Saturday, January 9, 2010

Peringatan Untuk Dia

    Membelek sebuah akhbar pada hari ini membuatkan dia terpikir, malahan dia juga tidak menyangka bahawa arus pemodenan yang dipacu hebat pada hari ini secara tidak langsung melunturkan nilai-nilai moral yang secara fitrahnya terbentuk baik dalam hati manusia. Cuma bagaimana sifat fitrahnya sehelai kain putih yang bersih suci itu harus dicorakkan, harus diwarnakan-sama ada dengan warna gelap, terang, cerah atau segala macam warna. 

     Nah, inilah dugaan yang rasanya paling hebat untuk dilalui oleh semua manusia, penyakit yang rasanya memerlukan satu vaksin, antivirus yang mempunyai sistem ‘security’nya yang amat tinggi untuk melawan serta memusnahkan segala macam ancaman dari luar yang boleh merosakkan jiwa, hati malahan rohani manusia. Kadangkala dia juga berfikir, mengapa dahulu penyakit sosial yang dilanda tidaklah begitu parah jika hendak dibandingkan dengan sekarang. Adakah kerana di waktu itu usianya masih lagi kecil, apa tujuan hidup di dunia ini pun tidak pasti? Apa yang dia tahu hanya bermain bersama-sama rakan, mengayuh basikal ke hulu dan ke hilir tanpa tujuan yang pasti. Biasalah, kanak-kanak akan melalui semua itu. Hal-hal di luar, masalah negara itu dianggap hal orang dewasa. Maka hal-hal yang berlaku di sekelilingnya langsung tidak dipandang menyebabkan dia pada hari ini merasakan pada waktu dahulu penyakit sosial ini tidak sampai pada tahap yang serius mungkin.

     Rasuah, seks bebas, buang bayi, bunuh, rogol dan pelbagai lagi. Macam-macam jadi, gusar pula rasanya, mengapa ya? Apa sebabnya tolaklah tepi dulu, apa yang perlu disegerakan, dia perlu berfikir bagaimana untuk mengelakkan dirinya terjerumus sama ke dalam penyakit ini, kerana dia juga manusia, bukannya sempurna! Dia hanya mampu berdoa, berdoa dan terus berdoa kerana kalimah-kalimah itulah yang akan membantunya melalui kehidupan yang penuh dengan ranjau, simpang-siur dan segala macam bentuk halangan. Cara yang terbaik, dia harus kembali kepada pencipta-Nya. Inilah yang terbaik,bukankah setiap hari mulut berikrar-Ibadah, solat, hidup, mati dia hanya untuk Allah SWT? Amat lengkap, cantik sekali Allah menyediakan landasan bagi semua hamba-Nya mengikuti supaya tidak sesat di awal, pertengahan dan penghujung jalan.

"Ya-Allah, kau kuatkanlah imanku, kau masukkanlah aku dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ya-Allah, beri aku kejayaan di dunia lebihan lagi di akhirat ya-Allah. Sesungguhnya aku ini hanya insan yang nyata terlalu lemah ya-Allah. Amin"




No comments:

Post a Comment