Sunday, April 3, 2011

Cikgu Azman Terlupa

Cikgu Azman-hatinya hari ini berkobar-kobar sungguh. Segala perancangan telah disimpan rapi. Tunggu masa untuk mengeluarkannya. Tidur cikgu Azman malam tadi juga tidak lena langsung. Jenuh memikirkan hari esok. Dan hari ini, dia meyakinkan diri. Mahu buat sehabis baik.

Dia mula menarik nafas panjang.

"Assalamualaikum murid-murid!"

Jiwa-jiwa kecil di hadapannya menyambut salam Cikgu Azman-serentak dan berlagu.

Biji mata Cikgu Azman sempat memandang wajah bengkeng yang sedang duduk seorang diri di belakang kelas. Hatinya kecut seketika. Berkali-kali dia beristighfar di dalam hati. Pensyarahnya itu memang terkenal dengan air muka yang bengis.

Cikgu Azman langsung tidak menyangka pensyarah itu yang akan membimbingnya berpraktikum selama satu bulan di sekolah. Kalau tersilap langkah, borang penilaian di tangan pensyarah itu akan dibulatkan pada markah yang terendah.

“Murid-murid, pasang telinga!”

“Tajuk cikgu nak ajar pagi ni, tentang kebersihan. Faham?”

Bermula dengan mukadimah membawa murid kepada tajuk pelajaran sehingga ke penutup, dia habis mengajar selama satu jam lima minit.

Cikgu Azman menutup pembelajaran pagi itu dengan mengimbas kembali isi pelajaran. Dia mengingatkan murid-muridnya.

“Ingat murid-murid, kebersihan tanggungjawab?”

“Bersama!” Suara kuat murid-murid menjawab serentak. Cikgu Azman berasa cukup dengan jawapan yang diberikan murid-muridnya. Dia cuba mengajukan persoalan lagi.

“Jangan buang sampah sesuka?”

“Hati!”Murid-murid masih menjawab-semangat.

Cikgu Azman mengajar lebih lima minit daripada rancangan asal. Dia menghela nafas lega. Berasa puas sekali. Dia berjaya membawa keseronokan kepada murid-muridnya. Dan yang paling penting, objektif pembelajaran pagi itu berhasil.

“Tahniah Azman. Budak-budak tu seronok nampaknya dengan kamu. Apa yang kamu nak semua sampai kat budak-budak tu, tahniah!”

Cikgu Azman langsung tidak menyangka pensyarahnya yang berwajah bengkeng itu memujinya sedemikian rupa. Nampaknya dia bersangka buruk kepada pensyarahnya sebelum ini dengan hanya memandang raut mukanya. Rupa-rupanya di sebalik wajah bengkeng itu, hati pensyarah itu masih ada taman.

Mendengar pujian itu, hatinya kembang seketika. Dia gembira, hatinya yang sebelum ini berserabut kini sudah menjadi tenang.

Semasa berangkat keluar dari kelas, tangan cikgu Azman menyeluk poket kirinya-mencari gula-gula Hudson yang selalu disimpan untuk mengelakkan rasa ngantuk ketika bekerja. Bungkusan gula-gula di tangannya dibuka dan masuk ke mulutnya. Dengan wajah selamba, plastik yang membungkus gula-gula tadi dibuang ke tepi-jatuh ke celahan rumput hijau yang mencantikkan persekitaran sekolah.

Dia berjalan terus; menghayun-hayun tangannya dan langkahan kakinya yang sedikit angkuh. Di sudut hatinya, dia memuji-memuji dan mengangkat dirinya kerana berjaya mengawal kelas dengan baik. Nampaknya Cikgu Azman terlupa atau buat-buat lupa dengan nasihatnya kepada murid-murid di dalam kelas tadi. Tentang KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA.


p/s : Cerita dan watak Cikgu Azman hanya rekaan semata-mata. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar...

4 comments:

  1. sesungguhnya apa yg cikgu Azman bg tau bagus. menyuruh murid2 memenuhi tuntutan iman iaitu menjaga kebersihan. akan tetapi dia sendiri lupa apa yang dia ajarkan. sesungguhnya Allah idak menyukai org yg mengatakan sesuatu yang dia tidak kerjakan. terima kasih atas perkongsian yang menarik ini. rasa insaf juga....

    ReplyDelete