Monday, December 6, 2010

Tahun baharu hijrah


p/s : Berubah walaupun sedikit. Kadangkala kualiti itu lebih baik daripada kuantiti.

Thursday, December 2, 2010

Sedih?


p/s : Suka-suka edit.

Monday, November 29, 2010

Mencari solusi



“Ayah, saya nak tanya sikit boleh?”

Si ayah mencuri menoleh ke kiri, memandang anaknya. Kemudian pandangan si ayah diteruskan ke hadapan. Kedua-dua tangannya bergerak-gerak menggenggam stereng kereta. Panduannya cukup cermat dan berhati-hati.

“Umar nak tanya apa? Tanya sajalah, macam tak biasa pula dengan ayah.” Senyuman terukir manis di bibir. Lemah-lembut, gaya seorang ayah yang mithali.

Si anak membuang pandangannya ke luar, memerhatikan papan-papan iklan yang besar didirikan di tepi jalan raya.

“Iklan-iklan kat tepi jalan raya ni, macam tak sesuai kan ayah?”

“Tak sesuai, maksud Umar?”

“Umar tengok iklan-iklan tu ada gambar wanita mendedahkan aurat. Tiap-tiap produk kebanyakannya akan menonjolkan gambar pergaulan bebas dan eksploitasi tubuh wanita.”

Si ayah hanya diam mengangguk-angguk. Membiarkan anaknya terus berbicara dengan buah fikirannya yang semakin matang dirasakannya. Dia menyedari yang anaknya itu sudah banyak berubah. Semakin matang berfikir, seiring dengan usianya yang semakin meningkat dewasa.

“Hari ini kita risau dengan masalah sosial yang semakin menjadi-jadi. Zina kemudian buang anak. Tapi bukankah iklan-iklan sebegitu yang syaitan gunakan untuk mencucuk mata dan hati manusia?” Si anak terus dengan kata-katanya yang bernas, penuh bersemangat.

“Benar Umar. Memang zina tu akan bermula daripada pandangan mata. Pandangan inilah yang akan turun mengalir ke hati. Memang sukar menjaga pandangan, kerana pabila ada yang mendedahkan, waktu itulah syaitan datang mengapi-apikan keadaan.”

“Kalau macam tu, biarlah semua manusia menutup aurat dengan sempurna, lebihan lagi wanita. Benarkah ayah?”

Si ayah diam seketika. Stereng kereta diputar perlahan-lahan, mengikut arah pergerakan jam. Kereta bertukar arah, mengambil selekoh kanan menuju ke destinasi tujuan. Selepas itu, dia meneruskan kata-kata kepada anaknya.

“Ayah rasa sukar, tapi tak mustahil. Umar pun tahu kan, agama Islam sangat praktikal. Walau kita ada dalam zaman apa pun. Bila yang wanita dah menutup aurat dengan sempurna, maka yang lelaki tundukkan pandangannya. Bukankah itu dah menutup pintu zina? Kemenangan akan berpihak kepada sesiapa yang mengikuti suruhan-Nya.”

“Betul tu ayah.” Si anak diam. Dalam hatinya terdetik, ini baru iklan di tepi-tepi jalan. Belum lagi di media massa lain. Memang pintu-pintu zina perlu segera ditutup, dikunci menggunakan mangga yang cukup kuat dan tahan lasak. Allah SWT dah beri amaran, ‘jangan kamu menghampiri zina!’

Si anak mendengus panjang. Sesekali si ayah hanya memandang anaknya yang duduk di sebelah. Diam buat beberapa ketika. Dia tahu dalam diam itu anaknya sedang berdebat di dalam hati. Mencari kemenangan atau solusi barangkali.

p/s : Rujukan daripada majalah Solusi isu 23.

Sunday, October 31, 2010

Monday, October 18, 2010

Haul Imam Al-Haddad

Imam al-Haddad merupakan ulama yang terkenal berketurunan baitun nubuwwah, Bani Zahra 'min aali 'Ali, Saadah Ba 'Alawi. Hatinya bersih daripada sifat keji sehinggakan tidak merasa terhina dengan segala perkara yang merendahkannya. Pernah seorang anak disuruh seorang ayah agar anaknya itu pergi menghantar sebilah pisau untuk ditajamkan oleh tukang besi. Di dalam bahasa arab, al-Haddad bermaksud tukang besi. Dengan sebab sifat kekanakan yang ada pada anak itu, maka anak itu menghantar pisau tersebut kepada Imam Al-Haddad yang disangkanya tukang besi. Dipendekkan cerita, ayah kepada si anak tersebut mengetahui yang anaknya telah tersilap menghantar pisau itu kerana anaknya memberitahu bahawa orang yang menajamkan pisau itu tidak mahu mengambil duit upah. Usai diselidik anaknya itu, benarlah si anak itu telah menghantar pisau itu kepada orang yang dihormati, iaitu Imam Al-haddad. Tidak semena-mena dengan perasaan malu, si ayah pergi berjumpa dengan Imam Al-haddad lalu meminta maaf dan menyatakan perasaan malunya terhadap kelakuan anak kecilnya itu. Lalu Imam Al-haddad pun berkata kepada si ayah.

“Kalau kau benar cintakan aku, jangan kau marahi anak itu, kerana aku tidak sedikit pun merasa terhina.”

Beliau ialah Al-Allamah Al-Imam As-Sayyid Al-Habib Abdullah Bin Alwi Al-HaddadbAl-Alawi Al-Husaini atau lebih dikenali dengan nama Habib Abdullah Al-Haddad. Beliau dilahirkan pada tahun 1634 dan meninggal dunia pada tahun 1720. Al-fatihah buat Imam Al-haddad. -Tranungkite-

p/s : Pengalaman pertama kali menghadirkan diri ke majlis haul di Masjid Al-Falah Subang Jaya meninggalkan kesan di hati. Usai Asar, masjid sudah mula dipenuhi oleh para jemaah. Terasa ketenangan pabila duduk bersama-sama menatap wajah dan mendengar amanat yang disampaikan oleh para ulama besar dari Malaysia dan Indonesia. Didahului dengan bacaan ratib Al-Haddad dan majlis kemuncak, kata-kata yang disampaikan oleh Al-Habib Umar Ben Hafidz dari Yaman dalam bahasa Arab yang diterjemahkan oleh Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid membawa para jemaah berasa dekat dengan Maha Pencipta. Bergema masjid malam itu dengan panggilan kalimah Allah, Allah, Allah oleh para jemaah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..


Al-Habib Umar Ben Hafidz dan Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid

Monday, August 23, 2010

Siapa menang


An-Nisa' : 103


p/s : Pastikan kemenangan pada solat. Dengan izin Allah Azza Wajalla, kita mampu mengubahnya.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadan

Hati manusia berbunga-bunga,

Kini telah hadir menyiram jiwa gersang,

Dinyah titik-titik hitam yang bersarang,

Ini rahmat ini berkat ini keampunan,

Ahlan wasahlan ya Ramadan.


perantau-isz
Lembah Pantai

Wednesday, August 4, 2010

Barakah, jaga mulut dan kehalalan.





p/s; Antara yang terkandung dalam sisipan Qalbun Nur. Untuk sisipan penuh, bolehlah melayari laman rasmi ini, http://kelab-rakansurauipgm.blogspot.com/.

Sunday, August 1, 2010

Melihat bahasa

Transit aliran ringan petang itu terus meluncur laju di landasan. Kerusi-kerusi masih ada punya ruang kosong, mereka yang ada di situ lebih senang untuk berdiri. Mungkin kerana terlekat pernyataan itu. ‘Beri kepada mereka yang lebih utama’. Merujuk kepada si ibu yang sedang mengandung, manusia kelainan upaya dan buat warga emas yang perlu lebih disayangi maka kerusi-kerusi itu dikhaskan untuk mereka yang sebenarnya.

Macam-macam ragam manusia dapat diperhatikan. Ada yang sedang memejam mata akibat keletihan baru pulang seharian bekerja. Ada juga yang sedang termenung jauh, melontarkan pandangan ke luar bingkai kaca transit melihat pemandangan Kuala Lumpur yang kian menyesakkan. Melihat ke jalan-jalan amat merimaskan, ratusan kenderaan berasak-asak mahu bergerak. Tekanan sungguh bagi mereka yang terperangkap dalam kesesakan itu. Tentu badan terasa panas walaupun kenderaan dibekal dengan alat penghawa dingin. Hati pula seperti ada api yang sedang ditiup-tiup supaya lebih marak, tatkala itu nafsu kemarahan akan mula membelenggu diri. Sebab itulah wujud saranan supaya rakyat menaiki kenderaan awam.

Dia memegang erat besi pemegang di dalam transit. Takut-takut terjatuh akibat pergerakan transit yang kadangkala ke kiri dan ke kanan. Kakinya terasa lenguh yang menggigit, habis waktu kuliah dia dan sahabatnya terus bergegas ke luar untuk membeli beberapa barang keperluan. Dia tersenyum melihat sahabatnya. Tersenyum kerana sahabatnya sedang khusyuk benar dengan akhbar yang sedang dipegang di tangan, sambil menyandar di pintu transit.

“Kenapa kau senyum, sindir aku ya?” Sahabatnya tersedar dengan senyuman yang wujud.

“Tak, nampak berkaliber sungguh kau”.

“Kenapa pula?” Berkerut dahi sahabatnya, mula pelik.

“Tu, akhbar yang kau pegang itu kan berbahasa London,” bibirnya muncung ke arah akhbar yang dipegang sahabatnya.

Sekali pandang memang nampak seperti orang yang berjawatan dan berkaliber sahabatnya itu. Mengenakan kemeja berlengan pendek berjalur kemas dengan seluar slack licin. Kasut kulit hitam yang tirus ke hadapan dengan gaya jahitan tampak bersilang itu menampakkan harganya yang bukan puluhan ringgit. Ditambah pula dengan sebuah beg komputer riba Acer jenama Targus berwarna hitam yang disandang di bahu. Benar-benar bergaya. Memegang pula helaian akhbar percuma berbahasa Inggeris yang disambar ketika membeli tiket di kaunter. Setiap petang akhbar percuma itu akan diletakkan di situ. Dengan harapan orang ramai akan membacanya. Sesuai dengan kempen membaca sekarang walaupun dilihat kurang berjaya namun masih punya harapan. Ya, masih punya harapan!

“Aku tengok-tengok macam tu saja, bukan nak baca sangat. Kalau tak faham semua, faham sikit pun dah kira alhamdulillah,” sahabatnya tenang menjawab.

“Betul juga, dari tak membaca langsung,” dia lantas bersetuju dengan sahabatnya sambil mengingat-ingat surah Al-A’laq. Betapa membaca itu penting untuk menguasai ilmu duniawi lebihan lagi ilmu ukhrawi.

“Satu lagi, janganlah kau mengangkat bahasa Inggeris ini terlalu tinggi. Kita orang Melayu, kita ada bahasa Melayu yang sarat dengan nilai budaya kita sendiri,” riak wajahnya menampakkan keyakinan dalam berkata.

Memang benar, hari ini barat telah berjaya menanam kepada jiwa-jiwa manusia. Yang bahasa mereka ialah bahasa terbaik dunia. Bahasa utama. Bahasa perantaraan dunia. Sehingga bahasa Melayu kini amat banyak diresapi dengan bahasa Inggeris itu sendiri. Kerna itu, mungkin ayat yang sungguh sopan ala ketimuran seperti “Maaf, tumpang lalu” akan tidak akan digunakan lagi. Yang akan diguna pakai “Sorry, excuse me”. Mungkin begitulah. Kesannya, bahasa Melayu akan mula menampakkan kepupusan kerna dihujani dengan resapan-resapan dari bahasa asing. Sehingga hilang sinar pada bahasa itu. Ingat-ingat, bahasa melambangkan bangsa.

“Tenang kawan, aku gurau-gurau saja,” dia menepuk bahu sahabatnya perlahan-lahan.

“Tak mengapa, hari ni aku ingatkan kau. Esok kau ingatkan aku. Kita memang perlu selalu diberi peringatan, benar kan?”

“Benar,” dia menjawab ringkas.





p/s; Sehingga saat ini tugasan pembikinan 5 sajak, 3 cerpen dan sebuah novel masih belum dimulakan. Moga Allah SWT berikan kekuatan untuk diri ini lebih berusaha. Malas? Buangkan jauh-jauh. Amin.

Wednesday, July 7, 2010

Seakan songsang

Hari itu paling lewat. Kerna kelembapan komuter pada hari itu dia telah ditinggal bas yang sepatutnya dia naik pada pukul 6.30 petang untuk ke kampung halamannya. Baru saja semester baharu bermula, tetapi hatinya seakan kuat meronta-ronta ingin balik. Tidak kira walaupun wang saku bila difikir-fikir kembali seperti tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian. Kerna ketinggalan bas itu, dia berjalan menuju ke tempat solat di stesen bas yang sudah mulai lengang. 

Nasib baik dengan izin Allah juga seorang sahabatnya sanggup menjemputnya walaupun jarak dari kampung halaman ke stesen bas yang terletak di pekan mengambil masa sejam perjalanan. Gerai-gerai kecil yang hidup pada waktu siang di sekitar stesen bas pun tidak lagi dikunjungi orang. Kerusi-kerusi disusun, menunggu masa untuk berkemas-kemas menutup gerai dan pulang. Awan mendung berarak, titik-titik hujan yang nipis mulai jatuh ke bumi. Sampai ke tempat solat untuk menunggu waktu maghrib, tiba-tiba langkahnya terhenti. Sehelai kertas putih terlekat di pintu masuk. “Maaf, ketiadaan air di surau ini”. Dipulas juga tombol pintu untuk memastikan, tetapi memang benar seperti pernyataan tadi bahawa air tiada.

Langkahnya dipanjangkan ke masjid, kira-kira 300 meter juga jarak dari stesen bas. Elok juga ke masjid, ruang yang ada lebih selesa sementara menunggu sahabatnya datang menjemput. Usai solat, dia duduk di tangga masjid. Masjid yang pada hari jumaatnya akan kedengaran khutbah dalam bahasa tamil. Dalam duduk itu, terdengar suara yang menarik perhatiannya. Bukan tertarik kerana kelunakan suara tersebut, tetapi satu ayat yang terpacul dari mulut perempuan itu. 

Usia perempuan itu dalam lingkungan 20-an, menegur sahabatnya yang baru keluar dari pintu masjid bahagian perempuan. Sememangnya tidak disangka boleh pula dia menyaksikan perkara ini. Perempuan yang baru keluar dari pintu masjid itu tidak bertutup kepalanya. Lantas sahabat perempuan itu yang sedang menunggu di beranda masjid menegur, 

“Eh, kau masuk masjid tak tutup kepala. Mana boleh”

Yang ditegur itu tidak berkata apa, hanya tersenyum. Seakan ada kecelaruan antara adab dan kewajipan. Melihat gelagat dua perempuan itu, dahinya berkerut. Rasa pelik menyelubungi diri.


Monday, June 14, 2010

Piala rebutan?


Surat khabar di atas meja itu dicapainya dengan pantas. Diselaknya pada helaian belakang sekali. Untuk situasi normal orang ramai akan mula melihat tajuk utama yang menjadi isu semasa di hadapan helaian surat khabar itu. Tetapi sejak kebelakangan ini helaian hadapan itu seakan tidak diambil endah. Bukan tidak diambil endah, tetapi helaian belakangnya yang pasti akan dibelek dahulu kemudian baru helaian hadapan. Seperti membaca surat khabar bertulisan jawi. 

Mengapa ya? Sambil membelek helaian demi helaian, mulutnya ternganga besar. Mula berbangga pasukan Asia dapat menang pada perlawanan bola sepak pada malam itu. Mengira-ngira di dalam hati pasukan mana yang akan menjulang piala yang amat berprestij itu. Pasukan yang akan menang itu sudah pastinya mendapat habuan yang amat besar, tetapi dia yang tegar menunggu setiap perlawanan bersengkang mata hanya dapat melihat sahaja. Matanya meliar mencari waktu perlawanan bagi pasukan pilihannya. Melihat-lihat tarikh, teringat akan sesuatu. Diselak helaian hadapan surat khabar itu, matanya mengimbas keseluruhan muka hadapan surat khabar itu mencari sesuatu. 

Pergerakan matanya terhenti setelah dapat melihat apa yang dihajati. Jari telunjuknya menunjuk ke bahagian atas sekali surat khabar itu ke sebelah kiri. Kecil sahaja saiz tulisannya. ‘Ahad, 13 Jun 2010, 30 Jamadil Akhir 1431’. Kerana dilalaikan oleh piala dunia ini terlupa pula ‘piala akhirat’ yang perlu lebih diutamakan. Akan masuk bulan Rejab, kemudian Syaaban seterusnya Ramadan. Bulan Rejab termasuk dalam bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT yang kini manusia dihidangkan dengan perlawanan bola sepak piala dunia ini. Dalam keghairahan melihat pasukan mana bergelar juara, dia diingatkan oleh salah seorang sahabat yang sudah lama dikenalinya sejak berada di bangku sekolah rendah lagi. Diingatkan dan disedarkan melalui sebuah perisian laman sembang mengenai ayat ini, 

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa". (At-Taubah : 36)

Jangan sampai terlupa kewajipan, solat dilengahkan atau bercakaran hanya kerana piala duniawi ini. Malahan nasib saudara di Palestin, bagi mereka doa harus terus dipanjatkan. Dia membuat kesimpulan, supaya beringat. Kerna seringkali dia dilalaikan dengan perkara sebegini. Doalah banyak-banyak.


"Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan, Amin.."

Thursday, May 27, 2010

Tiada Tajuk


(hakcipta terpelihara;8910)

p/s; Dialog pada lukisan di atas sebenarnya adalah kosong untuk peraduan mengisi dialog sempena sambutan Hari Guru peringkat institut. Dialog merupakan rekaan semata-mata. Mungkin kalian mempunyai dialog yang lebih menarik malah berhikmah untuk diisi. Sekurang-kurangnya lukisan itu menjadi waktu santai ketika sedang asyik bertarung untuk hari peperiksaan akhir semester yang kini telah pun berakhir. Alhamdulillah kerana dipermudahkan atas segala urusan.

Wednesday, May 19, 2010

Hikmah itu

Dahulu, contengan-contengan dari tangannya langsung tidak bermotifkan apa-apa tujuan. Teringat akan waktu persekolahan dahulu tiap kali waktu kelas, sedang guru yang mengajar di hadapan tangannya seakan ligat untuk menconteng di atas kertas. Bukanlah memegang sebatang pen untuk mencatat nota. Sehinggakan tercipta rentetan cerita bersiri yang dicontengnya setebal lebih 100 muka surat hasil kolaborasi bersama 2 orang rakannya yang juga tegar dalam aksi conteng-menconteng ini. 

Tak tahu mengapa, pantang memegang pensel atau pen sahaja jari-jamarinya terasa gatal untuk menconteng. Sehingga ditegur oleh sahabatnya beberapa kali, seperti sudah menjadi tabiat. Ini kelebihan yang dikurniai oleh Allah, dia percaya. Tentu sahaja mempunyai hikmah. Lama-kelamaan hikmah tersebut kian dirasai, hasil contengannya mula digunakan sebaik mungkin. Ke jalan yang lebih baik rasanya. Sekurang-kurangnya mempunyai tujuan hasil contengannya itu. Amanah yang diberikan untuk menyertai sebuah badan kelab dakwah di tempat pengajiannya diguna sebaik mungkin. Diberi peluang untuk bertanggungjawab pada helaian sisipan untuk tujuan menyampaikan kebaikan. 

Sekurang-kurangnya apa yang ingin disampaikan itu akan diingat oleh dirinya sendiri walau kadang kala sisipan tersebut seakan tidak diambil endah. Biar tidak sampai kepada orang lain, asal melekat di hatinya sebagai muhasabah diri. Dan niat untuk itu diluruskan hanyalah semata-mata kerana Allah. Setinggi-tinggi syukur dipanjatkan kerana kelebihan yang dimilikinya itu. Inilah hikmah yang ditemuinya. Sebagai manusia dia memang perlu sentiasa mencari hikmah akan sesuatu perkara. Jika tidak dicari, sudah pasti yang akan terkeluar dari mulutnya hanyalah keluh dan kesah lalu merungut tidak pernah ada tanda noktah. Kerna lupa disebalik kejadian, peristiwa atau musibah itu terkandung hikmah yang perlu diselongkari. Maka, carilah!


"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir"(Al Ma'aarij 19-21)








Koleksi-koleksi sisipan Qalbun Nur untuk edisi bulan Ramadhan)

Wednesday, May 5, 2010

Pabila semut berbicara.


Semut 1 : Mana jemaah malam ni? Sikitnya..

Semut 2 : Tak tahulah, aku pun pelik tengok budak-budak dekat sini.

Semut 1 : Kenapa?

Semut 2 : Tu, asrama dekat. Tapi tidak ada tenaga nak datang surau. Jalan berapa langkah saja pun.

Semut 1 : Hujan dekat luar tu, mungkin sebab tu budak-budak tu tak datang.

Semut 2 : Baguslah kau, memang sentiasa bersangka baik. Tapi hujan tadi, ni dah berhenti hujan. Tengok, ustaz sudah hendak mula kuliah. Sikit sangat jemaah yang datang.

Semut 1 : Betul juga cakap kau, hari Isnin lepas aku tengok berpusu-pusu budak-budak kat sini pergi pasar malam. Meredah renyai-renyai hujan yang turun. Memang banyak tenaga.

Semut 2 : Lapar punya pasal, nak isi perut.

Semut 1 : Oh isi perut ke? Lapar, cari makanan kan.Tapi makanan rohani, tak nak isi?

Semut 2 : Tak tahulah. Dah la, tak perlu jaga tepi kain orang.

Semut 1 : Sebab apa tak boleh jaga tepi kain orang? Sebab kita serangga ke.

Semut 2 : Bukan macam tu, aku selalu dengar manusia cakap kubur masing-masing. Jangan sibuk.

Semut 1
: Memang la kubur lain-lain, tapi nanti nak masuk kubur. Boleh berjalan masuk sendiri? Mandi, kapan, solat, siapa nak buat semua tu. Nak masing-masing ke?

Semut 2
: Betul juga cakap kau. Tak tahulah aku.

Kringgggggg…… Tersentak dia mendengar bunyi penggera telefon bimbitnya. Mimpi rupanya dia. Tapi amat pelik dan ajaib, bermimpikan semut. Dan yang lagi penting, semut-semut yang datang dalam mimpi itu memberikan mesej peringatan kepadanya. Dalam keadaan mamai itu dia bangkit berjalan ke bilik air membasuh muka. Diingatkan dirinya berkali-kali akan kata-kata 2 ekor semut yang hadir dalam mimpinya sebentar tadi, seperti terkena batang hidungnya. Kepalanya menggeleng berkali-kali.

p/s : Hanyalah rekaan semata untuk mempraktikkan teori kritikan sastera secara Psikoanalisis.

Friday, April 23, 2010

Satu petanda

Hari itu dia seperti sedikit kalut, ke sana ke sini melangkah laju mempercepatkan gerak demi memastikan apa yang dirancang dapat berjalan dengan lancar. Dengan izin Allah alhamdulillah masalah yang datang dapat juga diatasi dengan kadar seberapa segera. Dapat juga dia menghela nafas lega, duduk sebentar mendengar apa yang diperkatakan oleh tetamu undangan pada seminar hari itu.

Seminar telah pun bermula sejak awal pagi, walaupun sedikit lambat rasanya tidak mengapa kerana dirasakan seminar ini amatlah berbaloi. Tiba-tiba ada tangan yang menepuk bahunya dari belakang. Cepat-cepat dia menoleh.

“Eh, ustaz. Assalamualaikum”,ucapnya lembut.

“Waalaikumsalam, mana lagi peserta lelaki dalam seminar? Banyak ini saja ke”,ustaz mengutarakan persoalan.

 Dia lantas melihat kepada bilangan peserta seminar itu di dalam dewan. Di sebelah kirinya memang sudah dipenuhi oleh kaum hawa sehingga ke bahagian belakang. Namun mengecewakan apabila memandang kepada kaum adam ini, ternyata sedikit sahaja bilangannya. Banyak kerusi yang dibiarkan kosong. Hampir separuh peserta lelaki yang sudah mendaftar untuk seminar itu tiada.

 “Tak tahulah ustaz, yang daftar ramai. Tapi itu saja yang datang”,jawabnya ringkas tanpa memberikan sebab.

Tidak berani memberikan sebab mengapa mereka yang sepatutnya hadir itu tiada di dalam dewan kerna dia sendiri pun tidak pasti apakah sebabnya. Tidak adil rasanya jika mengeluarkan sebab membuta kerna mungkin mereka ini ada perkara yang lebih awla untuk diselesaikan, mungkin. Memikirkan diri dia pun kadang kala sama sahaja, tidak hadir bila mana dia diperlukan untuk hadir. Dia pun tidak pasti. Tapi apa yang pasti kebanyakan program yang dianjurkan, di dalamnya mesti kekurangan peserta lelaki.

 Ini hipotesis yang dia sendiri keluarkan. Tapi dia sendiri tidak tahu adakah hipotesis tersebut diterima atau akan ditolak 100%. Hanya boleh dikatakan benar sekiranya terdapat bukti-bukti kukuh yang dapat menerima hipotesis itu. Atau mungkin kerana nisbah antara lelaki dengan perempuan sudah seperti tidak seimbang. Di akhir zaman sebegini memang bilangan yang perempuan akan mengatasi lelaki. Semua ini petanda kiamat.

Duduk termenung seketika, termuhasabah dia hari itu. Kiamat memang akan semakin menghampiri, mana mungkin akan semakin menjauhi. Diingatkan perkara ini berkali-kali untuk dirinya supaya sentiasa beringat, agar tidak alpa.



Tuesday, April 13, 2010

Baik dibalas baik.

          Lega dia pada hari itu dapat melabuhkan punggung di kerusi. Selalunya jarang sekali dia dapat duduk kerana ramainya orang yang menaiki bas pada waktu cuti sekolah sebegini. Berebut-rebut mencari peluang untuk menjadi yang terawal berada di dalam bas, semata-mata tidak mahu berdiri. Bayangkan sepanjang perjalanan menghampiri jarak 60 kilometer hanya berdiri, apakah perasaan yang hadir waktu itu. Pecah peluh juga menahan penat dan lenguh di kaki.

         Tiba-tiba bas berhenti mengambil penumpang, tempat duduk penumpang ketika itu sudah pun dipenuhi. Naik seorang pakcik sekitar umur 50-an yang matanya meliar mencari tempat duduk kosong. Terlihat di riak mukanya perasaan kecewa kerana perlu juga digagahi untuknya berdiri. 5 minit, 10 minit dan 15 minit. Pakcik itu terus berdiri, sudah menampakkan perasaan tidak selesanya. Tangannya juga seakan tidak lagi kuat memegang erat tiang di dalam bas bagi menyokong dirinya. Sesekali badannya terhuyung-hayang apabila bas mengambil selekoh tajam.

         Penat barangkali, detik fikirannya. Dilihat tiada siapa pun yang mahu memberikan pakcik itu tempat duduk. Tiba-tiba perasaan kasihan menyelubungi diri. Teringat pula wajah ayahanda dan bonda, bagaimana jika mereka berhadapan dengan situasi ini. Dia lantas bangun, menyapa pakcik yang sedang berdiri itu,”Pakcik, duduklah. Sana ada tempat kosong”. Pakcik itu hanya mengangguk dan tersenyum senang, seakan tidak terkata apa mungkin penat kerana memegang kudrat seorang yang bergelar veteran. Lapang hati dia melihat wajah pakcik itu kerna dapat duduk dengan selesa.

                                                                   *****************

        Hari ini sekali lagi dia menaiki bas, tetapi kali ini melawan arus mahu pulang ke tempat pengajiannya. Sungguh ramai manusia yang menaiki bas hari itu, kali ini mungkin dia terpaksa berdiri. Setelah membeli tiket di kaunter kepalanya mendongak melihat ke dalam bas yang akan dia naiki itu. Benar sudah penuh. Niat di hati ingin menunggu bas yang seterusnya, tetapi niat itu dibatalkannya. Dia naik juga walaupun sudah penuh kerna tidak mahu berlengah dan mahu mengejar masa.

       Berdiri dengan beg yang disandang berisi sebuah komputer riba dan pakaian basahannya menyebabkan bahunya tiba-tiba terasa lenguh. Dipicit-picit bahunya itu perlahan-lahan. Tiba-tiba seorang remaja sekolah belasan tahun menyapa,

"Abang mahu ke mana? Duduklah, saya nak berdiri. Abang nak ke Seremban kan? Duduklah tempat saya, destinasi abang lebih jauh lagi dari saya”.

Agak malu-malu kucing sebenarnya setelah dia dipelawa sedemikian rupa. Menolak pelawaan buat kali pertama tetapi seakan dipaksa, dia duduk juga.

“Terima kasih”, ucapan terkeluar dari hati yang ternyata berasa kagum dengan sikap remaja tadi. Dalam duduk itu, dia berfikir.

Teringat akan pakcik yang diberinya tempat duduk dahulu. Sungguh, semua ini datang daripada-Nya. Walaupun perkara ini amat kecil,sehingga kadangkala tidak pula diambil kisah. Padahal setiap peristiwa yang berlaku itu dilihat oleh-Nya setiap masa. Memang benar tidak rugi sedikit pun apabila kita melakukan kebaikan. Benarlah perbuatan baik itu akan dibalas dengan kebaikan juga, insya-Allah. Dia memegang kata-kata yang diungkapkan sendiri oleh bisikan hatinya itu sambil melihat wajah remaja yang memberinya tempat duduk itu tadi. Bas yang dinaikinya terus meluncur laju membelah hujan renyai yang turun ketika itu.

Wednesday, March 24, 2010

Qalbun nur dari Kelab Rakan Islah IPG KBM



Sisipan edisi ke-3 Qalbun Nur mengenai tips ubati hati.
(klik pada gambar untuk mendapatkan saiz yang besar). hakcipta terpelihara : 8910

Wednesday, March 17, 2010

Kejarlah peluang.

          Tergerak hati memulas tombol pintu bilik sahabatnya, sekadar ingin menjengah sebelum pulang ke kampung bertemu keluarga tercinta. Dilihatnya di atas tilam sahabatnya yang kemas diselimuti cadar putih itu ada sebuah buku. Buku kulit depan itu seakan tidak mengajak atau seperti tiada aura untuk sesiapa yang melihat membaca isinya. “Apa jenis buku ini,” bisik hatinya. Aduh, melihat ketebalan buku tersebut juga melemahkan semangat bagi dia memulakan proses membaca. 

          Berfikir entah bila akan dia habis membaca buku itu. Tetapi apabila digagahi, menyelak helaian buku tersebut hipotesis yang dia buat sahih meleset semata. Bolehlah diandaikan jauh tersasar. Hanya membaca mengenai suatu topik, hipotesis yang diandaikannya telah dia tolak 100%. “Bagus rupanya buku ini,”kesedaran timbul di sudut hati. Benar bahawa tulisan di dalam buku itu berformatkan saiz yang kecil, perlu kekuatan jiwa untuk membacanya tetapi kandungan atau isinya hebat. Banyak tajuk serta artikel yang dapat memotivasikan manusia, setiap artikel pendek dalam 3 hingga 4 helaian sahaja. Maka rumusan yang boleh dibuat ialah jangan menilai sesuatu hanya dari segi apa yang dilihat dari segi luaran sahaja.

         Tidak adil sungguh jika begitu jadinya. Di dalam, Allah SWT sahaja yang tahu kerna Dialah yang maha mengetahui. Bercerita perihal pencapaian akademik seorang manusia, lebih kepada bentuk memotivasikan manusia sesuai dengan pengarangnya yang seorang pakar dalam bidang psikologi dan motivasi. Kecemerlangan seseorang individu tidak boleh diukur dengan pencapaian akademiknya. Setujukah anda? Ya, benar setiap manusia itu dibekalkan dengan kelebihan dan kemahiran masing-masing. Cuma kadangkala tidak perasan dengan kelebihan yang ada maka kelebihan yang ada itu tidak dapat digunakan pada tahap yang setinggi mungkin. Individu yang kurang dalam pencapaian akademik, tetapi dia memiliki kemahiran dalam membaiki kerosakan komputer. Serahkan sahaja kepada dia apa jua masalah yang timbul berkenaan komputer, dengan izin Allah SWT semua dapat diselesaikan dengan kemahiran kurniaan Ilahi itu. Bukan seperti tikus yang sedang membaiki labu. Jadi dengan kemahiran yang dimiliki, dibukanya sebuah kedai komputer yang lama-kelamaan akan bertambah cawangannya. Ini merupakan salah satu contoh. 

          Jadi bagi yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang tinggi janganlah memandang rendah terhadap mereka yang tidak memiliki apa-apa kelulusan ini. Tetapi usaha itu yang menentukan segalanya. Jangan hanya menunggu peluang datang,tetapi peluang itu sebenarnya perlu dikejar dan dicari. Itu sedikit sebanyak yang ada di dalam buku itu setelah ditokok tambah dengan beberapa frasa atau ayat.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah nasibnya sendiri”. (Ar-Ra’ad: 11)

Thursday, February 25, 2010

Betapa besar rahmat itu.

          ‘Nabi SAW, engkaulah idolaku’. Sewaktu dia berada di sekolah rendah dahulu, ungkapan inilah yang diisi di ruangan ‘siapa idola anda?’ di atas sekeping kertas. Sebenarnya pada tahap umur sebegitu dia masih belum cukup kenal dan menghayati peribadi yang dimiliki oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Mungkin kerana tiada kesedaran pada umur sebegitu untuk lebih menghayati ketinggian sifat peribadi baginda. Seperti merasakan dirinya menipu diri sendiri, kerana apa yang dijadikan idola itu tidak diikuti dengan sebaiknya. Sedangkan bagindalah sebaik-baik manusia yang perlu diikuti dan dicontohi. 

          Lagi-lagi apabila menyertai perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul di sekolah, dia hanya menyertai perarakan kadangkala dengan semangat mengikut-ikut sahabatnya sahaja. Menyertai perarakan sehingga tiba di perkarangan masjid dengan selawat ke atas Nabi, selepas itu duduk mendengar ceramah dan selesai ceramah ada pula sedikit jamuan ringan. Tidak boleh dianggap ringan, berat juga rasanya. Yang bab jamuan itulah yang kadangkala dinanti, sehingga lupa apa tujuan dan matlamat sambutan itu sebenarnya. Ini sewaktu dia masih kecil, biarkanlah sahaja dia. Bukankah perlu melentur buluh perlu dari saat masih dipanggil rebung? Sekurang-kurangnya ada juga semangat dia untuk mengingati kembali betapa besarnya rahmat dan nikmat dengan kelahiran Nabi SAW ini. Kalau sudah dewasa tabiatnya masih lagi menyertai sambutan hanya kerana jamuan di akhirnya, memang tidak patut. Perlu malu kepada diri sendiri malahan perlu malu lagi kepada Allah SWT. 

          Pening juga dia melihat berita-berita yang dipaparkan di media baru-baru ini. Semuanya menjadi isu. Pelik sungguh, rasanya menjadi isu hangat kerana ada agenda dan kepentingan yang tertentu oleh individu atau organisasi tertentu. Rasanya semua sudah maklum akan isu ini. Hari ini terasa dia mula merasa kemanisan. Alangkah bahagia dapat menghayati peribadi Nabi SAW itu sendiri. Terkesan di jiwa, alhamdulillah kerana hati dilembutkan sedemikian rupa. Ini memang nikmat yang besar, mudah benar terkesan di jiwa setiap apa yang didengar dan dipelajari. Sentiasa ingin mengubah dan memperbaiki diri demi mencapai reda Illahi. Walaupun kadangkala alpa tetapi ada juga usaha, niat di hati Allah SWT sahaja yang tahu. Sejauh mana sunnah telah diamalkan, termuhasabah dia. Ini untuk apa? Untuk meningkatkan kecintaan kepada Nabi SAW dan agama Allah SWT.

Sedikit perkongsian ilmu bersama setelah mengikuti tiga kuliah mengenai Maulidur Rasul.

  1. Jangan sekadar ikut tradisi sambutan, tetapi pengamalan sunah itu perlu ada dalam diri.
  2. Ucapan selawat ke atas Nabi SAW perlu untuk setiap masa dan bukan sekadar melafazkan tetapi perlu difahami dan dihayati.
  3. Melihat betapa besar rahmat yang hadir dengan kelahiran Nabi SAW.
  4. Walaupun menggunakan pendekatan yang berbeza, intipati sambutan perlu sama untuk mendekatkan diri kepada Nabi SAW dan Allah SWT serta tidak ada unsur yang melalaikan.
  5. Keperibadian Nabi SAW yang Al-Amin perlu diikuti sebagai agen perubahan demi memberi gambaran personaliti seorang muslim.
  6. Manusia perlu dipandu oleh Al-Quran dan As-Sunnah untuk hidup.


Thursday, February 18, 2010

Kenapa, mengapa, bagaimana?

          Tajuk-tajuk yang sama muncul kembali. Kali ini lebih dahsyat dan hebat. Dalam masa seminggu sahaja sudah berapa banyak kes itu berulang. Itu hanya kes yang dilaporkan, menunjukkan jumlah yang amat menakutkan. Bagaimana dengan kes-kes yang tidak dilaporkan? Terbayang kedahsyatan catatan angka tersebut. Siapakah sebenarnya individu yang tidak bertanggungjawab ini. Sungguh, amat senang mereka berfikir. Amat senang mereka menggunakan aqal mereka. Malah menyalahgunakan pemberian aqal oleh Rabb mereka yang sepatutnya digunakan untuk tujuan yang lebih baik. Ini bukan masalah kecil, kerana pastinya kes seperti ini akan terus meningkat jika tidak dibendung dengan segera. 

         Bukan itu sahaja, rasanya kes ini akan terus terpencil tetapi membahayakan jika media masa ataupun media cetak berhenti daripada melaporkannya. Ini kerana sesetengah pihak hanya akan bersemangat untuk membendung kes ini apabila kes seperti ini dihebohkan. Maka selepas seminggu dua, hilang kehangatan sudah berita seperti ini, tiada siapa yang akan ambil peduli. Akan dibiarkan sahaja masalah yang menakutkan ini. Mungkin mengikut resmi pisang goreng yang baru sahaja diangkat dari minyak yang menggelegak panas. Masa panas sedap pula menikmatinya, semua orang berkehendakkannya, bila hilang hangat ramai pula menolaknya. Tidak mendatangkan ‘feel’ katanya. 

         Amat wajar rasanya berita ini terus diberi perhatian dari semasa ke semasa supaya semua sedar akan suatu masalah yang sedang menimpa masyarakat yang tinggi tamadunnya. Pelik, bertamadun tetapi mengapa mereka ini berfikiran singkat untuk memilih jalan mudah seperti masyarakat jahiliyyah dahulu kala. Takut juga untuk berfikir seperti ini dan menggunakan kata ganti diri ‘mereka’ di dalam penulisan ini. Ini kerana jari sedang menunjuk ke arah mereka yang di luar. Biarlah penulisan ini untuk muhasabah diri yang lebih utama rasanya. Supaya sentiasa beringat. Memang masalah yang sedang berlaku ini perlu disatukan usaha dari pelbagai pihak. Jika satu pihak sahaja yang giat berusaha, sedangkan pihak yang lain seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, mana mungkin usaha untuk mengatasi masalah ini dapat dilaksanakan. Terfikir juga, mengapa sanggup untuk bertindak sedemikian wahai manusia. Sedangkan membuang sampah di sana-sini pun sudah dikira salah, kerana akan mengotorkan persekitaran serta pemandangan. Menjaga kebersihan itu memang amat dituntut dalam Islam. Kebersihan sebahagian daripada iman bukan. 

         Tapi ini lebih parah. Menyebabkan pembuangan satu jasad yang terkandung roh di dalamnya. Sewenang-wenangnya sahaja hal ini dilakukan, nauzubillah. Di tong sampah, di longkang semua dilakukan tanpa perasaan belas kasihan sebagai seorang manusia. Diselusuri kembali mengapa boleh terjadi hal seperti ini, banyak pula faktornya. Yang nampak penyebab utama, kerana seks bebas. Di saat perkenalan pertama yang masih malu-malu kucing sehingga hilang perkataan malu itu sendiri, terjerumus ke lembah zina. Bukankah sepatutnya malu kepada Allah itu lebih diutamakan? Hal inilah yang harus ditanggung jika perkenalan yang sepatutnya halal itu bertukar menjadi haram kerana menggunakan undang-undang yang dicipta sendiri. Apa yang ditetapkan gagal diikut dan dihayati. Mudah sahaja berkata tanpa memikirkan akibat dan impak yang akan datang mengundang. 

        Ini lagi satu masalah yang kian parah. Maka masalah yang berlaku ini perlu dibendung dari akar umbi yang mula menggengam teguh tanah. Sebelum akar mencengkam tanah lebih kuat, sehingga sukar ditarik keluar maka akar ini harus ditarik pada awal masa supaya tidak berserabut akarnya untuk lebih senang ditarik. Memang benar kiamat sudah dekat dan manusia hidup di dunia akhir zaman. Semua ini tanda-tanda kiamat akan berlaku. Mungkin ini impak daripada penyakit wahan yang dikatakan oleh Rasullullah SAW, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. 

         Yang dibuang itu tidak mengerti apa-apa, tidak adil sungguh. Dihukum sedemikian rupa oleh tangan-tangan manusia ini sedangkan hatinya masih suci bersih tidak melakukan sebarang dosa. Kejam bukan? Sebentar, tidak adil pula jika melihat bayi yang dibuang disebabkan kepada gejala seks bebas semata-mata. Bagaimana pula dengan mereka yang menjadi mangsa rogol. Ini juga menjadi sebahagian statistik kepada gejala buang bayi ini. Semakin panjang cerita jika ingin diselusuri maka ditamatkan dengan noktah dan tanda tanya di sini.?


Monday, February 1, 2010

Ingat Dia....

     Sedang dia sibuk menyiapkan tugasan yang ditinggalkan pensyarah bersama sahabatnya, tiba-tiba nafasnya tersekat. Tidak tahu apa yang sedang menimpa dirinya itu. Tidak pernah pula dia mengalami kesakitan sedemikian sebelum ini. Entah mengapa, dadanya terasa sakit apabila ingin menarik nafas panjang. Benar-benar sakit, pertama kali mengalami perasaan sedemikian. Malam itu ketika hendak tidur bermacam-macam perkara bermain di fikirannya.

     Dia mengurut-urut dadanya yang masih terasa sakit perlahan-lahan sambil fikirannya merapu berfikir 1001 perkara. Bermacam perkara terlintas di fikirannya dan yang utama difikirkan itu hanyalah satu, iaitu kematian. Kali ini serius, saat kematian berlegar-legar di setiap saraf otaknya. Macam-macam difikirkan sebelum tidur, adakah dia akan dijemput oleh malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa akan datang pada malam itu juga. Mengucap panjang dia malam itu, memikirkan apa yang dilakukan sepanjang dia kini berusia 21 tahun. Dari dia kenal erti baik dan jahat, kenal benda kotor atau bersih hinggalah saat umurnya mencapai tahap baligh.

     Mulai saat itu jugalah dosa-dosa akan ditanggung di bahunya sendiri. Segala perbuatan dan amalan dicatat walau perkara tersebut hanya sebesar saiz zarah walau tidak boleh diukur dengan saiz sekalipun, tetap dicatat. Sedikit pun tidak akan terlepas dari catatan di bahunya itu. Dia lantas memikirkan bahunya itu akan berat ke sebelah mana, adakah bahu bahagian kiri? Atau bahagian kanan? Dia sendiri tidak dapat menjawab persoalan itu melainkan Pencipta-nya yang maha tahu segala perkara. Dia sendiri merasakan bahawa amalannya masih belum cukup untuk dia pergi menghadap Rabb-nya, malah belum puas menikmati kemanisan yang dikecapi tatkala melaksanakan perintah Pencipta-nya dengan penuh rasa keikhlasan dan keinsafan.

     Desakan sahabatnya supaya dia lekas berjumpa doktor seringkali diengkari. Entah mengapa sungguh malas sekali dia hendak pergi ke hospital mendapatkan kepastian apakah yang sedang dialaminya itu. Terasa seperti menzalimi diri sendiri apabila sakit yang ditanggung dibiarkan begitu sahaja. Hanya berdoa mengharapkan sakit tersebut lekas pergi supaya dia kembali sihat seperti dulu. Lama-kelamaan sakit itu hilang dengan sendirinya, hanya datang sekali sekala. Apa yang pasti sakit yang datang itu mendatangkan banyak hikmah untuk dirinya. Apabila sakit, terasa bahawa kematian sentiasa dekat dengan dirinya dan dia juga tahu amat besar nikmat kesihatan yang dianugerahkan Rabb-nya.

     Maka demi kesihatan yang berpanjangan amat penting bagi dia mengamalkan cara hidup yang sihat, mengamalkan pemakanan yang seimbang serta mengerah tubuh supaya berpeluh sekali-sekala. Ingatlah bahawa kematian itu datang menerpa secara tiba-tiba, tidak akan dilewatkan atau dipercepatkan walau seminit atau sesaat pun. Sesungguhnya sebagai manusia dia sentiasa lupa dan juga alpa, kadangkala keseronokan serta gelak ketawa bersama sahabat handai menyebabkan dia lupa akan Pencipta-nya. Alangkah hebatnya iman Nabi SAW dan para sahabat dahulu kerana setiap detik yang berlalu hati mereka sentiasa terpaut dengan Allah SWT. Memang benar apa yang dikatakan oleh ustaz yang datang memberikan kuliah di surau tempat pengajiannya.

"Manusia ini hanya waktu susah baru hendak ingat Allah, masa peperiksaan datang baru masjid-masjid dipenuhi manusia menjayakan program solat hajat serta Yasin meminta supaya diri mereka dipermudahkan urusan. Tetapi alangkah baiknya dan indahnya apabila mereka itu berterusan melakukan sedemikian, dikala senang juga ingat Allah maka masjid serta surau akan diimarahkan dan dipenuhkan oleh manusia ini."

     Dia sedar, kata-kata ustaz itu memang ada benarnya dan terkesan di sudut hatinya kerana dia pun mempunyai sifat sedemikian. Kadang kala terlalu leka dengan kesibukan dan keseronokan dunia sehingga terlupa tanggungjawab yang lebih awla kepada Penciptanya.

Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah SAW bersabda : Dua nikmat yang kebanyakan manusia terpedaya dengannya ialah waktu sehat dan masa lapang. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari). Dalam waktu lain, Rasulullah menjenguk Salman al-Fahrisi yang tengah berbaring sakit. Rasulullah bersabda. “Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.”

Saturday, January 23, 2010

'harapan & doa seorang ibu'


     Bunyi nada dering telefon bimbitnya membuatkan dia tersedar semula di dunia nyata. Terlalu leka dia dengan alam maya, melayari internet dengan kemudahan jalur lebarnya di samping bertungkus lumus mencari bahan yang diberikan oleh pensyarah.

     Peti mesejnya dibuka dan matanya tertumpu kepada penghantar mesej tersebut. Panjang kandungan mesej tersebut, seperti panjangnya perjalanan seorang ibu membesarkan seorang anak. Penuh ranjau serta kenangan. Mesej sebuah harapan berbekalkan doa untuk anak yang tercinta yang kini sudah pun mencecah umur 21 tahun. Tiba-tiba perasaan rindu datang menyelinap di sudut hatinya takala membaca mesej itu. Rindu seorang anak yang menggunung rasa sayang dan cinta kepada ibunya.


Anakku,
jadilah sebaik-baik hamba untuk yang maha Esa,
sebaik-baik umat untuk Rasulmu,
sebaik-baik anak untuk ibu bapamu,
sebaik-baik sahabat untuk semua sahabat-sahabatmu,
sebaik-baik teladan untuk adik-adikmu,
dan sebaik-baik insan untuk agamamu, bangsamu dan tanah airmu..

Selagi ada hayat ini mak sentiasa mendoakan anakku dilanjutkan usia,
diluaskan pintu rezeki,
dikurniakn kesihatan yang sempurna,
dikurniakan kejayaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat,
jangan sombong kerna segala kita ada, adalah milik Allah Ta'ala..

Jangan terlalai dengan pesona kehidupan ini,
dengan penuh rasa syukur,
mak ucapkan selamat menyambut hari ulangtahun keputeraanmu,
salam kasih sayang dari mak.
.



Amin-rasa syukur dia mendapat seorang ibu yang amat penting dan dikasihi dalam hidupnya.

Sunday, January 17, 2010

‘Pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul’


    Dia benar-benar tertarik dengan sebuah buku yang ditulis oleh seorang penulis novel islamik, Fatimah Syarha Mohd Noordin. Buku ini sebenarnya telah lama berada di pasaran, rasanya telah dicetak sebanyak dua kali kerana kelarisannya. Buku ini dipinjamkan oleh sahabatnya yang insya-Allah suatu hari nanti akan bergelar ustaz apabila menamatkan pengajiannya.

    Sebelum merebahkan badan ke katil, dia sempat melihat buku yang diberikan oleh sahabatnya itu. Dia pun bukannya rajin untuk membaca buku melainkan buku yang dibelinya itu menggunakan wangnya sendiri-helaian demi helaian diselak dan bagaikan ada satu kuasa magnet yang menarik minatnya, buku itu habis juga dibacanya pada malam tersebut sebelum dia masuk tidur.

    Sebuah buku yang telah memberikan gambaran sebenar bagi sesiapa yang masih lagi merangkak tercari-tercari akan makna cinta itu sendiri, bagaimana memiliki cinta yang suci mungkin. Buku ini memang sarat dengan unsur tarbiyahnya. Helaian demi helaian, ceritanya amat cantik disusun disulami dengan peringatan daripada Al-Quran dan hadis. Sungguh, dia sendiri berasa adalah satu bentuk kerugian jika dia tidak membaca buku itu.

    Melihat bahagian belakang kulit buku tersebut sahaja membuatkan terdetik rasa cemburu di hatinya, melihat gambar penulis buku ini bersama suaminya-indahnya bercinta kerana Allah, membina baitulmuslim bersama. Cemburu dia untuk mendapatkan seorang wanita yang solehah, untuk saling melengkapi kerana dia sedar dirinya itu pun bukannya sempurna. Kadangkala terlintas di fikirannya, adakah pantas untuk dia mendapatkan wanita yang seperti diharapkannya itu? Teringat dia akan firman Allah yang bermaksud ;

"Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dari tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia." (An-Nur : 26)

Subhanallah, amat indah apa yang dikatakan Allah di dalam Al-Quran. Dia akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik di sisi Allah-melaksanakan Islam secara syumul, amat cantik sekali diceritakan di dalam buku ini. Dia meminjamkan buku tersebut kepada beberapa orang sahabatnya, respon yang diterima amat baik sekali-berkongsi apa yang mampu dikongsi olehnya dengan orang lain.

Bahaya cinta sebelum kahwin-petikan dari buku PEMILIK CINTAKU SETELAH ALLAH DAN RASUL untuk perkongsian bersama :


  1. Menyibukkan hati merindui makhluk yang belum halal seumpama membuka pintu bagi syaitan mencucuk jarumnya untuk melupakan atau menjauhkan kita daripada-Nya. 
  2. Rindu palsu akan membelenggu minda hingga terjajah dan terhina di bawah jajahan syaitan.
  3. Cinta lalai akan menyebabkan alpa daripada mempersiapkan diri untuk keperluan dunia dan akhirat.
  4. Fitnah cinta ibarat racun yang akan membunuh akal, jiwa dan perasaan.
  5. Jika berjaya melangkah ke alam rumah tangga nescaya ia terbina atas dasar maksiat yang mengundang parah kepada paribadi zuriat kami pastinya (cinta kerana nafsu semata)

Saturday, January 9, 2010

Peringatan Untuk Dia

    Membelek sebuah akhbar pada hari ini membuatkan dia terpikir, malahan dia juga tidak menyangka bahawa arus pemodenan yang dipacu hebat pada hari ini secara tidak langsung melunturkan nilai-nilai moral yang secara fitrahnya terbentuk baik dalam hati manusia. Cuma bagaimana sifat fitrahnya sehelai kain putih yang bersih suci itu harus dicorakkan, harus diwarnakan-sama ada dengan warna gelap, terang, cerah atau segala macam warna. 

     Nah, inilah dugaan yang rasanya paling hebat untuk dilalui oleh semua manusia, penyakit yang rasanya memerlukan satu vaksin, antivirus yang mempunyai sistem ‘security’nya yang amat tinggi untuk melawan serta memusnahkan segala macam ancaman dari luar yang boleh merosakkan jiwa, hati malahan rohani manusia. Kadangkala dia juga berfikir, mengapa dahulu penyakit sosial yang dilanda tidaklah begitu parah jika hendak dibandingkan dengan sekarang. Adakah kerana di waktu itu usianya masih lagi kecil, apa tujuan hidup di dunia ini pun tidak pasti? Apa yang dia tahu hanya bermain bersama-sama rakan, mengayuh basikal ke hulu dan ke hilir tanpa tujuan yang pasti. Biasalah, kanak-kanak akan melalui semua itu. Hal-hal di luar, masalah negara itu dianggap hal orang dewasa. Maka hal-hal yang berlaku di sekelilingnya langsung tidak dipandang menyebabkan dia pada hari ini merasakan pada waktu dahulu penyakit sosial ini tidak sampai pada tahap yang serius mungkin.

     Rasuah, seks bebas, buang bayi, bunuh, rogol dan pelbagai lagi. Macam-macam jadi, gusar pula rasanya, mengapa ya? Apa sebabnya tolaklah tepi dulu, apa yang perlu disegerakan, dia perlu berfikir bagaimana untuk mengelakkan dirinya terjerumus sama ke dalam penyakit ini, kerana dia juga manusia, bukannya sempurna! Dia hanya mampu berdoa, berdoa dan terus berdoa kerana kalimah-kalimah itulah yang akan membantunya melalui kehidupan yang penuh dengan ranjau, simpang-siur dan segala macam bentuk halangan. Cara yang terbaik, dia harus kembali kepada pencipta-Nya. Inilah yang terbaik,bukankah setiap hari mulut berikrar-Ibadah, solat, hidup, mati dia hanya untuk Allah SWT? Amat lengkap, cantik sekali Allah menyediakan landasan bagi semua hamba-Nya mengikuti supaya tidak sesat di awal, pertengahan dan penghujung jalan.

"Ya-Allah, kau kuatkanlah imanku, kau masukkanlah aku dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ya-Allah, beri aku kejayaan di dunia lebihan lagi di akhirat ya-Allah. Sesungguhnya aku ini hanya insan yang nyata terlalu lemah ya-Allah. Amin"