Wednesday, July 7, 2010

Seakan songsang

Hari itu paling lewat. Kerna kelembapan komuter pada hari itu dia telah ditinggal bas yang sepatutnya dia naik pada pukul 6.30 petang untuk ke kampung halamannya. Baru saja semester baharu bermula, tetapi hatinya seakan kuat meronta-ronta ingin balik. Tidak kira walaupun wang saku bila difikir-fikir kembali seperti tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian. Kerna ketinggalan bas itu, dia berjalan menuju ke tempat solat di stesen bas yang sudah mulai lengang. 

Nasib baik dengan izin Allah juga seorang sahabatnya sanggup menjemputnya walaupun jarak dari kampung halaman ke stesen bas yang terletak di pekan mengambil masa sejam perjalanan. Gerai-gerai kecil yang hidup pada waktu siang di sekitar stesen bas pun tidak lagi dikunjungi orang. Kerusi-kerusi disusun, menunggu masa untuk berkemas-kemas menutup gerai dan pulang. Awan mendung berarak, titik-titik hujan yang nipis mulai jatuh ke bumi. Sampai ke tempat solat untuk menunggu waktu maghrib, tiba-tiba langkahnya terhenti. Sehelai kertas putih terlekat di pintu masuk. “Maaf, ketiadaan air di surau ini”. Dipulas juga tombol pintu untuk memastikan, tetapi memang benar seperti pernyataan tadi bahawa air tiada.

Langkahnya dipanjangkan ke masjid, kira-kira 300 meter juga jarak dari stesen bas. Elok juga ke masjid, ruang yang ada lebih selesa sementara menunggu sahabatnya datang menjemput. Usai solat, dia duduk di tangga masjid. Masjid yang pada hari jumaatnya akan kedengaran khutbah dalam bahasa tamil. Dalam duduk itu, terdengar suara yang menarik perhatiannya. Bukan tertarik kerana kelunakan suara tersebut, tetapi satu ayat yang terpacul dari mulut perempuan itu. 

Usia perempuan itu dalam lingkungan 20-an, menegur sahabatnya yang baru keluar dari pintu masjid bahagian perempuan. Sememangnya tidak disangka boleh pula dia menyaksikan perkara ini. Perempuan yang baru keluar dari pintu masjid itu tidak bertutup kepalanya. Lantas sahabat perempuan itu yang sedang menunggu di beranda masjid menegur, 

“Eh, kau masuk masjid tak tutup kepala. Mana boleh”

Yang ditegur itu tidak berkata apa, hanya tersenyum. Seakan ada kecelaruan antara adab dan kewajipan. Melihat gelagat dua perempuan itu, dahinya berkerut. Rasa pelik menyelubungi diri.