Tuesday, March 6, 2012

Cermin Kereta Cikgu

“Seperti yang sudah diumumkan di perhimpunan Isnin lepas, hari ini kita bergotong-royong dan membersihkan sekolah,” kata Cikgu Mohamad kepada murid-murid orang asli Sekolah Kebangsaan Labong.

“Adakah kalian membawa kain buruk, penyapu dan baldi seperti yang dipesan tempoh hari?” soal Cikgu Mohamad.

“Ada,” jawab murid-murid serentak.

“Murid di sekolah ini hanya lima puluh orang sahaja. Jadi sekarang saya agihkan tugas mengikut tiga kumpulan. Kumpulan satu membersihkan bahagian di dalam darjah termasuk kerusi meja murid. Kumpulan dua menyapu sampah di persekitaran sekolah. Kumpulan tiga membersihkan semua cermin tingkap yang terdapat di sekolah ini,” arah Cikgu Mohamad.

“Ahli kumpulan kekal seperti bulan lepas. Kalian diberi masa satu jam. Saya mahu melihat hasil kerja kalian selepas satu jam nanti. Bolehkah kita mula sekarang?" tanya Cikgu Mohamad.

“Boleh,” jerit murid-murid.

“Saya membersihkan bilik guru dan sekiranya ada sebarang masalah, sila jumpa saya. Kita mula sekarang,” kata Cikgu Mohamad.

Semua murid beredar menjalankan tugas masing-masing. Cikgu Mohamad masuk ke bilik guru bagi menyapu sampah dan habuk. Sekolah tiada pekerja maka terpaksalah guru dan murid-murid membersihkan sekolah.

Sejam berlalu.

“Suruh semua murid berkumpul. Saya hendak melihat hasil kerja kalian,” Cikgu Mohamad menyuruh Ali.

Cikgu Mohamad meninjau kawasan sekolah, bersih. Dia meninjau bahagian dalam bilik darjah, juga sangat bersih. Dilihatnya cermin-cermin tingkap, semuanya bersih.

“Saya gembira dengan hasil kerja gotong-royong kalian hari ini. Saya berbangga dan berterima kasih kerana membantu sekolah. Sekarang masuk ke kelas masing-masing,” kata Cikgu Mohamad.

Waktu persekolahan tamat. Cikgu Mohamad menuju ke keretanya. Dia terpaku seketika.

“Mengapa pelik kereta aku ini?” kata Cikgu Mohamad seorang diri.

Cikgu Mohamad memanggil Ali apabila terpandang Ali berjalan menuju pintu pagar.

“Apa yang saudara buat pada kereta saya?” tanya Cikgu Mohamad.

“Cikgu kata bersihkan semua cermin tingkap yang ada di sekolah ini. Saya melihat cermin tingkap kereta cikgu kotor. Jadi saya suruh kawan-kawan saya bersihkan,” jawab Ali.

Cikgu Mohamad tersenyum mendengar jawapan Ali. Memang keretanya sudah sebulan tidak dicuci.

-Mohd Razak Mahat-

(Dipetik dari buku Seluhur Budi Guru, terbitan PTS)

(Gambar sekadar hiasan)

p/s : Ada seorang guru menceritakan pengalamannya, beliau memberi arahan agar semua muridnya tahun 2 berhenti berlari dan kejar-mengejar di astaka sekolah. Arahannya lebih kurang begini, "Lari lagi, lari lagi! Kalau kamu semua nak berlari main kejar-kejar pergi sana dekat padang, luas." Betul-betul semua muridnya berlari ke padang bersebelahan astaka. Menggeleng kepala guru ini, pecah peluh mengejar murid kembali semula ke astaka.