Saturday, January 23, 2010

'harapan & doa seorang ibu'


     Bunyi nada dering telefon bimbitnya membuatkan dia tersedar semula di dunia nyata. Terlalu leka dia dengan alam maya, melayari internet dengan kemudahan jalur lebarnya di samping bertungkus lumus mencari bahan yang diberikan oleh pensyarah.

     Peti mesejnya dibuka dan matanya tertumpu kepada penghantar mesej tersebut. Panjang kandungan mesej tersebut, seperti panjangnya perjalanan seorang ibu membesarkan seorang anak. Penuh ranjau serta kenangan. Mesej sebuah harapan berbekalkan doa untuk anak yang tercinta yang kini sudah pun mencecah umur 21 tahun. Tiba-tiba perasaan rindu datang menyelinap di sudut hatinya takala membaca mesej itu. Rindu seorang anak yang menggunung rasa sayang dan cinta kepada ibunya.


Anakku,
jadilah sebaik-baik hamba untuk yang maha Esa,
sebaik-baik umat untuk Rasulmu,
sebaik-baik anak untuk ibu bapamu,
sebaik-baik sahabat untuk semua sahabat-sahabatmu,
sebaik-baik teladan untuk adik-adikmu,
dan sebaik-baik insan untuk agamamu, bangsamu dan tanah airmu..

Selagi ada hayat ini mak sentiasa mendoakan anakku dilanjutkan usia,
diluaskan pintu rezeki,
dikurniakn kesihatan yang sempurna,
dikurniakan kejayaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat,
jangan sombong kerna segala kita ada, adalah milik Allah Ta'ala..

Jangan terlalai dengan pesona kehidupan ini,
dengan penuh rasa syukur,
mak ucapkan selamat menyambut hari ulangtahun keputeraanmu,
salam kasih sayang dari mak.
.



Amin-rasa syukur dia mendapat seorang ibu yang amat penting dan dikasihi dalam hidupnya.

Sunday, January 17, 2010

‘Pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul’


    Dia benar-benar tertarik dengan sebuah buku yang ditulis oleh seorang penulis novel islamik, Fatimah Syarha Mohd Noordin. Buku ini sebenarnya telah lama berada di pasaran, rasanya telah dicetak sebanyak dua kali kerana kelarisannya. Buku ini dipinjamkan oleh sahabatnya yang insya-Allah suatu hari nanti akan bergelar ustaz apabila menamatkan pengajiannya.

    Sebelum merebahkan badan ke katil, dia sempat melihat buku yang diberikan oleh sahabatnya itu. Dia pun bukannya rajin untuk membaca buku melainkan buku yang dibelinya itu menggunakan wangnya sendiri-helaian demi helaian diselak dan bagaikan ada satu kuasa magnet yang menarik minatnya, buku itu habis juga dibacanya pada malam tersebut sebelum dia masuk tidur.

    Sebuah buku yang telah memberikan gambaran sebenar bagi sesiapa yang masih lagi merangkak tercari-tercari akan makna cinta itu sendiri, bagaimana memiliki cinta yang suci mungkin. Buku ini memang sarat dengan unsur tarbiyahnya. Helaian demi helaian, ceritanya amat cantik disusun disulami dengan peringatan daripada Al-Quran dan hadis. Sungguh, dia sendiri berasa adalah satu bentuk kerugian jika dia tidak membaca buku itu.

    Melihat bahagian belakang kulit buku tersebut sahaja membuatkan terdetik rasa cemburu di hatinya, melihat gambar penulis buku ini bersama suaminya-indahnya bercinta kerana Allah, membina baitulmuslim bersama. Cemburu dia untuk mendapatkan seorang wanita yang solehah, untuk saling melengkapi kerana dia sedar dirinya itu pun bukannya sempurna. Kadangkala terlintas di fikirannya, adakah pantas untuk dia mendapatkan wanita yang seperti diharapkannya itu? Teringat dia akan firman Allah yang bermaksud ;

"Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dari tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia." (An-Nur : 26)

Subhanallah, amat indah apa yang dikatakan Allah di dalam Al-Quran. Dia akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik di sisi Allah-melaksanakan Islam secara syumul, amat cantik sekali diceritakan di dalam buku ini. Dia meminjamkan buku tersebut kepada beberapa orang sahabatnya, respon yang diterima amat baik sekali-berkongsi apa yang mampu dikongsi olehnya dengan orang lain.

Bahaya cinta sebelum kahwin-petikan dari buku PEMILIK CINTAKU SETELAH ALLAH DAN RASUL untuk perkongsian bersama :


  1. Menyibukkan hati merindui makhluk yang belum halal seumpama membuka pintu bagi syaitan mencucuk jarumnya untuk melupakan atau menjauhkan kita daripada-Nya. 
  2. Rindu palsu akan membelenggu minda hingga terjajah dan terhina di bawah jajahan syaitan.
  3. Cinta lalai akan menyebabkan alpa daripada mempersiapkan diri untuk keperluan dunia dan akhirat.
  4. Fitnah cinta ibarat racun yang akan membunuh akal, jiwa dan perasaan.
  5. Jika berjaya melangkah ke alam rumah tangga nescaya ia terbina atas dasar maksiat yang mengundang parah kepada paribadi zuriat kami pastinya (cinta kerana nafsu semata)

Saturday, January 9, 2010

Peringatan Untuk Dia

    Membelek sebuah akhbar pada hari ini membuatkan dia terpikir, malahan dia juga tidak menyangka bahawa arus pemodenan yang dipacu hebat pada hari ini secara tidak langsung melunturkan nilai-nilai moral yang secara fitrahnya terbentuk baik dalam hati manusia. Cuma bagaimana sifat fitrahnya sehelai kain putih yang bersih suci itu harus dicorakkan, harus diwarnakan-sama ada dengan warna gelap, terang, cerah atau segala macam warna. 

     Nah, inilah dugaan yang rasanya paling hebat untuk dilalui oleh semua manusia, penyakit yang rasanya memerlukan satu vaksin, antivirus yang mempunyai sistem ‘security’nya yang amat tinggi untuk melawan serta memusnahkan segala macam ancaman dari luar yang boleh merosakkan jiwa, hati malahan rohani manusia. Kadangkala dia juga berfikir, mengapa dahulu penyakit sosial yang dilanda tidaklah begitu parah jika hendak dibandingkan dengan sekarang. Adakah kerana di waktu itu usianya masih lagi kecil, apa tujuan hidup di dunia ini pun tidak pasti? Apa yang dia tahu hanya bermain bersama-sama rakan, mengayuh basikal ke hulu dan ke hilir tanpa tujuan yang pasti. Biasalah, kanak-kanak akan melalui semua itu. Hal-hal di luar, masalah negara itu dianggap hal orang dewasa. Maka hal-hal yang berlaku di sekelilingnya langsung tidak dipandang menyebabkan dia pada hari ini merasakan pada waktu dahulu penyakit sosial ini tidak sampai pada tahap yang serius mungkin.

     Rasuah, seks bebas, buang bayi, bunuh, rogol dan pelbagai lagi. Macam-macam jadi, gusar pula rasanya, mengapa ya? Apa sebabnya tolaklah tepi dulu, apa yang perlu disegerakan, dia perlu berfikir bagaimana untuk mengelakkan dirinya terjerumus sama ke dalam penyakit ini, kerana dia juga manusia, bukannya sempurna! Dia hanya mampu berdoa, berdoa dan terus berdoa kerana kalimah-kalimah itulah yang akan membantunya melalui kehidupan yang penuh dengan ranjau, simpang-siur dan segala macam bentuk halangan. Cara yang terbaik, dia harus kembali kepada pencipta-Nya. Inilah yang terbaik,bukankah setiap hari mulut berikrar-Ibadah, solat, hidup, mati dia hanya untuk Allah SWT? Amat lengkap, cantik sekali Allah menyediakan landasan bagi semua hamba-Nya mengikuti supaya tidak sesat di awal, pertengahan dan penghujung jalan.

"Ya-Allah, kau kuatkanlah imanku, kau masukkanlah aku dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ya-Allah, beri aku kejayaan di dunia lebihan lagi di akhirat ya-Allah. Sesungguhnya aku ini hanya insan yang nyata terlalu lemah ya-Allah. Amin"