Saturday, November 7, 2015

Iman, ISLAM, Ihsan


"Kita tak dapat merasai nikmat sihat bila Allah SWT tak beri keuzuran atau sakit,"

"Bila Allah beri kita sakit, baru tahu betapa besarnya nikmat sihat,"

"Jika benar IMAN dan ISLAM seseorang, kita akan berasa aman di dunia dan di akhirat kelak,"

"Apabila iman dan Islam benar, semasa hidup kita akan menang. Mati juga akan menang,"

"Orang yang beriman itu sentiasa dalam kemenangan,"

"Sebaik-baik manusia ialah mereka yang panjang umurnya dan elok amalannya,"

"Elok amalan itu dibina atas dasar IMAN yang sah,"

"Agama dilengkapi dengan 3 perkara iaitu IMAN, ISLAM dan IHSAN. Diumpakan seperti sebuah tungku (tempat memasak atau tempat letak periuk) yang mempunyai 3 kaki. Jika salah satu kaki tiada, periuk itu akan jatuh ke bawah,"

"Minat atau suka ilmu apa pun yang pentingnya mestilah diikat dengan agama,"

"Orang yang bertukang, bercucuk tanam dan sebagainya semuanya tahu untuk tunduk kepada tuhan sekalian alam."

( TG Baba Ismail Sepanjang Al Fatoni, Masjid Al Azim Melaka. 28 Sept. 2015 )


p/s : "Jangan dibiarkan hati itu terus-terusan sepi daripada peringatan. Bawalah hati itu ke majlis pengajian, halakah zikir dan perhimpunan alim ulama ; Pesan Hati untuk Hati, Al Fadhil Ustaz Pahrol Juoi".

Thursday, September 24, 2015

Bahagia dari Allah

"Bahagia itu bermula dari hati. Hati yang kenal Allah. Tiada yang boleh beri bahagia, selain dari Allah,"

"Kesilapan besar kita bila mengharapkan kebahagiaan sepenuhnya daripada pasangan apabila berumah tangga,"

"Memang kita perlu berusaha untuk mendapatkan pasangan yang baik dan mengharapkan kebahagiaan, Namun harapan itu tidak boleh berganjak atau melebihi Allah walaupun sedikit. Bukan pasangan yang memberi bahagia, tapi Allah,"

"Bahagia itu bila masing-masing tahu untuk tunduk dan cinta pada Allah. Tiada yang boleh tahan bila Allah mahu berikan bahagia,"

"Orang dahulu berumah tangga sebab mahu bawa pasangan pada Allah. Mahu bawa ke syurga Allah. Itulah segalanya,"

"Ada orang mendapat pasangan yang tidak baik, tidak seperti yang diimpikan. Allah takdirkan begitu dalam hidupnya. Allah mahu dia kembali kepada Allah, bimbing pasangan ke syurga Allah,"

"Rumah Nabi SAW ada suasana ingat memperingati tentang kebesaran Allah. Dalam rumah tangga kita hari ini, hidupkan suasana ta'lim dalam rumah. Baca hadis-hadis dan kisah nabi. Hiduplah dengan amal ibadat dalam keluarga,"

"Bagi yang lelaki, solat berjemaah di masjid. Perempuan pula solat di awal waktu. Kejut pasangan untuk bangun tahajud bersama-sama dan berjemaah. Berlumba-lumba buat kebaikan. Doa mendoakan kerana Allah. Sebut nama pasangan dan ahli keluarga kerana Allah,"

"Tidak pernah kecewa sebuah keluarga yang membawa sunnah Nabi SAW. Tiada yang boleh beri bahagia selain dari Allah."

(Al Fadhil Ustaz Ebit Lew, Seminar Keluarga Sunnah 4.0 UPM)



p/s : Terus-menerus berdoa. Tak kira waktu susah mahu pun senang. Dalam kelapangan dapat duduk dalam majlis ilmu, Allah yang izin dan beri kekuatan untuk duduk di situ. Ilmu itu perlu terus mengalir ke hati untuk diamalkan. Buat diriku yang selalu lupa.

Friday, September 4, 2015

Sombongnya kita

"Kita sombong tak tuan-tuan?"

"Allah panggil, kita buat tak tahu, buat tak endah, buat lambat. Subuh pukul tujuh, tujuh setengah. Sedang rezeki SEMUA Dia yang bagi,"

"Kita sombong tak tuan-tuan?"


"Sebelum dapat anak, mai masjid jemaah tak tinggal. Bangun tahajud, doa sungguh-sungguh. Bila dah dapat anak, kaki langsung tak jejak masjid dah. Tahajud apalah lagi. Kita lupa semua siapa yang bagi anak tu,"


"Kita sombong tak tuan-tuan?"


"Allah, sombongnya kita..."



( Murabbi Al Fadhil Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi, Masjid Permatang Duyong Melaka, 25 OGOS 2015 )



p/s : Maha baiknya Allah pada kita semua. Saat tidak sempurna begini, pelbagai nikmat Allah beri dan beri. Allah telah banyak kabulkan doa kita. Moga Allah kekalkan istiqamah dalam hati kita untuk terus capai tujuan utama hidup untuk ke sana. Ingat Dia waktu susah dan senang. Sentiasa, selama-lamanya.

Sunday, August 2, 2015

Buku Amalan

Demi wang dan harta. Budin buat apa saja. Halal dan haram jadi nombor dua. Yang penting poketnya berisi sentiasa. Rasuah itu dan ini guna duit syarikat pecah amanah segalanya untuk kepentingan diri menjadi amalan biasa tanpa rasa salah pada orang lain. Lagi pada Tuhan. Lagi tiada.

Sampai rakan-rakan yang lain memuji-muji dirinya. Pandai guna otak buat duit. Hingga kini ada rumah dan kereta-kereta besar. Walau haram sumbernya.

"Aku memang bijak!"

Sambil tersenyum, Budin mengangkat dirinya sendiri masuk ke dalam bakul.

Tapi Budin lupa. Bijaknya tadi menipu demi harta dunia mahu dibawa ke mana? Rumah banglo besar atas bukit. Kereta-kereta mewah cantik nanti bila dia mati bukan boleh dibawa masuk ke dalam kubur. Sudahlah tidak boleh dibawa bersama ke kubur. Nanti akan dipukul malaikat. Sebab wang harta semua tadi dari mana sumbernya. Halalkah haramkah? Semua akan dipersoalkan-satu demi satu.

Budin agaknya terlupa lagi buat kali kedua. Bahawa bila dia terlepas dari masuk ke mahkamah dunia, di mahsyar nanti akan ada mahkamah yang lebih maha adil dari segala sedang menanti.

Jelas dan nyata. Akhirnya. Budin akui juga. Bahawa dia bukanlah orang yang bijak. Kayanya yang dikaut dengan cara salah semasa di dunia tidak membawa apa-apa erti pada dirinya.

Kerana.

Bila masuk kubur. Semua itu akan ditinggalkan. Yang dibawa adalah AMALAN. Amalan waktu Budin hidup di atas dunia. Amalan apa untuk cari reda Pencipta.

Nasib. Budin masih bernyawa. Allah beri dia sedar dan fikir. Pintu taubat masih terbuka buat Budin.

Dan juga. Buat kita semua.

***
Sabda Nabi SAW,

"Yang paling banyak mengingat mati, kemudian yang paling baik dalam mempersiapkan kematian tersebut, itulah orang yang paling bijak."  - HR. Ibnu Majah -


p/s : Letakkan Allah paling atas dan utama dalam segala sesuatu. Bersederhana-bila benci atau suka sesuatu. 

Sunday, July 26, 2015

Ramadan yang Berlalu

Usai Ramadan, maka MASJID itu pun berkata-kata,

"Sungguh, aku ini sedang merindui mereka-mereka yang melazimi kaki ke sini tika Ramadan yang dulu-beriktikaf, berjemaah, berpagi-pagi, siang dan malam datang ke mari. Kini mereka telah tiada. Sungguh, aku rindu!"

..

Moga-moga, Allah SWT beri kekuatan pada kita-kita semua untuk terus mengimarahkan rumah-rumah Allah. Seperti mana yang kita lakukan sewaktu Ramadan dulu. Insya-Allah.

Kita ini HAMBA Allah. Hanya.




p/s : Benar, tiada yang sempurna. Perlukan sokongan dan dorongan untuk tidak sempurnya ini. Minta pada Allah. Allah Maha Mengetahui.

Tuesday, April 21, 2015

Wahai.


p/s : Bagaimana harus diceritakan, maka ceritakan segalanya pada Dia. Aku tidak sempurna, sungguh! Aku 'tempang'.

Monday, January 26, 2015

Buat para pendidik


Buat guru-guru yang mendidik anak-anak kami,
Semoga semuanya tenang dan bersabar dengan keadaan semasa anak-anak murid kita. Kemalasan mereka, salah laku mereka, kebisingan mereka, kekecewaan yang mereka lontarkan, semuanya memberitahu kita bahawa kita berada di sini untuk satu tujuan yang BESAR.
Balaslah kejahatan dengan kebaikan, ia tanda jiwa kita lapang dengan kebesaran akhirat ( Fussilat 41: 34-35 ).
Balas kemalasan mereka dengan kerajinan kita.
Balas kejemuan mereka dengan semangat kita.
Balas diam mereka dengan cerianya kita.
Balas salah laku mereka dengan kemaafan dan bimbingan kita.
Tidak ramai dalam hidup ini, dewasa yang mahu membentuk mereka menjadi insan yang berguna, kecuali kita, selagi kita masih melakukan-Nya.
Teruskan usaha.
Ada kemanisan menanti di hadapan sana.

( Al-Fadhil Ustaz Hasrizal Abdul Jamil )

p/s : Pesan seorang, "Hidup ini tidak lepas dari diuji oleh sikap-sikap manusia di sekeliling kita. Teguhkan iman dengan solat BERKUALITI. Nescaya kita lebih mampu BERSABAR sebaiknya".