Sudah lama saya tidak mencoret sesuatu di sini. Sejak
ditempatkan di sebuah sekolah negeri Hang Jebat, dan sejak itu juga blog ini
dibiarkan lama seperti tidak berpenghuni. Baru-baru ini saya berkesempatan
untuk hadir ke sebuah seminar Baitul Muslim 3.0 yang diadakan di Dewan Jubli
Perak, Shah Alam. Moga Allah reda perkongsian ini untuk yang membacanya,
sedikit ilmu untuk saya yang lebih utama moga lebih ingat-malah diamalkan,
insya-Allah.
Sebenarnya terlalu banyak ilmu dicurahkan kepada para
peserta sepanjang dua hari seminar berlangsung-pagi bertukar malam. Saya juga
tidak punya kekuatan untuk berkongsi-menulis semuanya di sini. Maka saya
ringkaskan catatan untuk setiap sesi yang berlangsung. Bagi sesi pertama
bersama Ustaz Salim A. Fillah penulis buku islamis Indonesia, saya sebenarnya
terlepas mengikuti sesi ini oleh sebab sampai agak lewat, tercari-cari dewan yang saya tidak pernah sampai ini seorang diri.
Kota Shah Alam ini saya hanya tahu tuju jalan ke dua
tempat-masjid negerinya dan UITM. Yang selebihnya, saya tanyakan kepada orang.
Lebih lagi masa ini saya tiada telefon canggih ber'GPS', sekurangnya untuk
menunjuk jalan. Kita merancang, Allah juga merancang namun sudah tentu perancangan
Allah mengatasi segalanya. Saya sampai saat Ustaz Salim menjawab soalan
terakhir dari seorang peserta. Sekurangnya, dapat juga melihat wajah
bersih-tenang ustaz secara berhadapan kerana sebelum ini hanya mengikuti beliau di laman sosial berkicau miliknya-Twitter.
Sesi kedua, lebih bersemangat selepas ketinggalan bas
sesi pertama! Bersama Ustaz Mohamad
Ridhauddin Mohd Salleh dengan tajuk yang akan dikupas beliau-Pengurusan Jiwa.
Saat beliau memulakan bual bicara, timbul satu persepsi dalam jiwa minda saya
yang banyak dosa ini,
“Oh, seriusnya ustaz...”
Astaghfirullah, lihat tak semena-mena hati saya menilai. Begitulah
kita-hidup ini tidak lari dari memandang dengan bermacam persepsi kepada orang
sekeliling. Pandang orang itu-hati berkata begini. Pandang orang ini-hati
berkata begitu. Begitulah andaiannya, pasangan suami isteri sebolehnya-tepis
segala persepsi kepada pasangan dan sentiasa bersangka baik. Beliau membawa
para peserta supaya lebih berhati-hati dalam menilai dan tidak terus menghukum
sesuatu dengan pandangan serba negatif. Pentingnya pengurusan jiwa seperti ini
akan membawa kesan kepada bahagia atau deritanya hidup, dengan izin Allah. Fahamilah
pasangan dahulu jika mahu diri sendiri difahami. Beliau membawa ayat ke-21 dari
surah Ar-Rum,
“Dan di
antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri
dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan
dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang
demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.
Beliau berkali-kali mengingatkan para
peserta, sebelum membina rumah tangga-tetapkan tujuan sebenar sebuah
perkahwinan. Letakkan Allah itu di tempat yang paling atas dalam kehidupan.
Allah dan nabi adalah cinta pertama kita. Cinta kepada pasangan dalam rumah
tangga adalah yang kedua. Saya teringat butir bicara saudara Hilal Asyraf pada
seminar ‘Nikah Itu Cinta’ tahun yang sudah,
“Didiklah si isteri supaya cintakan Allah
terlebih dahulu. Jadikan cinta kepada Allah sebagai nombor satu. Kerana apabila
si suami ‘hilang’ satu hari nanti, dia tidak hilang punca dan hilang tempat
bergantung kerana masih ada Allah sebagai tempat berharap...”
Saya tokok tambah kata-kata beliau, tetapi mesej katanya
tetap serupa insya-Allah. Begitulah, pentingnya niat untuk segalanya disandarkan
kepada Allah SWT. Saya ingin berkongsi satu soalan dari salah seorang peserta
seminar tempoh hari,
“Bagaimana nak tahu si dia itu soleh atau solehah?”
Bual bicara ustaz bertukar nada saat menjawab soalan
ini-lembut, seisi dewan sunyi menumpukan perhatian.
“Mintalah FATWA dari hati, selepas berbuat sesuatu, puas berusaha
dan berDOA kepada Allah. Hati yang
dekat dengan tuhan tidak akan menipu dengan penipuan. Banyakkan solat dan
kurangkan berburuk sangka pada orang, maka hati akan berfatwa. Hati yang bersih
akan menghasilkan keputusan yang jernih. Andai sesuatu itu jadi
tidak seperti yang diharapkan, yakinlah akan ada yang lagi baik Allah telah
sediakan...”
Beliau mengibaratkan perkahwinan itu seperti mengurus sebuah
syarikat. Jika baik CEO atau bosnya, maka baik jugalah anak buahnya mengurus
kerja-kerja syarikat. Isteri yang tidak solat-tidak ditegur si suami selagi itu
si suami mendapat dosa! Lihat, besarnya tanggungjawab si suami selesai saat
lafaz, ‘Aku Terima Nikahnya’.
Seusai rehat menghela nafas untuk makan tengahari dan
bersolat zohor, seminar disambung semula bersama Ustaz Ridhauddin-sekali lagi.
Beliau membawa tajuk, Anakku Bukan Anakku! Sesi kali ini lebih fokus kepada
proses mendidik anak-anak dalam keluarga. Beliau mengingatkan akan perkahwinan
itu sebenarnya adalah satu bentuk pelaburan menuju ke akhirat. Anak-anak itu
pelaburan bagi kedua ibu bapa yang mendidiknya! Juga pelaburan itu sudah tentu
ada rugi dan untungnya. Jadi, bagaimana mengaut keuntungan dalam pelaburan
seperti ini?
Caranya, USAHA untuk
didik anak menjadi soleh. Ingat ini, amalan
yang tidak terputus pahalanya sehingga seseorang mati nanti adalah doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya. Nah, inilah pelaburan
yang menguntungkan! Apabila berbicara soal mahukan anak yang soleh atau solehah
ini, ustaz ada menegur para peserta,
“Mahukan
anak yang baik-baik, ibu bapanya sudah tentu perlu terlebih dahulu bersedia
untuk menjadi yang baik...”
Baik,
mari kita isi tempat kosong di bawah,
Saya
mahukan anak-anak yang :-
1) ________________________________________
2) ________________________________________
Sekarang,
buangkan perkataan ‘mahukan’ akan menjadi,
Saya
anak-anak yang :-
1) _________________________________________
2) _________________________________________
Jadi,
kita anak yang bagaimana kepada kedua ibu bapa kita sekarang? Peserta yang
duduk di kiri dan kanan saya terasa sentap, termasuk juga saya. Mendengar
persoalan yang ustaz lontarkan dari atas pentas dewan. Impikan itu dan ini
sedang diri ini-tepuk dada, tanyalah iman. Ustaz Ridhauddin terus menambah
perkongsian kepada para peserta agar nanti ibu bapa tidak terlalu menjadi
diktator dalam menyuruh anak berbuat baik. Diktator itu ditukar menjadi
demonstrator,
“Adam,
pi solat tu!”
“Adam,
ekau poie solat copek!”
Kita
TUKAR dan UBAH untuk mengajak menjadi begini,
“Adam,
mai solat dengan ayah.”
“Adam,
sini solat dengan ayah.”
Ibu
dan bapa menjadi tauladan yang baik, insya-Allah. Bukan sekadar mengarah,
menyuruh dan sebagainya. Tapi lebih kepada mengajak ikut serta bersama-sama.
Selepasnya, jangan lupa untuk didik mereka akan hakikat sebenar penghujung
sebuah kehidupan-SYURGA ataupun NERAKA. Akhir kalam mengenai perkongsian dari
Ustaz Ridhauddin ini, saya tarik kata-kata yang mengatakan beliau ini seorang
yang serius. Sebab ada kalanya, unsur kecindan tetap ada-sebagai perasa.
Jam
menunjukkan pukul 5.15 minit petang, seusai Asar sesi selepasnya diteruskan
oleh Tuan Samsuddin Kadir dengan tajuk yang akan dikupas beliau-Fulus Oh Fulus!
Oh, sebenarnya ini kali kedua saya mendengar beliau berucap memberikan
perkongsian. Kali pertama di Universiti Malaya, jadi saya tidak terkejut dengan
bahasa beliau yang sangat berterus terang, sinis dan tajam! Kata-kata
beliau mudah difahami dan dihadam. Beliau berkongsi, yang pasangan pengantin
banyak menghabiskan wang untuk membiayai ‘perasaan seronok’ seperti dua hingga
tiga helai baju persalinan persandingan, pelamin, tukar langsir rumah, tukar
itu dan ini dan segala macam lagi.
Pesan
beliau, besederhanalah. Tidak perlu banyak mengeluarkan wang sehingga membazir
untuk majlis yang habis dalam masa empat atau lima jam. Baik, untuk kenyataan
beliau selepas ini-kali kedua (yang pertama di Universiti Malaya) saya dengar
dari butir bicara beliau bahawa,
“Tidak
perlu menetapkan wang hantaran...”
“Jangan
berhutang atau membuat pinjaman untuk melangsungkan perkahwinan...”
“Majlis
yang dibuat bukan untuk bermegah, riak dan seumpama dengannya...”
Saya
tambah, satu perkongsian dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam laman Twitter
beliau,

Tuan
Samsudin juga ada berkongsi perihal pelaburan yang mendatangkan untung-ada
tiga. Yang pertama pelaburan ilmu, yang kedua pelaburan emas dan ketiga
pelaburan hartanah. Sepanjang sesi perkongsian, beliau memberikan banyak
situasi masa kini menjelang perkahwinan untuk para peserta jadikannya sebagai
pengajaran dan sempadan. Selesai sesi Fulus Oh Fulus! oleh Tuan Samsudin Kadir,
saya melihat kepada tentatif seminar pada sesi yang seterusnya. Saya fikir ini
kali pertama saya akan melihat dan mendengar tajuk yang akan dibawa ke atas pentas
untuk diforumkan pada sebelah malamnya nanti.
Seawal
jam 8.20 minit malam, kerusi dalam ruang dewan sudah pun dipenuhi oleh para
peserta seminar. Membawa pendekatan agak santai dalam bentuk forum-Ustaz Syaari
Abdul Rahman sebagai moderator, Kapten Hafiz Firdaus, Ustazah Dr. Nik Salida
Suhaila Nik Salleh dan Ustazah Siti Masitah Samsury sebagai ahli panel. Tajuk
yang akan dikupas ialah-Sebelum Aku Bernikah Lagi? Saya rumuskan isi seputar
tajuk forum, perkara pertama yang perlu disoal kepada diri untuk poligami ialah
kenapa perlu poligami dan kenapa tak perlu poligami?
Dan
yang paling utama, niat poligami itu sendiri adalah untuk amal soleh, jauh
sekali untuk menunjuk-nunjuk, suka-suka, riak dan sebagainya. Seputar forum,
Kapten Hafiz banyak berkongsi pengalamannya dalam kehidupan berpoligami, begitu
juga dengan Ustazah Masitah. Jika kena niat dan caranya, tidak timbul masalah
bagi mereka yang berpoligami-juga tidak timbul persepsi buruk apabila mendengar
perkataan POLIGAMI.
Tamat
seminar untuk hari pertama, Allah telah mudahkan banyak perkara untuk saya
sampai ke seminar Baitul Muslim 3.0 ini. Alhamdulillah, moga Allah reda
perkongsian ini.
p/s
: Akhir ini, banyak sungguh peristiwa yang berlaku datang menguji. DIA sedang
menegur kita atas ujian yang datang, sedar atau tidak sedarkah kita semua?