Wednesday, October 12, 2011

Aiman dengan Rabun Warna

(Aiman-ketika umurnya sembilan tahun)

Aiman berjalan perlahan, menundukkan kepala menuju ke dapur. Di tangan kanannya memegang segulung lukisan. Pulang dari sekolah Aiman terus meloncat turun dari motosikal buruk ayahnya. Setiap hari seusai memotong di kebun getah ayahnya akan terus menjemput Aiman di sekolah. Motosikal buruk itulah yang digunakan untuk mengangkut getah sekerap-juga mengangkut Aiman pergi dan balik sekolah setiap hari.

“Mak…” Aiman memanggil mendapatkan ibunya yang sibuk menyediakan makanan tengah hari di dapur-Aiman berlalu meninggalkan ayahnya di belakang.

“Mak, tengok lukisan Aiman ni. Aiman salah ke? Tadi dekat sekolah kawan-kawan semua gelakkan Aiman bila Aiman siap warnakan lukisan ni, kenapa?”

“Mana, bagi sini mak nak tengok?”

Aiman berdiri di depan ibunya. Gulungan lukisan yang ada di tangan dibuka. Ibunya tersenyum, tapi cuba disembunyikan. Aiman diam, menunggu reaksi daripada ibunya.

“Dah, pergi tukar pakaian. Bau masam…” Ibunya hanya diam melihat lukisan Aiman. Bibir Aiman mencebik. Dia berlalu pergi ke bilik-merajuk.

Melihat Aiman berlalu pergi, ibunya menatap kembali lukisan Aiman. Lukisan bendera Malaysia, cantik sekali. Cuma satu kesilapan sahaja pada warna bendera pada lukisan tersebut. Bulan dan bintang diwarnakan kuning, jalur bendera berselang-seli merah dan putih, cuma satu. Yang sepatutnya berwarna biru diwarnakan dengan ungu. Bendera Malaysia mana ada warna ungu? Kali ini sah, Aiman ada masalah mengecam warna.

Ini bukan kali pertama, sudah berkali-kali. Dahulu ketika Aiman pergi membeli benang untuk ibunya menjahit baju raya juga jadi begini. Disuruh beli benang berwarna ungu, yang dibawa pulang benang berwarna biru. Begitulah sebaliknya, walaupun ibunya ada memberikan Aiman potongan kecil kain tersebut untuk dipadankan dengan warna benang apabila sampai di kedai tetap juga salah.

Setiap kali Aiman membawa pulang benang yang salah itulah Aiman akan dimarahi ibunya. Aiman pula hanya diam membatu apabila dimarahi. Jenuh menunggu Aiman, ibunya pergi sendiri ke kedai mencari warna benang yang dihajati.

Sekarang ibunya sedar. Aiman ada masalah mengecam warna. Patutlah selama ini asyik tersilap warna. Mereka yang menghidapi masalah ini mempunyai persepsi warna yang berbeza berbanding individu normal. Sindrom ini dipanggil ‘colour deficiency syndrome’…

“Kasihan anak aku yang seorang ni. Bukan salah dia, kasihan dulu dia kena marah-marah dengan aku…”

>>>bersambung

p/s : Selepas ini ikuti kisah Aiman dengan rabun warnanya ketika dia berusia tiga belas dan tujuh belas tahun.

Thursday, September 8, 2011

Syawal


“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis sahih riwayat Muslim)



p/s : Percubaan menghasilkan kartun melalui laman ini. Semoga kita berada di bawah rahmat-Nya. Allahumma Solli 'Ala Muhammad Wa'ala Ali Muhammad.

Monday, August 1, 2011

Ramadan ya ramadan



p/s : Selamat menjalani ibadah puasa kepada yang mengunjungi teratak ini. Semoga ramadan kali ini lebih bermakna untuk meraih reda-Nya. Oh, kartun di atas telah diterbitkan di sini, sengaja diterbitkan sekali lagi. Rasanya tiada kartun baharu sebulan ini. Suhanallah; Alhamdulillah; Allahuakbar.

Monday, June 27, 2011

Lukisan yang tertangguh






p/s : Kartun terakhir untuk sisipan Qalbun-Nur yang tertangguh. Terima kasih kepada saudara Azmir Razali, saya merujuk kepada beliau sebelum menyiapkan lukisan kartun ini.

Sunday, May 8, 2011

Sambil menyelam minum air

"Mereka yang mengerjakan beberapa amalan dalam satu waktu adalah orang yang bijak menguruskan waktunya sehingga ia sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah..."

"Apabila seseorang pergi ke masjid berjalan kaki, maka ia adalah suatu ibadah kepada Allah. Dalam masa ia berjalan ke masjid itu juga ia boleh berzikir kepada Allah seperti membaca Al-Quran, bertasbih, bertahmid dan sebagainya..."

"Apabila seseorang menghadiri kenduri kahwin yang tidak bercampur dengan unsur-unsur maksiat kepada Allah maka ia adalah suatu ibadah. Dalam masa menghadirinya seseorang boleh bertemu rakan-rakan dan mengeratkan hubungan silaturahim..."




p/s : Petikan daripada buku berjudul Amalan 24 jam dalam Kehidupan Rasulullah SAW, klik sini.

Sunday, April 3, 2011

Cikgu Azman Terlupa

Cikgu Azman-hatinya hari ini berkobar-kobar sungguh. Segala perancangan telah disimpan rapi. Tunggu masa untuk mengeluarkannya. Tidur cikgu Azman malam tadi juga tidak lena langsung. Jenuh memikirkan hari esok. Dan hari ini, dia meyakinkan diri. Mahu buat sehabis baik.

Dia mula menarik nafas panjang.

"Assalamualaikum murid-murid!"

Jiwa-jiwa kecil di hadapannya menyambut salam Cikgu Azman-serentak dan berlagu.

Biji mata Cikgu Azman sempat memandang wajah bengkeng yang sedang duduk seorang diri di belakang kelas. Hatinya kecut seketika. Berkali-kali dia beristighfar di dalam hati. Pensyarahnya itu memang terkenal dengan air muka yang bengis.

Cikgu Azman langsung tidak menyangka pensyarah itu yang akan membimbingnya berpraktikum selama satu bulan di sekolah. Kalau tersilap langkah, borang penilaian di tangan pensyarah itu akan dibulatkan pada markah yang terendah.

“Murid-murid, pasang telinga!”

“Tajuk cikgu nak ajar pagi ni, tentang kebersihan. Faham?”

Bermula dengan mukadimah membawa murid kepada tajuk pelajaran sehingga ke penutup, dia habis mengajar selama satu jam lima minit.

Cikgu Azman menutup pembelajaran pagi itu dengan mengimbas kembali isi pelajaran. Dia mengingatkan murid-muridnya.

“Ingat murid-murid, kebersihan tanggungjawab?”

“Bersama!” Suara kuat murid-murid menjawab serentak. Cikgu Azman berasa cukup dengan jawapan yang diberikan murid-muridnya. Dia cuba mengajukan persoalan lagi.

“Jangan buang sampah sesuka?”

“Hati!”Murid-murid masih menjawab-semangat.

Cikgu Azman mengajar lebih lima minit daripada rancangan asal. Dia menghela nafas lega. Berasa puas sekali. Dia berjaya membawa keseronokan kepada murid-muridnya. Dan yang paling penting, objektif pembelajaran pagi itu berhasil.

“Tahniah Azman. Budak-budak tu seronok nampaknya dengan kamu. Apa yang kamu nak semua sampai kat budak-budak tu, tahniah!”

Cikgu Azman langsung tidak menyangka pensyarahnya yang berwajah bengkeng itu memujinya sedemikian rupa. Nampaknya dia bersangka buruk kepada pensyarahnya sebelum ini dengan hanya memandang raut mukanya. Rupa-rupanya di sebalik wajah bengkeng itu, hati pensyarah itu masih ada taman.

Mendengar pujian itu, hatinya kembang seketika. Dia gembira, hatinya yang sebelum ini berserabut kini sudah menjadi tenang.

Semasa berangkat keluar dari kelas, tangan cikgu Azman menyeluk poket kirinya-mencari gula-gula Hudson yang selalu disimpan untuk mengelakkan rasa ngantuk ketika bekerja. Bungkusan gula-gula di tangannya dibuka dan masuk ke mulutnya. Dengan wajah selamba, plastik yang membungkus gula-gula tadi dibuang ke tepi-jatuh ke celahan rumput hijau yang mencantikkan persekitaran sekolah.

Dia berjalan terus; menghayun-hayun tangannya dan langkahan kakinya yang sedikit angkuh. Di sudut hatinya, dia memuji-memuji dan mengangkat dirinya kerana berjaya mengawal kelas dengan baik. Nampaknya Cikgu Azman terlupa atau buat-buat lupa dengan nasihatnya kepada murid-murid di dalam kelas tadi. Tentang KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA.


p/s : Cerita dan watak Cikgu Azman hanya rekaan semata-mata. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar...

Thursday, March 10, 2011

Memartabatkan Tulisan Jawi


“Masyarakat Cina amat berbangga dengan kaligrafi mereka, tetapi mengapa kita tidak? Kaligrafi Cina sudah berusia hampir 2000 tahun sedangkan jawi pula baru sekitar 700 ke 800 tahun lalu...”


“Satu ketika dulu, tulisan jawi sangat berpengaruh, namun kini seperti dipandang sepi sedangkan ia merupakan ‘peralatan’ yang sangat penting dalam proses pembinaan tamadun Melayu Islam di rantau ini..."


"Salah satu daripada cara untuk menyebarkan tulisan jawi ialah melalui bahan bacaan seperti akhbar dan buku bacaan yang wajib dipelajari oleh pelajar Melayu dalam mengikuti mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sastera Melayu..."

(Sumber : Akhbar Kosmo, 10 Mac 2011. Klik sini untuk membaca artikel penuh.)



p/s : Rasa-rasanya saya cintakan tulisan jawi sejak dari bangku sekolah rendah lagi.

Friday, February 25, 2011

Lukisan awal

Kartun 1



Kartun 2



p/s : Rasa sudah terlalu lama tidak mengisi apa-apa di dalam blog ini. Anggaplah lukisan di atas sebagai pembuka tirai untuk tahun ini. Lukisan yang siap dengan dialognya akan saya terbitkan di blog ini sedikit masa lagi, insya-Allah.