu nafsu kemarahan akan mula membelenggu diri. Sebab itulah wujud saranan supaya rakyat menaiki kenderaan awam.

Dia memegang erat besi pemegang di dalam transit. Takut-takut terjatuh akibat pergerakan transit yang kadangkala ke kiri dan ke kanan. Kakinya terasa lenguh yang menggigit, habis waktu kuliah dia dan sahabatnya terus bergegas ke luar untuk membeli beberapa barang keperluan. Dia tersenyum melihat sahabatnya. Tersenyum kerana sahabatnya sedang khusyuk benar dengan akhbar yang sedang dipegang di tangan, sambil menyandar di pintu transit.

“Kenapa kau senyum, sindir aku ya?” Sahabatnya tersedar dengan senyuman yang wujud.

“Tak, nampak berkaliber sungguh kau”.

“Kenapa pula?” Berkerut dahi sahabatnya, mula pelik.

“Tu, akhbar yang kau pegang itu kan berbahasa London,” bibirnya muncung ke arah akhbar yang dipegang sahabatnya.

Sekali pandang memang nampak seperti orang yang berjawatan dan berkaliber sahabatnya itu. Mengenakan kemeja berlengan pendek berjalur kemas dengan seluar slack licin. Kasut kulit hitam yang tirus ke hadapan dengan gaya jahitan tampak bersilang itu menampakkan harganya yang bukan puluhan ringgit. Ditambah pula dengan sebuah beg komputer riba Acer jenama Targus berwarna hitam yang disandang di bahu. Benar-benar bergaya. Memegang pula helaian akhbar percuma berbahasa Inggeris yang disambar ketika membeli tiket di kaunter. Setiap petang akhbar percuma itu akan diletakkan di situ. Dengan harapan orang ramai akan membacanya. Sesuai dengan kempen membaca sekarang walaupun dilihat kurang berjaya namun masih punya harapan. Ya, masih punya harapan!

“Aku tengok-tengok macam tu saja, bukan nak baca sangat. Kalau tak faham semua, faham sikit pun dah kira alhamdulillah,” sahabatnya tenang menjawab.

“Betul juga, dari tak membaca langsung,” dia lantas bersetuju dengan sahabatnya sambil mengingat-ingat surah Al-A’laq. Betapa membaca itu penting untuk menguasai ilmu duniawi lebihan lagi ilmu ukhrawi.

“Satu lagi, janganlah kau mengangkat bahasa Inggeris ini terlalu tinggi. Kita orang Melayu, kita ada bahasa Melayu yang sarat dengan nilai budaya kita sendiri,” riak wajahnya menampakkan keyakinan dalam berkata.

Memang benar, hari ini barat telah berjaya menanam kepada jiwa-jiwa manusia. Yang bahasa mereka ialah bahasa terbaik dunia. Bahasa utama. Bahasa perantaraan dunia. Sehingga bahasa Melayu kini amat banyak diresapi dengan bahasa Inggeris itu sendiri. Kerna itu, mungkin ayat yang sungguh sopan ala ketimuran seperti “Maaf, tumpang lalu” akan tidak akan digunakan lagi. Yang akan diguna pakai “Sorry, excuse me”. Mungkin begitulah. Kesannya, bahasa Melayu akan mula menampakkan kepupusan kerna dihujani dengan resapan-resapan dari bahasa asing. Sehingga hilang sinar pada bahasa itu. Ingat-ingat, bahasa melambangkan bangsa.

“Tenang kawan, aku gurau-gurau saja,” dia menepuk bahu sahabatnya perlahan-lahan.

“Tak mengapa, hari ni aku ingatkan kau. Esok kau ingatkan aku. Kita memang perlu selalu diberi peringatan, benar kan?”

“Benar,” dia menjawab ringkas.





p/s; Sehingga saat ini tugasan pembikinan 5 sajak, 3 cerpen dan sebuah novel masih belum dimulakan. Moga Allah SWT berikan kekuatan untuk diri ini lebih berusaha. Malas? Buangkan jauh-jauh. Amin.

Wednesday, July 7, 2010

Seakan songsang

Hari itu paling lewat. Kerna kelembapan komuter pada hari itu dia telah ditinggal bas yang sepatutnya dia naik pada pukul 6.30 petang untuk ke kampung halamannya. Baru saja semester baharu bermula, tetapi hatinya seakan kuat meronta-ronta ingin balik. Tidak kira walaupun wang saku bila difikir-fikir kembali seperti tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian. Kerna ketinggalan bas itu, dia berjalan menuju ke tempat solat di stesen bas yang sudah mulai lengang. 

Nasib baik dengan izin Allah juga seorang sahabatnya sanggup menjemputnya walaupun jarak dari kampung halaman ke stesen bas yang terletak di pekan mengambil masa sejam perjalanan. Gerai-gerai kecil yang hidup pada waktu siang di sekitar stesen bas pun tidak lagi dikunjungi orang. Kerusi-kerusi disusun, menunggu masa untuk berkemas-kemas menutup gerai dan pulang. Awan mendung berarak, titik-titik hujan yang nipis mulai jatuh ke bumi. Sampai ke tempat solat untuk menunggu waktu maghrib, tiba-tiba langkahnya terhenti. Sehelai kertas putih terlekat di pintu masuk. “Maaf, ketiadaan air di surau ini”. Dipulas juga tombol pintu untuk memastikan, tetapi memang benar seperti pernyataan tadi bahawa air tiada.

Langkahnya dipanjangkan ke masjid, kira-kira 300 meter juga jarak dari stesen bas. Elok juga ke masjid, ruang yang ada lebih selesa sementara menunggu sahabatnya datang menjemput. Usai solat, dia duduk di tangga masjid. Masjid yang pada hari jumaatnya akan kedengaran khutbah dalam bahasa tamil. Dalam duduk itu, terdengar suara yang menarik perhatiannya. Bukan tertarik kerana kelunakan suara tersebut, tetapi satu ayat yang terpacul dari mulut perempuan itu. 

Usia perempuan itu dalam lingkungan 20-an, menegur sahabatnya yang baru keluar dari pintu masjid bahagian perempuan. Sememangnya tidak disangka boleh pula dia menyaksikan perkara ini. Perempuan yang baru keluar dari pintu masjid itu tidak bertutup kepalanya. Lantas sahabat perempuan itu yang sedang menunggu di beranda masjid menegur, 

“Eh, kau masuk masjid tak tutup kepala. Mana boleh”

Yang ditegur itu tidak berkata apa, hanya tersenyum. Seakan ada kecelaruan antara adab dan kewajipan. Melihat gelagat dua perempuan itu, dahinya berkerut. Rasa pelik menyelubungi diri.


Monday, June 14, 2010

Piala rebutan?


Surat khabar di atas meja itu dicapainya dengan pantas. Diselaknya pada helaian belakang sekali. Untuk situasi normal orang ramai akan mula melihat tajuk utama yang menjadi isu semasa di hadapan helaian surat khabar itu. Tetapi sejak kebelakangan ini helaian hadapan itu seakan tidak diambil endah. Bukan tidak diambil endah, tetapi helaian belakangnya yang pasti akan dibelek dahulu kemudian baru helaian hadapan. Seperti membaca surat khabar bertulisan jawi. 

Mengapa ya? Sambil membelek helaian demi helaian, mulutnya ternganga besar. Mula berbangga pasukan Asia dapat menang pada perlawanan bola sepak pada malam itu. Mengira-ngira di dalam hati pasukan mana yang akan menjulang piala yang amat berprestij itu. Pasukan yang akan menang itu sudah pastinya mendapat habuan yang amat besar, tetapi dia yang tegar menunggu setiap perlawanan bersengkang mata hanya dapat melihat sahaja. Matanya meliar mencari waktu perlawanan bagi pasukan pilihannya. Melihat-lihat tarikh, teringat akan sesuatu. Diselak helaian hadapan surat khabar itu, matanya mengimbas keseluruhan muka hadapan surat khabar itu mencari sesuatu. 

Pergerakan matanya terhenti setelah dapat melihat apa yang dihajati. Jari telunjuknya menunjuk ke bahagian atas sekali surat khabar itu ke sebelah kiri. Kecil sahaja saiz tulisannya. ‘Ahad, 13 Jun 2010, 30 Jamadil Akhir 1431’. Kerana dilalaikan oleh piala dunia ini terlupa pula ‘piala akhirat’ yang perlu lebih diutamakan. Akan masuk bulan Rejab, kemudian Syaaban seterusnya Ramadan. Bulan Rejab termasuk dalam bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT yang kini manusia dihidangkan dengan perlawanan bola sepak piala dunia ini. Dalam keghairahan melihat pasukan mana bergelar juara, dia diingatkan oleh salah seorang sahabat yang sudah lama dikenalinya sejak berada di bangku sekolah rendah lagi. Diingatkan dan disedarkan melalui sebuah perisian laman sembang mengenai ayat ini, 

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa". (At-Taubah : 36)

Jangan sampai terlupa kewajipan, solat dilengahkan atau bercakaran hanya kerana piala duniawi ini. Malahan nasib saudara di Palestin, bagi mereka doa harus terus dipanjatkan. Dia membuat kesimpulan, supaya beringat. Kerna seringkali dia dilalaikan dengan perkara sebegini. Doalah banyak-banyak.


"Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan, Amin.."