Monday, June 14, 2010

Piala rebutan?


Surat khabar di atas meja itu dicapainya dengan pantas. Diselaknya pada helaian belakang sekali. Untuk situasi normal orang ramai akan mula melihat tajuk utama yang menjadi isu semasa di hadapan helaian surat khabar itu. Tetapi sejak kebelakangan ini helaian hadapan itu seakan tidak diambil endah. Bukan tidak diambil endah, tetapi helaian belakangnya yang pasti akan dibelek dahulu kemudian baru helaian hadapan. Seperti membaca surat khabar bertulisan jawi. 

Mengapa ya? Sambil membelek helaian demi helaian, mulutnya ternganga besar. Mula berbangga pasukan Asia dapat menang pada perlawanan bola sepak pada malam itu. Mengira-ngira di dalam hati pasukan mana yang akan menjulang piala yang amat berprestij itu. Pasukan yang akan menang itu sudah pastinya mendapat habuan yang amat besar, tetapi dia yang tegar menunggu setiap perlawanan bersengkang mata hanya dapat melihat sahaja. Matanya meliar mencari waktu perlawanan bagi pasukan pilihannya. Melihat-lihat tarikh, teringat akan sesuatu. Diselak helaian hadapan surat khabar itu, matanya mengimbas keseluruhan muka hadapan surat khabar itu mencari sesuatu. 

Pergerakan matanya terhenti setelah dapat melihat apa yang dihajati. Jari telunjuknya menunjuk ke bahagian atas sekali surat khabar itu ke sebelah kiri. Kecil sahaja saiz tulisannya. ‘Ahad, 13 Jun 2010, 30 Jamadil Akhir 1431’. Kerana dilalaikan oleh piala dunia ini terlupa pula ‘piala akhirat’ yang perlu lebih diutamakan. Akan masuk bulan Rejab, kemudian Syaaban seterusnya Ramadan. Bulan Rejab termasuk dalam bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT yang kini manusia dihidangkan dengan perlawanan bola sepak piala dunia ini. Dalam keghairahan melihat pasukan mana bergelar juara, dia diingatkan oleh salah seorang sahabat yang sudah lama dikenalinya sejak berada di bangku sekolah rendah lagi. Diingatkan dan disedarkan melalui sebuah perisian laman sembang mengenai ayat ini, 

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa". (At-Taubah : 36)

Jangan sampai terlupa kewajipan, solat dilengahkan atau bercakaran hanya kerana piala duniawi ini. Malahan nasib saudara di Palestin, bagi mereka doa harus terus dipanjatkan. Dia membuat kesimpulan, supaya beringat. Kerna seringkali dia dilalaikan dengan perkara sebegini. Doalah banyak-banyak.


"Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan, Amin.."