Wednesday, September 12, 2012

Semanis cucur pisang


Pagi itu begitu dingin-hujan. Semenjak pulang dari ibu kota Kuala Lumpur, Ahmad masih belum dapat melihat sinaran mentari suci terbit menyusup ke daun-daun hijau di hadapan terataknya. Sudah dua hari lopak-lopak yang ada di hadapan terataknya dipenuhi  air. Mujur kawasan terataknya terletak di kawasan tinggi. Di tempat lain, gaya hujan terus-menerus seperti  ini sudah boleh mendatangkan bah.

Suasana sunyi waktu itu. Ahmad duduk tercokoh di serambi teratak kayunya-mengamati melodi titik-titik hujan yang jatuh ke sengkuap terataknya tanpa henti. Katak-katak yang dulu girang menyanyi mendapat hujan kini senyap sama sekali. Ahmad berasa enak melayan hati kecilnya pagi itu-rasa tenang sekali. Tekaknya juga enak menikmati cucur pisang yang garing digoreng dengan cukup. Lagi bertambah enak menikmati cucur pisang panas itu ketika hujan-disertai angin dingin pagi yang menggigit-gigit kulit tubuh. Rasa enaknya cucur pisang itu mahu saja Ahmad jeritkan ke sekujur dunia bahawa dia sedang menikmati cucur pisang yang sungguh enak.

Beberapa minggu yang sudah berlalu, Ahmad masih ingat rakan kampusnya datang ke bilik meluahkan isi hati.

“Ahmad, awal pagi tadi aku post satu perkara dekat FACEBOOK aku; INDAHNYA DAPAT BERTAHAJUD.”

“Lepas tu dalam beberapa minit ada orang komen post aku. Dia kata aku riak buat ibadah nak semua orang tahu, cukuplah Allah saja yang tahu. Ramai yang like komen tu.”

“Tapi sebenarnya tak. Aku ikhlas, tak ada niat nak riak sedikit pun. Aku cuma nak berkongsi rasa manis ibadah yang aku buat tu, bila dapat bangun…”

Waktu itu Ahmad hanya mampu menasihati rakannya agar bersabar. Niat hati rakannya Allah saja yang  tahu. Bagi Ahmad, dia faham situasi rakannya itu. Seperti  dia sedang berasa manis menikmati cucur pisang serta mahu semua orang di sekelilingnya tahu betapa nikmat merasai cucur pisang buatan ibunya itu. Maka dia mengambil langkah menjaja kepada rakan-rakan dengan niat yang tulus, “SIAPA-SIAPA NAK MAKAN CUCUR PISANG PALING SEDAP, BOLEH DATANG KE RUMAH AKU”. Kini, Ahmad berkongsi kemanisan menikmati cucur pisang buatan ibunya kepada orang lain.

“Hebat rakanku itu, mendapat kemanisan iman daripada Allah, tapi aku?” Jiwa kecil Ahmad berbisik. Dalam renyai-renyai hujan yang turun, dia bertekad untuk mengejar kemanisan iman. Bukan setakat mendapat kemanisan mengunyah cucur pisang tetapi lebih daripada itu-cuba berkongsi kebaikan dengan orang lain.

p/s : Hari ini dua puluh lima Syawal. Selepas Ramadan ke mana kita?