Tuesday, November 11, 2014

Bahagia SEBENAR di mana?

Sepasang suami isteri, punya sebuah banglo dan kereta besar duduk berehat-santai di balkoni hadapan rumah mereka. Masing-masing berbuat hal sendiri, mata mereka tekun mengamati skrin telefon pintar di tangan. Tiada langsung bebutir perbualan dari mereka berdua-dingin.

Sedang mata si isteri tertumpu kepada skrin telefon pintar miliknya, dia terlihat akan sepasang lelaki dan perempuan yang agak berusia darinya sedang berbual-bual. Berjalan perlahan di tepi jalan berhadapan banglo besarnya sambil berpegang tangan erat-mesra.

Si isteri lalu berkata kepada suaminya. "Abang, lihat pasangan tu. BAHAGIANYA mereka dapat berbual bersama. Jalan pun siap berpimpin tangan."

Si suami hanya diam membatu. Sambil itu, hujung matanya sempat mencuri lihat pasangan lelaki dan perempuan yang dikatakan oleh isterinya.

Sebaliknya-pasangan lelaki dan perempuan yang sedang berjalan berpegang tangan itu pula berasa kagum melihat sebuah banglo besar di hadapan mata mereka. Sebuah kereta besar yang diparkir di banglo itu menambahkan rasa kagum mereka. Sambil mengira-ngira di dalam hati, jumlah kekayaan pemilik banglo dan kereta tersebut. Jauh berbeza dengan kehidupan mereka.

Lalu, perempuan itu berkata sambil jarinya menunjuk-nunjuk ke arah banglo besar itu. "Abang, lihat mereka. Alangkah beruntung dan BAHAGIANYA mereka. Rumah besar, kereta pun besar."

"Betul, BAHAGIA benar mereka!" Si lelaki cepat bersetuju. Dalam fikirnya berangan-angan. Andai dia juga kaya seperti itu.



p/s : Kita semua mahukan kebaikan. Kita semua mahu berubah untuk bertambah baik. Teringat akan butir bicara lembut Ustaz Ebit Lew, "Kita sangka jika kita dapat apa yang kita mahukan, baru kita akan bahagia. Bahagia itu ialah hati yang kenal Allah. Bahagia itu ialah bila kita dapat sujud rasa dekat dengan Allah. Bahagia itu bila kita lalu hidup ini untuk cari reda Allah. Tiada yang boleh beri bahagia selain dari Allah. Bilal Rabah saat dihempap dengan batu sakit-susah diseksa demi mempertahankan agama Allah itulah saat bahagia untuknya. Bahagia kerana dapat pertahan agama Allah."