Tuesday, December 16, 2014

Wahai!

Wahai diri,
Usah berhenti untuk meminta,
Kerana Allah itu tidak akan pernah memungkiri janji.

Sungguh,
Allah itu maha pengasih-maha penyayang,

Lihat kembali,
Siapa diri ini dengan-Nya,

Lihat kembali,
Apa yang masuk ke dalam perut tiap hari,

Lihat kembali,
Ke mana sisa masa telah habis tiap hari,

Lihat kembali,
Apa yang diungkapkan lidah tiap hari,

Lihat kembali,
Agama yang mahal ini,
Apa yang telah diberi,

Sungguh,
Muhasabah itu lebih baik,
Dari terus mempersoal mengapa berlaku,
Begitu dan begini.

Wahai diri yakinlah,
Allah itu Maha dekat,
Sedang diri sendiri,
Yang menjauh dari-Nya,

Wahai diri,
Teruskan berlari-usah berhenti,
Demi kejar reda Ilahi.

KUAT dan SABARLAH-wahai diri.


p/s : Mengadulah pada Dia sepuasnya, letak harapan pada Dia. Engkau tak akan pernah kecewa. Kerana keyakinan, apa yang berlaku selepasnya terkandung hikmah yang perlu digali dan dicari. Percayalah!

Tuesday, November 11, 2014

Bahagia SEBENAR di mana?

Sepasang suami isteri, punya sebuah banglo dan kereta besar duduk berehat-santai di balkoni hadapan rumah mereka. Masing-masing berbuat hal sendiri, mata mereka tekun mengamati skrin telefon pintar di tangan. Tiada langsung bebutir perbualan dari mereka berdua-dingin.

Sedang mata si isteri tertumpu kepada skrin telefon pintar miliknya, dia terlihat akan sepasang lelaki dan perempuan yang agak berusia darinya sedang berbual-bual. Berjalan perlahan di tepi jalan berhadapan banglo besarnya sambil berpegang tangan erat-mesra.

Si isteri lalu berkata kepada suaminya. "Abang, lihat pasangan tu. BAHAGIANYA mereka dapat berbual bersama. Jalan pun siap berpimpin tangan."

Si suami hanya diam membatu. Sambil itu, hujung matanya sempat mencuri lihat pasangan lelaki dan perempuan yang dikatakan oleh isterinya.

Sebaliknya-pasangan lelaki dan perempuan yang sedang berjalan berpegang tangan itu pula berasa kagum melihat sebuah banglo besar di hadapan mata mereka. Sebuah kereta besar yang diparkir di banglo itu menambahkan rasa kagum mereka. Sambil mengira-ngira di dalam hati, jumlah kekayaan pemilik banglo dan kereta tersebut. Jauh berbeza dengan kehidupan mereka.

Lalu, perempuan itu berkata sambil jarinya menunjuk-nunjuk ke arah banglo besar itu. "Abang, lihat mereka. Alangkah beruntung dan BAHAGIANYA mereka. Rumah besar, kereta pun besar."

"Betul, BAHAGIA benar mereka!" Si lelaki cepat bersetuju. Dalam fikirnya berangan-angan. Andai dia juga kaya seperti itu.



p/s : Kita semua mahukan kebaikan. Kita semua mahu berubah untuk bertambah baik. Teringat akan butir bicara lembut Ustaz Ebit Lew, "Kita sangka jika kita dapat apa yang kita mahukan, baru kita akan bahagia. Bahagia itu ialah hati yang kenal Allah. Bahagia itu ialah bila kita dapat sujud rasa dekat dengan Allah. Bahagia itu bila kita lalu hidup ini untuk cari reda Allah. Tiada yang boleh beri bahagia selain dari Allah. Bilal Rabah saat dihempap dengan batu sakit-susah diseksa demi mempertahankan agama Allah itulah saat bahagia untuknya. Bahagia kerana dapat pertahan agama Allah."  

Sunday, October 19, 2014

Kita Hamba

Selagi nyawa dikandung badan,
Akhirnya hidup siapa tahu-bagaimana?

Telah jatuh beribu kali,
Terus bangun berdiri,
Melangkah dengan jiwa HAMBA.
Kembali!


p/s : Kita dipandang baik, kerana Allah telah menutup aib kita. Baik kita, semua datangnya dari Allah. Kita ini hamba yang fakir langsung tiada apa. Semuanya milik Allah-SEMUA! 

Friday, August 15, 2014

Kita semua diuji


Kredit gambar : Page MUSLIM SHOW


Faisal pemuda yang baik, lima waktu di masjid ialah kebiasaannya. Namun, terputik sekelumit rasa riak dalam hati kecilnya-disebut orang dia rajin ke masjid. Hinggalah lama-kelamaan dia ke masjid bukan sebab Penciptanya, tapi mengharapkan pujian manusia.

Hussien pula pemuda yang agak liar, seluar Jeans koyak tambah kontot menampakkan kepala lututnya. Lima botol arak diteguknya biasa tanpa rasa bersalah dan takut apalagi malu!

Faisal yang baik telah diuji dengan kebaikan yang dilakukannya. Sebaliknya Hussien yang begitu sikapnya diuji dengan dosa yang dilakukannya.

Kita ini, baik tidak baik TETAP akan diuji oleh Dia. Kerana begitulah kehidupan, hidup ini ialah ujian. Di sini, kita dinilai dalam-kita semua menuju ke SANA.


p/s : Barangkali, waktu sekarang dia seorang yang amat teruk, tapi di akhir hayatnya kematian dia merupakan kematian terbaik. Berkeraslah berusaha dan berdoa untuk mendapat akhir yang husnul khatimah. Moga kita-Amin.

Saturday, March 29, 2014

Baitul Muslim 3.0

Sudah lama saya tidak mencoret sesuatu di sini. Sejak ditempatkan di sebuah sekolah negeri Hang Jebat, dan sejak itu juga blog ini dibiarkan lama seperti tidak berpenghuni. Baru-baru ini saya berkesempatan untuk hadir ke sebuah seminar Baitul Muslim 3.0 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Moga Allah reda perkongsian ini untuk yang membacanya, sedikit ilmu untuk saya yang lebih utama moga lebih ingat-malah diamalkan, insya-Allah. 


Sebenarnya terlalu banyak ilmu dicurahkan kepada para peserta sepanjang dua hari seminar berlangsung-pagi bertukar malam. Saya juga tidak punya kekuatan untuk berkongsi-menulis semuanya di sini. Maka saya ringkaskan catatan untuk setiap sesi yang berlangsung. Bagi sesi pertama bersama Ustaz Salim A. Fillah penulis buku islamis Indonesia, saya sebenarnya terlepas mengikuti sesi ini oleh sebab sampai agak lewat, tercari-cari dewan yang saya tidak pernah sampai ini seorang diri.

Kota Shah Alam ini saya hanya tahu tuju jalan ke dua tempat-masjid negerinya dan UITM. Yang selebihnya, saya tanyakan kepada orang. Lebih lagi masa ini saya tiada telefon canggih ber'GPS', sekurangnya untuk menunjuk jalan. Kita merancang, Allah juga merancang namun sudah tentu perancangan Allah mengatasi segalanya. Saya sampai saat Ustaz Salim menjawab soalan terakhir dari seorang peserta. Sekurangnya, dapat juga melihat wajah bersih-tenang ustaz secara berhadapan kerana sebelum ini hanya mengikuti beliau di laman sosial berkicau miliknya-Twitter.

Sesi kedua, lebih bersemangat selepas ketinggalan bas sesi  pertama! Bersama Ustaz Mohamad Ridhauddin Mohd Salleh dengan tajuk yang akan dikupas beliau-Pengurusan Jiwa. Saat beliau memulakan bual bicara, timbul satu persepsi dalam jiwa minda saya yang banyak dosa ini,

“Oh, seriusnya ustaz...”

Astaghfirullah, lihat tak semena-mena hati saya menilai. Begitulah kita-hidup ini tidak lari dari memandang dengan bermacam persepsi kepada orang sekeliling. Pandang orang itu-hati berkata begini. Pandang orang ini-hati berkata begitu. Begitulah andaiannya, pasangan suami isteri sebolehnya-tepis segala persepsi kepada pasangan dan sentiasa bersangka baik. Beliau membawa para peserta supaya lebih berhati-hati dalam menilai dan tidak terus menghukum sesuatu dengan pandangan serba negatif. Pentingnya pengurusan jiwa seperti ini akan membawa kesan kepada bahagia atau deritanya hidup, dengan izin Allah. Fahamilah pasangan dahulu jika mahu diri sendiri difahami. Beliau membawa ayat ke-21 dari surah Ar-Rum,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.

Beliau berkali-kali mengingatkan para peserta, sebelum membina rumah tangga-tetapkan tujuan sebenar sebuah perkahwinan. Letakkan Allah itu di tempat yang paling atas dalam kehidupan. Allah dan nabi adalah cinta pertama kita. Cinta kepada pasangan dalam rumah tangga adalah yang kedua. Saya teringat butir bicara saudara Hilal Asyraf pada seminar ‘Nikah Itu Cinta’ tahun yang sudah,

“Didiklah si isteri supaya cintakan Allah terlebih dahulu. Jadikan cinta kepada Allah sebagai nombor satu. Kerana apabila si suami ‘hilang’ satu hari nanti, dia tidak hilang punca dan hilang tempat bergantung kerana masih ada Allah sebagai tempat berharap...”

Saya tokok tambah kata-kata beliau, tetapi mesej katanya tetap serupa insya-Allah. Begitulah, pentingnya niat untuk segalanya disandarkan kepada Allah SWT. Saya ingin berkongsi satu soalan dari salah seorang peserta seminar tempoh hari,

“Bagaimana nak tahu si dia itu soleh atau solehah?”

Bual bicara ustaz bertukar nada saat menjawab soalan ini-lembut, seisi dewan sunyi menumpukan perhatian.

“Mintalah FATWA dari hati, selepas berbuat sesuatu, puas berusaha dan berDOA kepada Allah. Hati yang dekat dengan tuhan tidak akan menipu dengan penipuan. Banyakkan solat dan kurangkan berburuk sangka pada orang, maka hati akan berfatwa. Hati yang bersih akan menghasilkan keputusan yang jernih. Andai sesuatu itu jadi tidak seperti yang diharapkan, yakinlah akan ada yang lagi baik Allah telah sediakan...”

Beliau mengibaratkan perkahwinan itu seperti mengurus sebuah syarikat. Jika baik CEO atau bosnya, maka baik jugalah anak buahnya mengurus kerja-kerja syarikat. Isteri yang tidak solat-tidak ditegur si suami selagi itu si suami mendapat dosa! Lihat, besarnya tanggungjawab si suami selesai saat lafaz, ‘Aku Terima Nikahnya’.


Seusai rehat menghela nafas untuk makan tengahari dan bersolat zohor, seminar disambung semula bersama Ustaz Ridhauddin-sekali lagi. Beliau membawa tajuk, Anakku Bukan Anakku! Sesi kali ini lebih fokus kepada proses mendidik anak-anak dalam keluarga. Beliau mengingatkan akan perkahwinan itu sebenarnya adalah satu bentuk pelaburan menuju ke akhirat. Anak-anak itu pelaburan bagi kedua ibu bapa yang mendidiknya! Juga pelaburan itu sudah tentu ada rugi dan untungnya. Jadi, bagaimana mengaut keuntungan dalam pelaburan seperti ini?

Caranya, USAHA untuk didik anak menjadi soleh. Ingat ini, amalan yang tidak terputus pahalanya sehingga seseorang mati nanti adalah doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya. Nah, inilah pelaburan yang menguntungkan! Apabila berbicara soal mahukan anak yang soleh atau solehah ini, ustaz ada menegur para peserta,

“Mahukan anak yang baik-baik, ibu bapanya sudah tentu perlu terlebih dahulu bersedia untuk menjadi yang baik...”

Baik, mari kita isi tempat kosong di bawah,

Saya mahukan anak-anak yang :-

1)  ________________________________________
2)  ________________________________________

Sekarang, buangkan perkataan ‘mahukan’ akan menjadi,

Saya anak-anak yang :-

1) _________________________________________
2) _________________________________________

Jadi, kita anak yang bagaimana kepada kedua ibu bapa kita sekarang? Peserta yang duduk di kiri dan kanan saya terasa sentap, termasuk juga saya. Mendengar persoalan yang ustaz lontarkan dari atas pentas dewan. Impikan itu dan ini sedang diri ini-tepuk dada, tanyalah iman. Ustaz Ridhauddin terus menambah perkongsian kepada para peserta agar nanti ibu bapa tidak terlalu menjadi diktator dalam menyuruh anak berbuat baik. Diktator itu ditukar menjadi demonstrator,

“Adam, pi solat tu!”

“Adam, ekau poie solat copek!”

Kita TUKAR dan UBAH untuk mengajak menjadi begini,

“Adam, mai solat dengan ayah.”

“Adam, sini solat dengan ayah.”

Ibu dan bapa menjadi tauladan yang baik, insya-Allah. Bukan sekadar mengarah, menyuruh dan sebagainya. Tapi lebih kepada mengajak ikut serta bersama-sama. Selepasnya, jangan lupa untuk didik mereka akan hakikat sebenar penghujung sebuah kehidupan-SYURGA ataupun NERAKA. Akhir kalam mengenai perkongsian dari Ustaz Ridhauddin ini, saya tarik kata-kata yang mengatakan beliau ini seorang yang serius. Sebab ada kalanya, unsur kecindan tetap ada-sebagai perasa.

Jam menunjukkan pukul 5.15 minit petang, seusai Asar sesi selepasnya diteruskan oleh Tuan Samsuddin Kadir dengan tajuk yang akan dikupas beliau-Fulus Oh Fulus! Oh, sebenarnya ini kali kedua saya mendengar beliau berucap memberikan perkongsian. Kali pertama di Universiti Malaya, jadi saya tidak terkejut dengan bahasa beliau yang sangat berterus terang, sinis dan tajam! Kata-kata beliau mudah difahami dan dihadam. Beliau berkongsi, yang pasangan pengantin banyak menghabiskan wang untuk membiayai ‘perasaan seronok’ seperti dua hingga tiga helai baju persalinan persandingan, pelamin, tukar langsir rumah, tukar itu dan ini dan segala macam lagi.

Pesan beliau, besederhanalah. Tidak perlu banyak mengeluarkan wang sehingga membazir untuk majlis yang habis dalam masa empat atau lima jam. Baik, untuk kenyataan beliau selepas ini-kali kedua (yang pertama di Universiti Malaya) saya dengar dari butir bicara beliau bahawa,

“Tidak perlu menetapkan wang hantaran...”

“Jangan berhutang atau membuat pinjaman untuk melangsungkan perkahwinan...”

“Majlis yang dibuat bukan untuk bermegah, riak dan seumpama dengannya...”

Saya tambah, satu perkongsian dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam laman Twitter beliau,



Tuan Samsudin juga ada berkongsi perihal pelaburan yang mendatangkan untung-ada tiga. Yang pertama pelaburan ilmu, yang kedua pelaburan emas dan ketiga pelaburan hartanah. Sepanjang sesi perkongsian, beliau memberikan banyak situasi masa kini menjelang perkahwinan untuk para peserta jadikannya sebagai pengajaran dan sempadan. Selesai sesi Fulus Oh Fulus! oleh Tuan Samsudin Kadir, saya melihat kepada tentatif seminar pada sesi yang seterusnya. Saya fikir ini kali pertama saya akan melihat dan mendengar tajuk yang akan dibawa ke atas pentas untuk diforumkan pada sebelah malamnya nanti.

Seawal jam 8.20 minit malam, kerusi dalam ruang dewan sudah pun dipenuhi oleh para peserta seminar. Membawa pendekatan agak santai dalam bentuk forum-Ustaz Syaari Abdul Rahman sebagai moderator, Kapten Hafiz Firdaus, Ustazah Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh dan Ustazah Siti Masitah Samsury sebagai ahli panel. Tajuk yang akan dikupas ialah-Sebelum Aku Bernikah Lagi? Saya rumuskan isi seputar tajuk forum, perkara pertama yang perlu disoal kepada diri untuk poligami ialah kenapa perlu poligami dan kenapa tak perlu poligami?

Dan yang paling utama, niat poligami itu sendiri adalah untuk amal soleh, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk, suka-suka, riak dan sebagainya. Seputar forum, Kapten Hafiz banyak berkongsi pengalamannya dalam kehidupan berpoligami, begitu juga dengan Ustazah Masitah. Jika kena niat dan caranya, tidak timbul masalah bagi mereka yang berpoligami-juga tidak timbul persepsi buruk apabila mendengar perkataan POLIGAMI.

Tamat seminar untuk hari pertama, Allah telah mudahkan banyak perkara untuk saya sampai ke seminar Baitul Muslim 3.0 ini. Alhamdulillah, moga Allah reda perkongsian ini.

p/s : Akhir ini, banyak sungguh peristiwa yang berlaku datang menguji. DIA sedang menegur kita atas ujian yang datang, sedar atau tidak sedarkah kita semua?