Sunday, January 17, 2010

‘Pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul’


    Dia benar-benar tertarik dengan sebuah buku yang ditulis oleh seorang penulis novel islamik, Fatimah Syarha Mohd Noordin. Buku ini sebenarnya telah lama berada di pasaran, rasanya telah dicetak sebanyak dua kali kerana kelarisannya. Buku ini dipinjamkan oleh sahabatnya yang insya-Allah suatu hari nanti akan bergelar ustaz apabila menamatkan pengajiannya.

    Sebelum merebahkan badan ke katil, dia sempat melihat buku yang diberikan oleh sahabatnya itu. Dia pun bukannya rajin untuk membaca buku melainkan buku yang dibelinya itu menggunakan wangnya sendiri-helaian demi helaian diselak dan bagaikan ada satu kuasa magnet yang menarik minatnya, buku itu habis juga dibacanya pada malam tersebut sebelum dia masuk tidur.

    Sebuah buku yang telah memberikan gambaran sebenar bagi sesiapa yang masih lagi merangkak tercari-tercari akan makna cinta itu sendiri, bagaimana memiliki cinta yang suci mungkin. Buku ini memang sarat dengan unsur tarbiyahnya. Helaian demi helaian, ceritanya amat cantik disusun disulami dengan peringatan daripada Al-Quran dan hadis. Sungguh, dia sendiri berasa adalah satu bentuk kerugian jika dia tidak membaca buku itu.

    Melihat bahagian belakang kulit buku tersebut sahaja membuatkan terdetik rasa cemburu di hatinya, melihat gambar penulis buku ini bersama suaminya-indahnya bercinta kerana Allah, membina baitulmuslim bersama. Cemburu dia untuk mendapatkan seorang wanita yang solehah, untuk saling melengkapi kerana dia sedar dirinya itu pun bukannya sempurna. Kadangkala terlintas di fikirannya, adakah pantas untuk dia mendapatkan wanita yang seperti diharapkannya itu? Teringat dia akan firman Allah yang bermaksud ;

"Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dari tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia." (An-Nur : 26)

Subhanallah, amat indah apa yang dikatakan Allah di dalam Al-Quran. Dia akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik di sisi Allah-melaksanakan Islam secara syumul, amat cantik sekali diceritakan di dalam buku ini. Dia meminjamkan buku tersebut kepada beberapa orang sahabatnya, respon yang diterima amat baik sekali-berkongsi apa yang mampu dikongsi olehnya dengan orang lain.

Bahaya cinta sebelum kahwin-petikan dari buku PEMILIK CINTAKU SETELAH ALLAH DAN RASUL untuk perkongsian bersama :


  1. Menyibukkan hati merindui makhluk yang belum halal seumpama membuka pintu bagi syaitan mencucuk jarumnya untuk melupakan atau menjauhkan kita daripada-Nya. 
  2. Rindu palsu akan membelenggu minda hingga terjajah dan terhina di bawah jajahan syaitan.
  3. Cinta lalai akan menyebabkan alpa daripada mempersiapkan diri untuk keperluan dunia dan akhirat.
  4. Fitnah cinta ibarat racun yang akan membunuh akal, jiwa dan perasaan.
  5. Jika berjaya melangkah ke alam rumah tangga nescaya ia terbina atas dasar maksiat yang mengundang parah kepada paribadi zuriat kami pastinya (cinta kerana nafsu semata)

No comments:

Post a Comment